Thursday, November 13, 2014

Apa yang kita orang awam perlu tahu mengenai Perundangan dan juga Perlembagaan.



Apa yang kita orang awam perlu tahu mengenai Perundangan dan juga Perlembagaan.

(Bolehkah atau adanya ruang OSHA 1994 dan FMA 1967 dicabar dalam mahkamah kerana bercanggah dengan Pelembagaan?)

Ramai yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah bercanggah dengan Perlembagaan sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Benarkah ianya mengejutkan?                         

Untuk makluman juga ini bukanlah kes pertama Perundangan Syariah dicabar di mahkamah. Sebelum ini, juga di Negeri Sembilan, Fathul Bari Mat Jahya, anak bekas mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin dan Nik Amirul Faiz Nik Md Yusof memfailkan petisyen untuk mendapatkan deklarasi bahawa Seksyen 53 (1) Enakmen 1992 tidak sah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Fathul Bari bukanlah kerana berpakaian perempuan sebaliknya beliau dituduh kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Sebelum itu, sekumpulan lelaki di didakwa di bawah ENAKMEN 4 TAHUN 1992, ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992. BAHAGIAN IV – KESALAHAN. Darihal kesalahan mengenai kehormatan diri. Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan. Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Berbeza dengan kes Kajol, 25, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Jeffri dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di tapak ekspo, 15 April 2011.

Kajol disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan Bilangan 2/85 kerana berpakaian tidak senonoh dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan dengan jelas menyatakan “memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan”, manakala Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan hanya menyatakan “berpakaian tidak senonoh”.

Sama seperti Akta 336 AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (Disemak-1987) kerap kali dirujuk atas kesalahan-kesalahan berikut:

S12. Kesalahan berhubungan dengan jalan awam
S13. Bunyi bising yang keterlaluan
S14. Kelakuan yang menghina.
S15. Pelbagai kacau-ganggu.
S18. Kelakuan tak senonoh dalam hotel, rumah penginapan, dll.
S20. Berkelakuan tak senonoh di mesyuarat awam
S21. Kemabukan dan berkelakuan tak senonoh di tempat Awam

Begitu juga kes pasangan lelaki yang hanya berseluar panjang hitam dan seorang wanita berbikini putih dan mengenakan kain layah, yang dituduh di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib.

(Untuk makluman, tiada Seksyen 41 dalam Akta Kesalahan Kecil 1955! Bukan typo error tapi hampir kesemua surat khabar mencatatkan Seksyen 41 (sepatutnya Seksyen 21). Adakah kesilapan dari Bernama ataupun Press Release dari Polis sendiri? Dalam Akta Kesalahan Kecil 1955 hanya terdapat 34 Seksyen sahaja.)

Ini bermakna perundangan yang sedia ada tidak seragam dan tidak jelas taksirannya walaupun di dalam satu negara Malaysia.

Ayat (pertuduhan) lelaki berpakaian wanita dan ‘berpakaian tidak senonoh” adalah terlalu subjektif. Malah sekali pandang dalam gambar sekumpulan lelaki yang mencabar perundangan Syariah Negeri Sembilan itu berpakaian begitu sopan! Mujur tiada di antara mereka yang bertudung!

Perundangan sedia ada sama termasuk Syariah juga adalah tertakluk di bawah Perlembagaan seperti dinyatakan dalam Perkara 4. (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Ini bermakna jika ada sebarang percanggahan dengan Pelembagaan, undang-undang itu tidak sah!

Untuk makluman,  Perlembagaan Malaysia telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Untuk meminda perlembagaan, satu majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini memerlukan persetujuan pada kedua-dua dewan di Parlimen. Ini bermakna perlembagaan boleh dipinda.

Semoga ada pengamal perundangan terutama yang beragama Islam boleh menjelaskan lagi isu ini. Mungkin juga Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), boleh tampil membuat pencerahan di samping penyelesaian terbaik.

http://oshthejourney.blogspot.com




Mereka yang berminat untuk dapatkan Perlembagaan Malaysia dan Akta 336 AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (Disemak-1987) boleh download di sini dan di sini


RALAT 14 Nov 2014

Sekali lagi media massa “khilaf” dalam laporan mereka. Sepatutnya Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 (Kelantan) Seksyen 7 ini ditulis sepenuhnya “memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan” dan bukannya hanya ditulis “berpakaian tidak senonoh”. Tuduhan menggunapakai perkataan “tidak senonoh” hanya ada di dalam Akta 336 AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (Disemak-1987) 

Petikan sepenuhnya.

ENAKMEN 2 TAHUN 1985. ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH 1985. BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN Seksyen 7. Pondan.

Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.


Terima kasih kepada sahabat pengamal perundangan yang menegur posting saya ini Pada masa yang sama penamal media massa juga perlu lebih teliti.

Untuk merujuk semua negeri Enakmen Syariah inim boleh klik link ini.


No comments: