Tuesday, April 15, 2008

Ibu bapa perlu bertindak dahulu


Ibu bapa perlu bertindak dahulu

Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dikuatiri hilang perlu bertindak dahulu, sebelum melaporkan kehilangannya kepada pihak polis.

Ketua Bahagian Siasatan Penderaan dan Seksual Kanak-kanak Bukit Aman. Asisten Komisioner Suguran Bibib Munshee Dee menasihati ibu bapa atau penjaga yang kehilangan anak membuat laporan segera atau menghubungi talian kecemasan tanpa perlu menunggu sehingga 24 jam seperti yang diamalkan untuk membuat laporan orang hilang biasa.

Nasihat ini diberikannya semasa sidang media pada Seminar Keselamatan Kanak-kanak di UiTM sabtu lepas.

Bagaimanapun ibu bapa atau penjaga masih bertanggungjawab memastikan kesahihan kehilangan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebelum menghubungi pihak polis.

Pihak polis juga perlu memberi keutamaan kepada pelbagai kes jenayah dan ketenteraman awam yang lain.

Antara yang langkah awal dicadangkan perlu dilakukan oleh ibubapa atau penjaga ialah seperti berikut;

1. Mempunyai senarai nama rakan-rakan rapat anak-anak mereka. Senarai ini hendaklah lengkap dengan nombor telefon mereka dan juga ibu bapa mereka (atau orang dewasa).
2. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan lebih awal tempat-tempat yang akan dikunjungi.
3. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan lebih awal dengan siapa mereka akan bertemu, berpergian dan sebagainya.
4. Membiasakan penetapan jangka masa sebagai contoh pukul berapa sepatutnya pulang ke rumah dan sebagainya.
5. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan segera jika terdapat sebarang perubahan masa dan/atau tempat yang hendak dituju.
6. Membiasakan anak-anak mereka menghubungi dalam selang masa 10 minit awal kelewatan ataupun sebelum atau semasa perubahan masa dan/atau tempat yang hendak dituju telah diputuskan.
7. Membiasakan anak-anak mengguna telefon awam untuk menghubungi ibu bapa atau penjaga jiika anak-anak mereka tidak mempunyai telefon bimbit,

Tindakan yang perlu diambil jika kanak-kanak dikuatiri hilang (selepas selang masa 10 minit dan 30 minit);

1. Jika kepulangan kanak-kanak ini sudah melewati setengah jam dari masa yang telah ditetapkan, hubungi mereka terutama jika kanak-kanak ini tidak menghubungi mereka selepas 10 minit dari masa yang telah ditetapkan ini.
2. Jika kanak-kanak ini tidak dapat dihubungi, hubungi rakan-rakan yang telah dikenalpasti berpergian sesama mereka.
3. Jika rakan-rakan kanak-kanak tidak dapat dihubungi, hubungi ibu bapa atau penjaga mereka untuk kepastian sama ada anak-anak mereka sudah kembali atau tidak.
4. Jika semua ini tidak dapat dihubungi, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil keputusan menghujungi ke semua tempat-tempat yang mungkin ditujui oleh anak-anak mereka.
5. Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan cuba melalui laluan yang mungkin dilalui oleh anak-anak mereka ini.
6. Pada masa yang sama, sistem pengkalan juga mesti diujudkan iaitu mesti ada seseorang (seelok-eloknya orang dewasa) di rumah untuk memaklumkan kepada mereka yang keluar mencari kanak-kanak ini jika dia sudah kembali ke rumah.
7. Mereka yang keluar mencari juga perlu memaklumkan kepada mereka yang menjaga sistem pengkalan di rumah mengenai status pencarian mereka.

Tindakan yang perlu diambil jika kanak-kanak dikuatiri hilang (selepas selang masa 1 jam dan 2 jam);

1. Sekiranya selepas selang masa 1 jam kanak-kanak ini tidak dapat ditemui, ibu bapa atau penjaga perlu menghubungi talian kecemasan dan pada masa yang sama meneruskan pencarian.
2. Sekiranya selepas selang masa 2 jam kanak-kanak ini tidak dapat ditemui, ibu bapa atau penjaga perlu membuat laporan kehilangan di balai polis yang berdekatan dengan membawa barangan/dokumen seperti berikut;

*Gambar terbaru kanak-kanak seelok-eloknya bersaiz pasport dan bersaiz poskad (gambar penuh),
*Memaklumkan sifat diri kanak-kanak seperti ketinggian dan berat badan, warna dan jenis rambut, warna kulit, sebarang tanda lahir jika ada.
*Memaklumkan jenis dan warna pakaian yang dipakai kali terakhir dilihat.
*Memaklumkan tempat dan masa yang mungkin kanak-kanak itu pergi.
*Memaklumkan nama rakan-rakan yang pergi bersama-sama.
*Membawa pakaian yang kerap dipakai oleh kanak-kanak (atau yang belum dibasuh). Ini mungkin boleh membantu anjing pengesan polis jika perlu.

Akhir sekali ibu bapa atau penjaga juga perlu memeriksa dan mengenalpasti di rumah masing-masing atau di dalam bilik kanak-kanak ini jika terdapat sebarang tanda-tanda yang mungkin berkaitan dengan kehilangan kanak-kanak ini. Sekiranya kanak-kanak ini merancang untuk melarikan diri, mereka biasanya membawa beberapa peralatan peribadi mereka. Kadang-kadang kanak-kanak ini juga akan memaklumkan atau membayangkan hasrat mereka kepada ahli keluarga yang lain terutama kepada mereka yang kecil dari mereka.

Malah kanak-kanak ini juga mungkin memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain tentang rakan-rakan baru atau orang asing yang baru dikenali mereka.

Ingat, kelewatan melaporkan kehilangan sehingga melepasi selang masa 1 jam dan 2 jam, boleh menyukar pihak polis membuat pencarian. Tetapi terus melaporkan kehilangan dalam masa selang setengah jam pertama boleh menyusahkan pihak polis sementelah ianya tidak benar.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com

Penulis adalah bekas Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti Taiping (Juvenile), Penyelaras Kelas Pendidikan Khas (kanak-kanak Istimewa), Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama, Penyelaras Aktiviti Kanak-kanak Tabika Perpaduan Daerah Larut Matang dan Selama, serta bergiat aktif dalam siri-siri ceramah Keselamatan Kanak-kanak di sekolah-sekolah rendah dan menengah

No comments: