Sunday, June 23, 2013

Darurat di Muar dan Ledang – apa yang mesti orang ramai buat?

 Darurat di Muar dan Ledang – apa yang mesti  orang ramai buat?

(Saya berada di Seremban 2 sekarang ini. Semalam saya di Telok Mas Melaka yang terletak hampir dengan Muar. Dalam minggu ini saya akan berulang-alik lagi ari Seremban 2 ke Telok Mas, Melaka untuk melawat bapa saya yang terlantar uzur di rumah kakak saya. Sedikit sebanyak saya turut merasa kesan jerebu ini!).

1. Manaafkan teknologi (sms dan media sosial)

Melalui posting di Facebook, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel mengumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuatkuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 setakat 7 pagi ini. 



Manakala melalui sms kepada Astro Awani, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel mengesahkan pengisytiharan darurat jerebu ini.

Semasa jerebu teruk yang berlaku pada tahun 1997, negeri Sarawak mencatat IPU 800 dan negeri itu diisytiharkan darurat jerebu selama hampir seminggu. Pada semasa jerebu pada tahun 2005 pula, pengisytiharkan darurat jerebu dibuat di seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang selepas kedua kawasan tersebut masing-masing mencatatkan bacaan 531 dan 529.

2. Apa yang mesti  orang ramai buat semasa darurat?

Portal berita iternet mStar melaporkan sebentar tadi.

JOHOR BARU: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar meningkat kepada 746 setakat pukul 7 pagi, di mana lebih sekali ganda daripada tahap standard berbahaya menurut laman web Jabatan Alam Sekitar pada Ahad.

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub berkata, para pegawai kesihatan termasuk ambulan bersedia sekiranya terdapat kecemasan ekoran jerebu.

“Semua anggota kami berada di Muar pada hari ini, dan kami bersedia untuk sebarang insiden termasuk kemalangan yang mungkin berlaku disebabkan oleh jarak penglihatan yang kabur di jalan raya.

Buat masa ini, saya menasihatkan semua orang duduk di laman rumah, tanpa sebarang alasan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad. Beliau menambah, berada di luar menggunakan topeng muka juga tidak digalakkan.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, sebarang bacaan IPU melebihi 301 dikira sebagai berbahaya. Bacaan terakhir setakat pukul 4 petang Sabtu menunjukkan IPU di Muar ialah 453.

Semua kawasan lain di Johor turut merekodkan bacaan IPU melebihi tahap tidak sihat. Ini termasuk Kota Tinggi pada 137, Pasir Gudang (127) dan Larkin Lama (117).

3. Adalah orang ramai tahu apa yang mesti  mereka semasa darurat?

Jika mengikut makluman mStar di atas, semua orang di kawasan yang terdedah kepada jerubu dinasihatkan berada di dalam rumah (tanpa sebarang alasan).

Sebenarnya saya difahamkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mepunyai prosedur organisasi yang terlibat dan arahan/nasihat untuk orang awam atau orang ramai yang terbabit dalam kawasan darurat akibat jerebu ini.

Tanpa persediaan awal, agak sukar untuk orang ramai duduk dalam rumah sehingga keadaan luar rumah pulih sediakala. Walaupun Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub menegaskan TANPA ALASAN untuk tidak duduk dalam rumah, tanpa persediaan awal terutama dari segi keperluaan asas, arahan atau nasihat ini sukar dipatuhi.

Saya pasti mereka (di pihak pengurusan) yang bertanggungjawab terhadap persediaan menghadapi bencana di Malaysia ini sedia maklum mengeni Teori Keperluan Maslow. Tahap di bawah sekali mewakili tapak segitiga (fisiologikal) adalah keperluan asas yang menjadi keutamaan orang ramai tidak kira di masa aman walaupun masa bencana.


Sepatutnya juga, media masa terutama media elektronik dengan kerjasama MKN memainkan tanggungjawab sosial mereka mulai minggu lepas secara berterusan mengingatkan orang ramai bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari gejala jerebu ini sehinggakan ke tahap pengisytiharan darurat.

Pada masa yang sama ketika ini (sebaik sahaja pengisytiharan darurat diumumkan), pembekal perkhidmatan telefon bimbit boleh menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan menghantar sms lambakan (sms blasting) kepada semua pelanggan mereka memaklumkan apa yang perlu orang ramai buat semasa darurat jerebu ini.

Tanpa sebarang makluman sebegini, orang ramai hanya tahu apa yang perlu dibuat hanya dudukdi rumah! 

Apa lagi yang perlu dibuat selain duduk di rumah? Boleh duduk di dalam rumah (TANPA  ALASAN untuk keluar!) jika tiada persediaan asas?

Manusia belajar dari kesilapan. Darurat berkaitan jerebu telah pernah diisyiharkan dua kali iaitu pada tahun 1997 dan 2005. Tetapi apakah yang kita (atau pihak yang bertanggungjawab!) belajar dari kesilapan ini?

Salah seorang Guru OSH saya berpesan – manusia memang belajar dari kesilapan tetapi di dalam OSH, manusia perlu  (MESTI!) belajar dari kesilapan orang lain. Sudah terlambat (nungkin sudah mati!) jika hendak belajar dari kesilapan OSH sendiri!

Pengalaman menghadapi bencana SARS dan H1N1 semasa bekerja di syarikat elektronik dahulu mengajar saya kepentingan komunikasi ketika bencana ini,

Komunikasi terhad atau tidak disampaikan sepenuhnya menyebabkan rasa panik. Rasa panik adalah musuh dalaman dan mush nombor satu yang boeh menyebabkan segala tindakan yang bakal diambil menemui jalan buntu atau gagal.

Semalam semasa di rumah kakak saya di Teluk Mas. Melaka, kakak saya memberitahu semua kedai farmasi berdekatan telah kehabisan topeng muka kertas.

Inilah juga terjadi kepada saya semasa bencana SARS dan H1N1 dahulu. Malah, akibat permintaan melebihi keluaran, topeng muka kertas ini (satu jenama yang agak terkenal) biasanya boleh dibeli RM 2.80 satu telah dijual RM 6.30! Saya masih teringat lagi syarikat yang saya bekerja mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membeli 3,000 topeng muka kertas ini untuk diedarkan kepada semua pekerja.

Sekiranya orang ramai dimaklumkan lebih awal (dan makuman dari masa ke semasa) apa yang mereka perlu buat semasa menghadapi bencana jerebu ini, saya pasti mereka lebih bersedia.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

2 comments:

lukmanw@gmail.com said...

Ini untuk tindakan agensi/organisasi yang terlibat, bagaimana pula dengan orang ramai?

KOSMO 23/06/2013 4:27pm

Apabila keadaan Darurat Bencana Jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri dan Daerah hendaklah mengambil tindakan-tindakan perlu seperti berikut:

a) Menasihatkan penutupan pejabat atau premis kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan, kuari serta kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

Langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diambil pada setiap masa.

Nasihat penutupan ini adalah dikecualikan bagi: i) Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Air; ii)Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Elektrik; iii) Perkhidmatan-perkhidmatan Kesihatan Awam; iv) Perkhidmatan-perkhidmatan Bomba; v) Perkhidmatan-perkhidmatan Penjara; vi) Perkhidmatan-perkhidmatan Pos; vii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telefon dan Telekomunikasi; viii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telegraf ix) Perkhidmatan-perkhidmatan komunikasi radio, termasuk perkhidmatan penyiaran dan televisyen; x) Perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan termasuk limbungan, dermaga dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada kaitan dengannya; xi) Perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan darat, laut dan udara; xii) Perkhidmatan-perkhidmatan membekal bahan-bahan pembakar dan minyak pelincir; xiii) Perkhidmatan perbankan dan kewangan; xiv) Semua perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana jerebu di bawah Arahan MKN no.20 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

b) Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta mana-mana agensi yang berkaitan melaksanakan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak yang terletak dalam kawasan Darurat Bencana Jerebu;

c) Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan penyiaran maklumat-maklumat kesedaran mengenai jerebu secara berterusan untuk panduan orang awam;

d) Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana agensi yang berkaitan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap sumber-sumber yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara; e) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut dan pembakaran terbuka dengan kerjasama agensi-agensi lain;

f) Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan pemantauan dan rawatan bagi masalah kesihatan yang disebabkan keadaan berjerebu di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan;

g) Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan melaksanakan aktiviti pembenihan awan dalam keadaan cuaca yang membolehkan kejayaan operasi bagi mengurangkan masalah jerebu;

h) Semua Kementerian, Jabatan atau agensi-agensi yang berkaitan menangguhkan aktiviti-aktiviti luar atau riadah yang melibatkan masyarakat. - Bernama


lukmanw@gmail.com said...

Saya difahamkan kerajaan Singapura telah membeli 1 juta face mask N95 untuk diedarlkan percuma kepada rakyat Singapura.

Langkah ini menyebabkan stok face mask N95 kekurangan/kehabisan di Malaysia. Pada masa yang sama sudah tentu harganya akan meningkat.