Wednesday, April 16, 2008

Kemalangan Maut, Apa Yang Harus Dilakukan?

Kemalangan Maut, Apa Yang Harus Dilakukan?

Apabila berhadapan dengan kemalangan maut, apa yang harus dilakukan?

Bukanlah satu pencapaian yang hendak dibanggakan. Kebetulan selama di dalam hampir 20 tahun di industri perkilangan, saya telah berhadapan dengan tiga kes kemalangan maut industri. Kes-kes kemalangan lain juga seperti putus atau remuk anggota badan agak kerap ditangani sepanjang pengelibatan saya sebagai jurutera dan pengurus OSH.

Kemalangan maut yang pertama ini mengajar saya supaya lebih bersedia untuk menangani kemalangan maut kedua dan ketiga serta kemalangan-kemalangan lain. Bukan sahaja berkaitan dengan pihak dalaman dari aspek pembetulan dan pencegahan supaya kemalangan tersebut tidak akan berlaku lagi tetapi juga dari aspek perhubungan awam dengan pihak-pihak luaran seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH), Polis, pihak insuran dan sebagainya.

Malah saya juga sering dirujuk oleh industri-industri lain yang menegnali saya apabila berlakunya kemalangan maut di tempat kerja mereka. Malangnya, mereka ini sepatutnya menghubungi saya sebelum berlakunya kemalangan maut ini dan bukannya ketika sedang bergelut sebaik sahaja kemalangan maut berlaku.

Baru-baru ini sewaktu menyampaikan kursus kepada pekerja-pekerja asrama di sebuah organisasi, saya ditanya soalan yang sama tetapi menjurus kepada kemalangan bunuh diri secara terjun dari bangunan tinggi.

Berikut adalah syoran saya jika anda berhadapan dengan kes kemalangan maut yang berkaitan dengan kemalangan maut.

1. Jika mangsa masih bernyawa, sila dapatkan bantuan dari pegawai perubatan ataupun ahli pertolongan cemas.
2. Jangan alihkan anggota badan mangsa kerana mungkin boleh memudaratkannya. Kecuali anggota badan mangsa perlu dialihkan untuk mengelakkan kecederaan bertambah terus seperti hampir dengan mesin, punca api dan sebagainya.
3. Jika anda was-was sama ada mangsa masih bernyawa atau tidak, periksa nadi mangsa. Jika anda tidak tahu atau tidak terlatih dalam hal ini, dapatkan bantuan.
4. Jika mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, tutup anggota badan mangsa melitupi kepala untuk mengelakkan trauma kepada orang lain.
5. Biarkan kaki mangsa terdedah sedkit untuk menunjukkan ada mayat mangsa terbaring.
6. Mayat seelok-eloknya ditutup dengan kain. Jika tiada kain, boleh menggunakan helaian suratkhabar.
7. Tujuan mayat ditutup adalah untuk menutup aibnya.
8. Rentangkan tali atau apa-apa barang untuk menandakan kawasan mayat.
9. Jangan ubah kedudukan mayat untuk mengesahan lokasi akhir mayat oleh pihak-pihak berkaitan kecuali terpaksa.
10. Ambil pengenalan diri mangsa. Biasanya merujuk kepada kad pengenalan atau mana-mana pengenalan diri dari dompet mangsa,
10. Ambil gambar lokasi akhir mayat dan gambar-gambar sekelilingnya.
11. Ambil nama-nama saksi, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.
12. Minta pegawai berkenaan untuk menghubungi pihak berkuasa.
13. Pada masa yang sama minta pegawai yang terlatih untuk menghubungi waris mangsa.

Pemberitahuan (notification) juga merupakan aspek penting dalam kes-kes kemalangan tidak kiralah sama ada kemalangan biasa ataupun maut. Pegawai yang bertanggung-jawab untuk melaporkan perlu bersedia. Sekiranya untuk pelaporan kepada pihak berkuasa, pegawai ini mesti bersedia dengan butiran lengkap kejadian dan peribadi mangsa.

Pegawai yang bertanggungjawab untuk melaporkan kepada waris juga perlu berdiplomasi sebaik mungkin. Seelok-eloknya pegawai ini melaporkan secara bersemuka dengan waris. Penggunakan psikologi juga perlu terutama jika berhadapan waris mangsa yang emosional ataupun yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung dan sebagainya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keterangan gambar;
Gambar adalah kemalangan jalan raya yang diterima penulis melalui email. Gambar kemalangan industri terlalu ngeri untuk dipaparkan di sini. Jika ada yang berminat mendapatkannya, hubungi penulis.

2 comments:

Unknown said...

sy nk gmbr utk kemalangan industri blh tak??ade assignment kena buat psl kemalangan industri utk pertolongan cemas.TQ!;)
email kat qeagrumpygirl@gmail.com

lukmanw@gmail.com said...

Salam

Emailkan direct ke lukmanw@uum.edu.my dan nyatakan lebih details mengenai gambar yg diperlukan - jenis industri, jenis kemalangan dll.

Lukmanw