Tuesday, April 8, 2008

Sistem sentiasa berkawan (Buddy System)


Sistem sentiasa berkawan (Buddy System)

Antara sistem kerja di dalam industri yang boleh diserapkan dalam keselamatan kanak-kanak ialah sistem sentiasa berkawan (SSB) ataupun lebih dikenali dengan ”buddy system”.

SSB di dalam industri ini diperlukan untuk kerja-kerja yang berisiko seperti pekerjaan memasuki ruang terhad (confined space), pekerjaan di luar waktu kerja seperti di waktu malam serta pekerjaan di tempat terpencil dan sebagainya. SSB ini menetapkan sesuatu pekerjaan itu memerlukan lebih dari seorang yang terlibat walaupun pekerjaan tersebut boleh dilakukan oleh seorang sahaja.

SSB ini amat sesuai untuk dipratikkan kepada keselamatan kanak-kanak terutama yang melibatkan kegiatan luar kelas atau luar sekolah secara beramai-ramai ataupun berkumpulan.

Sebagai contoh, jika kanak-kanak yang terlibat di dalam kegiatan luar yang memerlukan pengangkutan seperti bas umpamanya. Kanak-kanak mestilah ditentukan dan ditetapkan mempunyai pasangan masing-masing sebelum menaiki bas lagi. Pasangan ini tidak boleh diubah di saat-saat akhir. Setiap kanak-kanak perlu memastikan pasangan masing-masing sentiasa bersama di tempat duduk di dalam bas sebelum bas memulakan perjalanan. Malah kedudukan kanak-kanak pada kerusi bas juga mesti ditentukan terlebih dahulu dan tidak dibenarkan bertukar tempat.

Begitu juga apabila kanak-kanak ini terlibat di dalam sesuatu aktiviti. Mereka mestilah memastikan pasangan masing-masing berada di samping mereka apabila aktiviti yang disertai telah selesai.

Selain dari SSB, kanak-kanak dari kumpulan yang besar hendaklah dibahagi-bahagikan kepada sub kumpulan kecil yang mempunyai ketua masing-masing. Ketua kepada sub kumpulan ini hendaklah dikenalpasti dari mereka yang boleh mengawasi dan bertanggungjawab kepada rakan-rakan yang diamanahkan di bawah pengawasan mereka.

Sistem pembahagian kepada sub kumpulan ini juga boleh dipratikkan kepada ahli keluarga yang ramai. Ibu bapa perlu mengenal-pastikan anak-anak yang lebih dewasa agar mengawasi adik-adik mereka yang tertentu. Sebagai contoh, kakak mengawal adik yang terkecil manakala abang mengawal adik nombor dua terkecil. Sementara ayah atau ibu mengawal mana-mana ahli keluarga yang dikenalpasti agak nakal dan sukar dikawal.

Berbalik kepada pembahagian kepada sub kumpulan untuk kanak-kanak sekolah, bilangan guru-guru yang terbabit dalam pengawasan juga perlu dalam nisbah yang sekecil yang mungkin.

Untuk memudahkan pengawasan, kanak-kanak ini perlu dipakaikan pakaian seragam ataupun baju-t yang berwarna sama.

Lebih pratikal kalau setiap sub kumpulan ini mempunyai tanda pengenalan identiti mereka tersendiri. Tanda pengenalan ini boleh dibuat secara pengikat lengan (arm band), penutup kepala (skaf atau head band) dan sebagainya.

Setiap guru yang mengawasi sub-sub kumpulan ini mesti mempunyai senarai nama kanak-kanak yang terlibat. Senarai ini juga boleh dilengkapkan lagi dengan nama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bersertakan nombor telefon yang boleh dihubungi jika berlakunya sebarang kecemasan.

Sekiranya perancangan dibuat lebih awal dan teliti, ibu bapa atau penjaga juga perlu dimaklumkan nama dan telefon bimbit guru yang dipertanggung-jawab untuk mengawasi kanak-kanak di bawah jagaan mereka ini.

Di samping itu ibu bapa atau penjaga perlu diingatkan agar memaklumkan kepada guru yang berkenaan jika mereka ingin membawa pulang kanak-kanak di bawah jagaan mereka selepas ataupun semasa acara masih berjalan.

Seelok-eloknya kanak-kanak ini hanya dilepaskan kepada ibu bapa atau penjaga mereka di tempat permulaan mereka berkumpul sebelum acara bermula, walaupun ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini menggunakan kenderaan mereka sendiri mengikut bas ke tempat acara.

Sekiranya ada juga ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang ingin mengambil kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebaik sahaja acara selesai di tempat acara, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini hendaklah diminta menandatangani pada senarai nama kanak-kanak yang ada. Ini akan memudahkan guru membuat semakan bilangan kanak-kanak yang akan pulang ke tempat permulaan mereka berkumpul.

Pengawalan keselamatan kanak-kanak dalam bilangan yang ramai juga lebih berkesan jika guru-guru yang terlibat mempunyai peralatan perhubungan seperti pembesar suara, wisel, sepanduk (untuk nama sub kumpulan), tanda pengenalan identiti yang sama dengan kanak-kanak di bawah pengawasan masing-masing, dan sebagainya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: