Wednesday, April 15, 2009

Apa kata mereka – kemalangan bas ekpress?

Apa kata LPKP?
Apa kata LPKP?
Apa kata Syarikat AB Express?
Apa kata Menteri Pengangkutan?
Apa kata NGO? Apa kata pula JKJR dan MIROS?


Tragedi bas: Inkuiri 21 April
Utusan Malaysia. 15-April-2009

KUALA LUMPUR 14 April - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan mengadakan satu inkuiri pada 21 April ini berhubung kes kemalangan bas AB Express yang meragut enam nyawa awal pagi semalam.

Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran berkata, notis mengenai inkuiri itu telah dihantar kepada pihak syarikat bas berkenaan dan mereka dikehendaki hadir pada tarikh yang ditetapkan.

Menurut beliau, selain itu notis tersebut turut meminta pihak syarikat terbabit memberi tunjuk sebab serta alasan mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan oleh pihak LPKP.

''Saya akan turut sama berada dalam panel LPKP selain dibantu oleh beberapa agensi-agensi kerajaan lain seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

''Kita akan mengadakan siasatan terperinci sepanjang inkuiri ini dilakukan dan kita akan melihat dalam pelbagai sudut terutama isu kegagalan pihak pengusaha mengenal pasti dua pemandunya yang mempunyai beberapa saman tertunggak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian kemalangan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang. Kemalangan itu menyebabkan enam orang terbunuh.

Kemalangan ngeri pada pukul 5 pagi itu berlaku ketika sebahagian besar penumpang sedang tidur lena.

Dalam pada itu Markiman kesal dengan tindakan pihak syarikat berkenaan membenarkan dua pemandu bas tersebut memandu kenderaan itu.

Tegas beliau, pemandu bas yang tidak berdisiplin kerana mempunyai banyak saman tertunggak sewajarnya dihalang daripada membuat pemanduan kerana ia boleh membahayakan nyawa orang ramai.

''LPKP sering memberi pesan dan nasihat kepada pengusaha bas ekspres supaya sentiasa mengambil tahu keadaan pemandu mereka. Kita mahu pemandu bas yang bersih. Kita tidak mahu ada pemandu yang mempunyai banyak saman tertunggak seperti kedua-dua pemandu terbabit.

''Para pengusaha harus sedar perniagaan bas ekspres ini melibatkan nyawa manusia dan mereka perlu membuat persediaan rapi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,'' katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai langkah yang sepatutnya diambil bagi mengatasi masalah tersebut, Markiman berkata, pihak syarikat wajib menghantar pemandu seperti itu menjalani kursus.

No comments: