Dua minggu lepas saya menghadiri seminar berkaitan keselamatan dalam sektor pengangkutan. Seminar anjuran JKKP ini mendapat sambutan yang mengalakkan dari penguasa bas dan lori. Rasanya hampir 200 orang peserta yang memenuhi ruang seminar di Hotel Sunway Georgetown itu.
Antara speaker yang memberi seminar ialah JKKP, JKJR, MIROS, JPJ dan Shell. Malangnya slot yang ditunggu-tunggu dari Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dibatalkan kerana speaker tidak hadir.
Pagi ini terpampang di mukasurat hadapan akhbar-akhbar perdana gambar bas dua tingkat yang terbabit dalam kemalangan maut. Seperti kebiasaan, hampir semua akhbar akan melaporkan pemandu yang terbabit mempunyai kesalahan-kesalahan lalulintas dan sebagainya. Ini akan diikuti laporan mengenai kenderaan itu sendiri yang bermasalah serta tidak mematuhi peraturan atau standard sedia ada.
Siapa yang patut dipersalahkan dalam kes sebegini? Pemandu (pekerja)? Majikan? Atau pihak berkuasa?
Kenapa majikan tidak memeriksa latar belakang pemandu sebelum mengambilnya bekerja? Dewasa ini, untuk memeriksa kesalahan lalulintas amat mudah sekali. Dengan maklumat asas seperti nama dan nombor perkenalan, banyak laman web pihak berkuasa seperti Polis dan JPJ menyediakan perkhidmatan memeriksan kesalahan lalulintas secara atas talian.
Bagaimana pula kalau kenderaan yang sememangnya bemasalah dan pemandu telah memaklumkannya kepada majikan tetapi majikan mengambil mudah? Ada peserta seminar yang meminta nasihat sebegini, katanya beliau (pemandu) telah melaporkan kepada majikan tetapi disebabkan kekurangan bas (dan juga kekurangan pemandu), majikan mengarahkannya untuk memandu juga kenderaan yang bermasalah itu.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah terlalu banyak pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap sektor pengangkutan ini. Saya pernah bertanya sendiri kepada Ketua Pengarah JKKP mengapa JKKP seolah-olah pihak berkuasa terakhir yang membuat susulan terhadap kemalangan yang melibatkan sektor pengangkutan. Jawabnya ringkas sahaja; terlalu banyak pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Polis dan JPJ mempunyai peranan yang berbeza tetapi berkonsepkan yang sama dan selaras dalam menangani kesalahan lalulintas. LPKP pula berkaitan permit. Saya difahamkan ada dua, tiga lagi badan yang bertanggungjawab.
Mengapa tidak mencontohi Amerika Syarikat yang menyepadukan semua hal-hal berkaitan pengangkutan di bawah satu badan iaitu Department of Transport (DOT)? Malah kepiawaian (standard) topi keledar, talipinggang keledar dan sebagainya juga di bawah badan DOT itu. Sedangkan di Malaysia kepiawaian topi keledar dan talipinggang keledar di bawah SIRIM.
Saya pasti penyelarasan di bawah satu badan berkuasa akan memudahkan lagi pemantauan dan penyeliaan sektor pengangkutan ini.
Ada peserta seminar juga mencadangkan agar ditubuhkan akademik pemanduan untuk pemandu bas dan lori selepas pemandu-pemandu ini mendapat lesen sebelum dibenarkan memandu kenderaan berat ini. Cadangan ini adalah sabagai tambahnilai selain dari hanya lulus ujian memandu, pemandu juga memerlukan kecekapan tertentu dan tempoh pengalaman sebelum membolehkannya bertugas di atas jalan raya.
Antara isu lain yang menarik dalam seminar yang saya hadiri itu ialah kebimbangan yang disuarakan oleh wakil dari JPJ iaitu seorang pegawai kanan JPJ yang pernah menjadi jurucakap JPJ dalam suatu rancangan radio. Dia menyuarakan kebimbangan terhadap trend syarikat-syarikat bas menggunakan bas dua tingkat untuk perjalanan jauh. Sedangkan di luar negara, bas-bas dua tingkat ini hanyalah untuk pengangkutan dalam bandar seperti Bas Dua Tingkat di Kota London. Di Malaysia ada bas dua tingkat yang digunakan untuk membawa pelancong ke Genting Highlands!
Selamatkah bas dua tingkat ini digunakan untuk perjalanan jauh? Pihak berkuasa manakah yang meluluskannya untuk kegunaan perjalanan jarak jauh?
lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/
Berita selanjutnya.
Tragedi bas ekspres
Utusan Malaysia, 14-April-2009
RAWANG 13 April – Walaupun pelbagai langkah dan tindakan telah diambil, namun kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terus berlaku.
Awal pagi ini enam terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang.
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap penguatkuasaan peraturan jalan raya di negara ini sekali gus mengabaikan keselamatan penumpang kenderaan awam.
Dalam kes terbaru, kedua-dua pemandu yang bertanggungjawab menjaga nyawa 33 penumpang sepanjang perjalanan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur itu mempunyai kesalahan lalu lintas yang serius.
Siasatan awal polis trafik mendapati pemandu kedua yang memandu ketika kemalangan memiliki lapan saman - kesemuanya atas kesalahan memandu laju sejak 2002.
Manakala pemandu pertama, antara mangsa yang terbunuh, mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.
Kemalangan ngeri pukul 5 pagi ketika sebahagian besar mangsa sedang lena itu meragut nyawa lima penumpang bas berkenaan selain pemandu pertamanya turut terkorban.
Sementara pemandu kedua, Fauzi Mohamad, 30-an yang memandu bas dua tingkat berkenaan semasa kejadian dan seorang penumpang wanita cedera.
Kesemua penumpang yang terbunuh berada di tingkat bawah bas iaitu Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah; Mohamad Fauzi Awang, 44, dari Kampung Siam, Alor Setar dan Md. Zaher Mohamad, 33, dari Kodiang, Kedah.
Dua lagi penumpang ialah Mohd Yusril Zakaria, 27, dari Kuala Muda, Kedah; C. Magenthiran, 26, dari Klang, Selangor dan pemandu pertama bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang ketika kejadian sedang tidur di belakang tempat duduk pemandu.
Kejadian berlaku ketika bas ekspres milik AB Express itu dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, menghala ke ibu negara.
Abdul Aziz berkata, semasa tiba di lokasi tersebut, bas itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi lebuh raya di sebelah kanan mengakibatkan sebahagian daripada besi penghadang sepanjang 60 meter itu terperosok memasuki tingkat bawah bas itu.
Tambahnya, bas berkenaan kemudian hilang kawalan sebelum terbalik ke kiri lebuh raya sejauh 20 meter dari lokasi rempuhan tersebut.
“Salah seorang daripada penumpang yang maut turut tercampak ke laluan bertentangan akibat rempuhan kuat. Kita percaya bas itu dipandu laju sehingga gagal dikawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Difahamkan, sebahagian mangsa terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan tertusuk sebahagian besi penghadang yang memasuki ‘perut’ bas berkenaan.
Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi bedah siasat dan rawatan lanjut.
Sementara itu, operasi menyelamatkan mangsa melibatkan kira-kira 80 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pasukan polis, bomba dan penyelamat serta peronda PLUS Expressway Berhad.
Tambah Abdul Aziz, pihaknya kini menahan pemandu kedua bas ekspres terbabit yang masih dirawat di hospital untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Zahinor Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.10 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.
Beliau memberitahu, seramai 22 anggota dan empat pegawai beserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Kuala Kubu Bahru dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer dari tempat kejadian berikutan hanya satu lorong boleh digunakan.
No comments:
Post a Comment