Anak kecil bermain pintu
Entah mengapa kebelakangan ini saya kerap bertemu kejadian
anak kecil bermain pintu sama ada pintu automatic ataupun pintu biasa. Kejadian
terbaru adalah beberapa bulan lepas di Maybank Taiping.
Mungkin disebabkan naluri sebagai pengamal osh, saya menegur
ibubapa anak kecil ini.
Saya dalam perjalanan hendak memasuki bangunan Maybank
Taiping di bahagian ATM. Dari jauh saya sudah ternampak ada kelibat seorang
anak kecil bermain di tepi pintu ini.
Pelanggan di hadapan saya mungkin tidak perasan anak kecil
ini lalu terus menolak helaian daun pintu. Saya secara spontan berjaya menahan
helaian daun itu dengan kaki kanan saya. Hampir nyaris helaian daun pintu
mengapit jari tangan anak kecil itu.
Saya menegur ibubapa (pasangan muda) anak kecil ini yang
sedang sibuk mengisi borang dan mengalpakan anak mereka.
Siibu hanya menarik tangan anak kecil tersebut tanpa
sebarang kata keluar dari mulutnya atau mulut bapa.
Kalaulah anak saya berbuat demikian, sudah tentu berjela kata-kata
pedas dari ibunya dan pasti bersertakan cubitan. Mungkin saya hanya bersuara
tapi tidak dengan hukuman. Begitu juga kalau saya semasa kecil dulu, sudah “teruk”
mendapat habuan dari ibubapa saya.
Menariknya ibu dan bapa anak kecil tidak bersuara, malah
ucapan terima kasih kepada saya pun tidak terluah!
Saya mengkhabarkan kejadian ini kepada isteri saya sebaik
sahaja masuk dalam kereta. Seperti biasa isteri saya beri ulasan ringkas –
abang yang sibuk, mak bapa dia orang tak peduli pun!
Teringat pesanan emak saya – biar anak menangis,
jangan kita (ibu bapa) yang menangis kelak!
No comments:
Post a Comment