Saturday, April 19, 2008

Syabas PLUS


Syabas PLUS

Kalau saya tak puas hati pada Plus, saya akan luahkannya. Plus sehingga kini masih belum mengedarkan sebaran bercetak (phamplet) berkenaan penggunaan ”braking ramp” di Rumah Tol Jelapang (menghala ke Selatan) kepada pemandu-pemandu kenderaan berat yang memasuki Tol Juru dan di sepanjang Tol Juru sehingga Tol Kuala Kangsar.

Bagaimanapun saya juga telah mengucapkan terima kasih kerana Plus setakat ini yang telah menyediakan beberapa papan tanda pemberitahuan mengenai ”braking ramp” ini selepas Terowong Menora menghala ke Rumah Tol Jelapang.

Malah saya juga telah mengucapkan syabas kerana keprihatinan Plus meminta bantuan anggota Rela berkhidmat mengawal lalulintas di R&R dan perhentian rehat semasa musim perayaan.

Di samping itu pihak Plus memang terkenal dengan kesungguhannya dalam melaksanakan sistem papan tanda keselamatan dan penunjuk pada setiap bahagian yang terlibat dalam penyenggaraan atau pembaikan.

Kali ini saya ingin mengucapkan syabas sekali lagi kepada Plus kerana keprihatinannya terhadap aspek kesihatan makanan.

Sehingga kini saya menganggapkan kebersihan bilik air dan gerai-gerai makanan di mana-mana R&R adalah yang terbaik jika hendak dibandingkan mana-mana gerai di tepi jalan persekutuan ataupun jalan raya biasa.

Bagaimanapun langkah penutupan salah sebuah gerai di R&R Juru minggu lepas disebabkan demerit adalah patut dicontohi. Saya difahamkan antara kesalahan demerit adalah tidak mematuhi kebersihan yang ditetapkan.

Tindakan Plus ini membuktikan mereka tidak bertolak-ansur kepada pekedai-pekedai makanan yang tidak mematuhi peraturan kesihatan yang ditetapkan. Saya juga difahamkan kadar sewa gerai-gerai ini agar tinggi memandangkan pulangannya juga amat memuaskan. Jika tempoh dua minggu pengantungan ini dikenakan sudah tentu pemilik kedai ini akan terasa juga kerugian dari hasil jualannya.

Semoga pihak yang berkenaan di dalam pengurusan Plus sentiasa bertegas dalam aspek-aspek kesihatan dan juga keselamatan semua pengguna lebuhraya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: