Saturday, June 27, 2009

Latihan pengungsian bangunan – mengapa ada pengecualian?





Latihan pengungsian bangunan – mengapa ada pengecualian?

Hari ini pada jam 11.00 pagi, Hotel Sunway Seberang Prai mengadakan latihan pengungsian bangunan (building evacuation drill). Selain dari ”head count”, terdapat juga ”mock-up” mangsa tercedera dan demo menyelamat dari anggota ERT hotel. Sistem penggera aktif dan kedudukan lift yang turun secara automatik ke paras paling bawah (semasa penggera dihidupkan) menunjukkan kesemua sistem-sistem mencegah/mengawal kebakaran tersebut disenggara dan dalam keadaan baik.

Bagaimanapun latihan ini diadakan dengan makluman semua pekerja hotel. Bermula seawal Selasa lalu, memo-memo mengenai latihan ini kelihatan di merata tempat. Memo ini juga memaklumkan bahawa tetamu-tetamu hotel tidak terlibat dalam latihan ini. Sistem siaraya (PA System) juga diuji semalam dan adakalanya menganggu peserta-peserta kursus. Rasanya terdapat lebih dari lima kursus dan dua mesyuarat yang diadakan di tingkat dua hotel ini.

Saya mengambil kesempatan meninjau latihan pengungsian bangunan ini. Sememangnya kesemua kakitangan yang terlibat memberikan kerjasama mereka.

Kebetulan saya sempat berbual dengan salah seorang pihak pengurusan hotel dan menyuarakan kenapa tidak melibatkan tetamu-tetamu hotel. Beliau menjawab agar sukar hotel-hotel di Malaysia yang mengadakan latihan pengungsian bangunan untuk melibatkan tetamu-tetamu mereka. Ini berbeza dengan hotel-hotel di luar negara terutama di Eropah dan di Amerika Syarikat yang memestikan tetamu-tetamu hotel juga terlibat dalam latihan sebegini.

Mengapa di Malaysia (hotel-hotel di Malaysia) tidak “menjemput” tetamu-tetamu mereka untuk bersama-sama dalam latihan pengungsian bangunan sebegini? Sekurang-kurangnya tetamu-tetamu hotel ini juga belajar cara-cara untuk mengungsikan bangunan.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Catatan;

Semasa saya bertugas di Silverstone Taiping, saya merancang dan melaksanakan latihan pengungsian bangunan dengan makluman tarikh dan masa hanya diketahui oleh penyelia ke atas sahaja. Malah kami juga mengadakan latihan sebegini pada waktu malam dan pernah mengadakannya pada jam 4 pagi.

No comments: