Thursday, June 18, 2009

Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan


Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan

(Di Malaysia, Peraturan Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan (untuk bahan-bahan kimia ini) lebih dikenali dengan CPL - Occupational Safety and Health (Classification, Packaging and Labelling of Hazardous’ Chemicals) Regulations 1997.)


Semasa di Jakarta dan di Bandung dua minggu lepas, saya mengalami batuk yang amat sangat. Batuk ini menjadi-jadi terutama di waktu malam dan berada di dalam bilik ataupun kenderaan yang berhawa dingin. Sebenarnya beberapa bulan lepas saya mengalami gejala yang sama. Kata Doktor yang merawat saya ini adalah tanda-tanda penghidap lelah. Saya tidak pernah menghidap lelah sebelum ini. Mungkin faktor umur yang semakin meningkat dan antibodi yang sudah lemah mendedahkan badan saya terhadap penyakit lelah ini.

Saya mengunjungi sebuah farmasi di Bandung dan menyatakan kepada pegawai farmasi yang bertugas mengenai batuk saya.

Pegawai farmasi yang bertugas mengesyorkan saya mengambil OBH Combi yang mengandung Paracetamol, Ephedrine HCL dan CTM serta menerangkan kepada saya fungsi-fungsi bahan tersebut.

Antara fungsi-fungsinya ialah mengeluarkan kahak, mengurangi gejala hidung tersumbat dan bersin serta menurunkan suhu badan.

Beliau juga mengingatkan saya OBH Combi tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah sakit jantung dan juga diabetes.

Bukan sahaja maklumat-maklumat yang penting itu saya perolehi dari pegawai farmasi tersebut, kotak pembungkus ubat batuk ini juga lengkap dengan semua maklumat-maklumat tersebut. Malah terdapat juga amaran kesan akibat pengambilan dos berterusan yang boleh menyebabkan kerosakan hati di samping maklumat mengenai kesan-kesan sampingan semasa menggunakannya.

Saya rasa belum pernah menjumpa maklumat-maklumat yang sebegitu banyak dan berguna sebegini tertulis pada kotak pembungkus ubat. Sememangnya ada maklumat yang ”terlalu teknikal” untuk difahami dalam selitan kertas di dalam kotak pembungkus. Tetapi maklumat yang ringkas dan lengkap sebegini pada kotak pembungkus adalah lebih mudah dibaca dan difahami oleh bakal pengguna.

Adakah amalan sebegini di Indonesia atas dayausaha dan kesedaran pihak pengeluar ubat-ubatan ini ataupun sememangnya ada peraturan (seumpama CPL) yang mewajibkannya?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: