Tuesday, April 8, 2008

Periksa kunci pintu bilik air rumah anda


Periksa kunci pintu bilik air rumah anda
Siratan asal pada 4-Mac-08,
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/

(Dalam siratan sebelum ini, saya sering mengingatkan tentang kemalangan di bilik air terutama pada permukaan lantainya yang basah dan melibatkan pengguna dari kalangan kanak-kanak kecil dan orang tua yang kurang upaya.)

Saya mengunjungi rumah orang tua saya pada cuti hujung minggu lepas. Alhamdulillah, kesihatan ayah saya bertambah baik dan boleh bergerak sendiri tanpa bertongkat atau dipimpin oleh emak sama ada ke bilik air dan sebagainya. Emak meminta saya menasihati ayah supaya tidak mengunci pintu bilik air semasa beliau berada di dalamnya. Sebenarnya sudah kerap-kali saya mengingatkan ayah tapi beliau masih lagi cenderung untuk mengunci pintu bilik air semasa berada di dalamnya.

Saya bercadang pada minggu ini akan menukar kunci pintu bilik air di rumah orang tua saya kepada jenis yang boleh dibuka dari luar jika perlu. Kunci seumpama ini banyak digunakan di pintu bilik air di hospital dan sebagainya.


Mengapa kita memerlukan kunci kepada pintu?

Pada dasarnya kunci diperlukan supaya pintu boleh ditutup dengan selamat. Sistem pintu berkunci penting untuk menghalang mereka yang tidak diingini dari masuk atau keluar dari sesuatu ruang (rumah atau bilik umpamanya). Bagaimanapun dalam situasi bilik air, pintunya hendaklah menggunakan sistem kunci yang boleh dikunci dari dalam dan pada masa yang sama ianya boleh dibuka dari luar jika perlu ataupun jika berlaku kecemasan di mana penggunanya (terutama dari kalangan kanak-kanak atau orang tua yang kurang upaya) tidak boleh atau tidak mampu membukanya.

Selain dari pintu bilik air, pintu-pintu kabinet atau laci almari sama ada di dapur atau di dalam bilik juga perlu diberi perhatian terutama terdapat kanak-kanak kecil di dalam rumah.

Kini terdapat pelbagai pengunci yang boleh dibeli di pasaran untuk mengunci ”sementara” pintu-pintu kabinet atau laci almari ini. Emak saya dahulu hanya menggunakan tali ”rafia” dan kadang-kadang ”getah bulat” sahaja untuk mengunci pintu-pintu kabinet ini. ”Cable tie” juga boleh digunakan untuk tujuan ini.

Selain dari itu, sekiranya bilik air menggunakan tandas duduk, ciri keselamatan pada penutup tandas itu juga perlu diambik berat. Terdapat kemalangan yang dilaporkan apabila kanak-kanak kecil cuba memanjat masuk ke dalam takungan tandas ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keterangan gambar;
Gambar 1. Kunci pintu yang boleh dibuka dari luar menggunakan pin.
Gambar 2., 3., dan 4. Jenis-jenis pengunci pintu kabinet dan almari.
Gambar 5. dan 6. Pengunci atau pengikat penutup tandas duduk

No comments: