Wednesday, June 12, 2013

Tq Minister! Please walk the talk!


Tq Minister! Please walk the talk!

From Biker @ OSH Practitioner @ OSH Blogger @ Riding Blogger

http://oshthejourney.blogspot.com

Tinjau laluan motosikal
Harian Metro 12 Jun 2013

Putrajaya: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan meninjau sendiri keadaan laluan motosikal di lebuh raya, minggu depan sebagai menyahut cabaran penunggang motosikal yang meminta beliau turun padang merasai sendiri kesukaran mereka.

Hishammuddin berkata, beliau mendapat komen daripada beberapa penunggang motosikal yang meminta beliau tengok sendiri keadaan laluan di lebuh raya yang teruk, berlubang dan tidak diselenggara dengan baik.

“Saya ada menerima beberapa komen yang mengatakan pemangku Menteri Pengangkutan selalu naik motosikal, jadi suruh dia tengok sendiri keadaan laluan motosikal. Saya sahut cabaran itu dan akan turun lihat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sistem Penilaian Kendiri Pengurusan Kewangan (SPKPK) di Kementerian Pengangkutan, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Long See Wool.

“Walaupun tanggungjawab itu di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya, malah saya sendiri sudah berbincang dengan menterinya, Datuk Fadhilah Yusof supaya masalah ini dapat diatasi, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan penunggang motosikal.

“Pada masa sama, orang ramai juga perlu faham kita tidak boleh menyelesaikan masalah ini sekelip mata kerana ia mungkin membabitkan pihak ketiga sama ada kementerian, agensi atau jabatan,” katanya. Beliau berkata, orang ramai juga boleh memberikan maklum balas kepada kementerian mengenai laluan atau jalan yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jumaat ini untuk melihat isu yang menyentuh bidang jabatan berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, kementerian turut memberi tumpuan kepada pengukuhan unit dasar bagi memastikan hala tujunya lebih jelas.

No comments: