Saturday, July 27, 2013

Keselamatan Kanak-kanak Semasa Keluar Membeli-belah


Keselamatan Kanak-kanak Semasa Keluar Membeli-belah

Antara perkara yang kami suami-isteri paling cuba elakkan semasa anak lelaki kami berusia sekitar 4 dan 5 tahun dahulu ialah keluar membeli-belah. Anak lelaki kami yang lahir tidak cukup bulan ini dianggap oleh doktor sebagai hyperactive pada usia 4 dan 5 tahun ketika itu. Ketika ini juga anak lelaki kami itu sudah tidak mahu lagi menggunakan kereta tolak kanak-kanak.

Dengan susuk badannya yang kecil dan kurus (ketika itu), mudah sekali dia melepaskan diri dari pandangan kami suami-isteri.

Dengan nasihat pakar, doktor kanak-kanak dan juga melalui pembacaan, kami rasanya berjaya “mengekang” sifat hyperactive anak lelaki kami itu semasa keluar membeli-belah. Bagaimanapun kami tidaklah sampai menggunakan tali pengikat seperti yang pernah disyorkan oleh seorang doktor kanak-kanak. Antara langkah-langkah yang diamalkan kami ialah:

Persedian Awal Sebelum Keluar Rumah

Pilih waktu dan masa sesuai. Jangan pilih waktu tengahari atau waktu lain yang kurang sesuai untuk keluar rumah. Jangan ajak atau paksa anak kecil ini keluar rumah bersama kita semasa mereka sedang menonton tv siri kegemaran mereka. Seeloknya elakkan mereka menonton tv atau membuat apa-apa aktiviti kegemaran mereka sejurus sebelum keluar rumah.

Ibubapa perlu bersiap dahulu. Begitu juga dengan persiapan kenderaan yang hendak digunakan. Jangan biarkan kanak-kanak menunggu terlalu lama untuk memulakan perjalanan setelah mereka siap berpakaian.

Sedondong! Iya, itulah yang dicadangkan oleh pakar kanak-kanak. Pakaian dengan warna yang sama atau hampir sama sebenarnya memudahkan untuk kanak-kanak ini dicam ataupun sebaliknya untuk mereka mengecam ibubapa mereka.

Pengenalan di kepala (bahagian tertinggi kanak-kanak) seperti topi pada anak lelaki atau skaf dan tudung pada anak perempuan yang berwarna garang dan mudah kelihatan dari jarak jauh. Elakkan warna hitam atau puteh.

Deringan pada aksesori pakaian atau kasut. Pakar juga mencadangkan agar kanak-kanak terutama yang superactive mengenakan aksesori pakaian atau kasut yang mengeluarkan deringan. Deringan ini boleh membantu ibubapa lebih peka (alert) dengan kehadiran yang hampir kanak-kanak ini dengan mereka. Deringan yang mula pelahan menandakan kanak-kanak itu mula berjauhan.

Pastikan kanak-kanak bersedia untuk memulakan perjalanan. Ibubapa perlu memenuhi kehendak-kehendak asas kanak-kanak ini seperti makan (sekadar mengalas perut, jangan pula terlalu kenyang), buang air kecil/besar dahulu dan sebagainya.

Malah ibubapa juga perlu memenuhi kehendak-kehendak asas ini sendiri sebelum memulakan perjalanan.

Memaklumkan rancangan perjalanan kepada kanak-kanak. Walaupun kanak-kanak ini belum mengerti sepenuhnya, ibubapa perlu memaklumkan rancangan perjalanan kepada mereka. Gambarkan perjalanan dengan membayangkan keseronokan semasa berperjalanan ini.

Malah pakar kanak-kanak mengesyorkan agar kegembiraan atau keseronokan untuk keluar rumah itu dizahirkan secara lebih awal atau berulang kali. Mungkin boleh dizahirkan secara menyanyikannya.

Jangan pakaikan aksesori yang mahal dan mewah (atau nampak mahal dan mewah!) kepada kanak-kanak seperti rantai, subang dan sebagainya. Malah jam walaupun sebenarnya berharga murah juga tidak digalakan.

Merancang perjalanan

Kami cuba merancang seteliti yang mungkin dan cuba mematuhi perancangan asal atau perancangan awal. Harus dingatkan ketika penghujung 90an itu kami berdua suami-isteri belum lagi menggunakan kemudahan telefon bimbit.

Langkah awal ialah memulakan pembelian untuk anak dahulu. Kemudian giliran saya sebagai bapa dan akhir sekali giliran isteri saya. Sekiranya semasa tiba giliran isteri, anak saya sudah mula membuat perangai (jemu), saya akan membawanya ke kawasan menjual alat permainan ataupun terus ke tempat makanan (pusat penjaja). Pada masa yang sama ianya memberi peluang masa yang lebih panjang untuk isteri saya membeli-belah ataupun memilih pakaian yang diminatinya.

Langkah kedua ialah memastikan tiada atau kurang barangan yang dibawa ketika berjalan. Ini bertujuan agak saya atau isteri tiada bermasalah untuk memegang tangan anak saya tersebut. Ini bermakna barangan yang dibeli dihantar dan disimpan di dalam kereta sebelum menyambung sesi membeli-belah ataupun pergi ke tempat lain.

Melekakan mereka seketika

Ada pakar kanak-kanak yang mengesyorkan agar kanak-kanak ini dilekakan seketika. Syoran pakar ini ialah permainan yang selamat. Elakkan permainan yang sukar dipegang atau digengam seperti bola kerana ianya mudah terlepas dari genggaman anak kecil ini.

Alat permainan yang sesuai ialah jenis bertali (tali pendek) yang boleh dikepilkan pada pakaian. Ataupun jenis bertali dengan gegelang yang boleh disarung pada pergelangan tangan anak kecil ini.

Yang dahulu didahuluikan

Bagaimana anda memesan menu makanan untuk dimakan? Biasakan memesan makanan atau minuman untuk sikecil dahulu. Minta dihantar dahulu makanan anak kecil ini. Atau pesan dahulu makanan ringan kesukaan mereka.

Ini bertujuan mengelakkan kanak-kanak ini menjadi jemu jika terlalu lama menunggu makanan siap dihidang.

Bersedia Untuk Sebarang Kemungkinan

Ada pakar kanak-kanak yang mencadangkan kanak-kanak dipakaikan dengan tag nama lengkap dengan keterangan atau butiran ibubapa. Tetapi langkah inijuga merbahaya jika ada penculik yang ingin ambil kesempatan.

Saranan lain ialah memastikan ada butiran ibubapa di dalam kocek atau saku pakaian kanak-kanak ini untuk memudahkan pihak berkuasa untuk menghubungi ibubapa jika terjadinya kehilangan kanak-kanak ini.

Ibubapa jangan panik jika menyedari kehilangkan anak kecil mereka. Jangan ambil masa terlalu lama cuba mencari kanak-kanak hilang ini. Terus berhubung dengan pihak berkuasa di tempat membeli belah atau polis.Maklumkan pengenalan kanak-kanak tersebut seperti saiz badan (gempal atau kurus), ketinggian, warna pakaian dipakai, lokasi terakhir dilihat dan sebagainya.

Sepatutnya kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke atas (atau lebih muda) sudah boleh menyebut nama penuh kedua-dua iubapanya dan juga beberapa makluman asas seperti tinggal di mana dan sebagainya. Maklumat sebegini penting jika kanak-kanak ini dijumpai berkeliaran oleh pihak berkuasa.

Akhir sekali pepatah lama ada menyebut – biar anak menangis sekarang jangan ibubapa menangis kemudian ada benarnya. Ketegasan ibubapa juga perlu untuk menangani sebarang masalah berkaitan kanak-kanak semasa keluar membeli-belah. Jalan yang paling selamat ialah tidak atau kurangkan membawa kanak-kanak keluar membeli-belah. Cari alternatif atau pendekatan lain untuk membeli peralatan keperluan kanak-kanak ini tanpa perlu membawa mereka bersama.

http://oshthejouurney.blogspot.com/

No comments: