Wednesday, April 9, 2008

PLUS, bila lagi?


PLUS, bila lagi?

Sebagai pengguna lebuhraya yang hampir setiap minggu melalui Rumah Tol Jelapang, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan pihak Plus mengadakan beberapa papan tanda mengenai penggunaan ”breaking ramp” sebaik sahaja keluar dari Terowong Menora. Terdapat juga dua buah papan tanda meminta pemandu menguji sistem brek kenderaan masing-masing semasa menuruni laluan berbukit tersebut.

Saya sendiri pernah mencadangkan papan-papan tanda sebegini agar diadakan, semenjak dari tahun lepas lagi sementelah kerapnya berlaku kemalangan ngeri di Rumah Tol Jelapang ini.

Satu lagi saranan saya agar pihak Plus mengeluarkan hebahan bercetak (phamplet) untuk diedarkan kepada semua pemandu-pemandu kenderaan berat sebaik sahaja mereka memasuki Rumah Tol Juru (menghala ke Selatan) dan mana-mana susur keluar sepanjang laluan dari Prai sehinggalah Kuala Kangsar. Bagaimanapun saranan saya ini belum lagi dilaksanakan oleh pihak Plus.

Papan-papan tanda yang sedia ada tidak mencukupi untuk memaklumkan hazad dan risiko ini. Pemandu-pemandu ini hanya senpat mengerling sahaja. Malah ada di antara mereka ini sehingga kini langsung tidak tahu kewujudan papan-papan tanda ini.

Hotel yang saya menginap minggu lepas menyediakan satu hebahan bercetak yang diletakkan di atas meja di dalam bilik. Hebahan tiga bahasa yang ringkas tetapi padat ini amat berguna sekali kepada penghuni-penghuni bilik di hotel ini. Langkah sebegini perlu dicontohi oleh pihak Plus.

Plus sebagai pengusaha atau penyenggara rangkaian lebuhraya adalah bertanggung-jawab di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) untuk memaklumkan hazad dan risiko pengguna-pengguna lebuhraya yang melalui Rumah Tol Jelapang ini.

Sehubungan dengan itu, pihak Plus bertanggung-jawab untuk menerbitkan hebahan bercetak mengenai hazad dan risiko yang mungkin dihadapi oleh pengguna-pengguna lebuhraya di Rumah Tol Jelapang. Hebahan ini juga bertujuan untuk memberi makluman apa yang patut dilakukan oleh pengguna-pengguna lebuhraya ini terutama pemandu kenderaan berat jika berlakunya kecemasan semasa menghampiri Rumah Tol Jelapang ini.

Walaupun proses pemindahan Rumah Tol Jelapang ini dijangka tamat penghujung tahun ini, pihak Plus tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan hebahan bercetak ini. Jangan sampai berlakunya lagi kemalangan-kemalangan ngeri yang diakibatkan kurangnya pengetahuan mengenai hazad dan risiko semasa menuruni laluan berbukit selepas Terowong Menora dan menghampiri Rumah Tol Jelapang. Ataupun kemalangan ini sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya tetapi pemandu-pemandu ini sendiri yang tidak mengetahui kewujudan dan cara-cara untuk mengunakan ”breaking ramp” yang berhampiran Rumah Tol Jelapan ini.

Plus, bila lagi?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: