Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

Pengaruh (pendidikan?) dari Juvana, Juvana The Movie dan Karlos


Pengaruh (pendidikan?) dari Juvana, Juvana The Movie dan Karlos

“Nama aku Lan ... budak-budak panggil aku kat sini Lan Toodak", ungkapan ini jelas dipertuturkan dalam saat ke 27 hingga 32 video klip beberapa orang pelajar ala samseng (gangsterism) membelasah rakan sekelas di sebuah sekolah menengah di Seberang Prai. Video klip tersebut boleh di tonton di sini.

Lan atau Lan Todak ini adalah nama watak Sharnaaz Ahmad dalam filem Juvana The Movie yang difilemkan setelah drama tv bersiri Juvana mendapat sambutan seperti sebelum ini di mana produser dan pengarah filem mengambil kesempatan trend semasa meminati atau cenderung kepada gejala rempit yang tidak putus-putus dilakonlayarkan, muncul pula drama bersiri Karlos yang turut membawa plot juvana.

Adakah tv atau filem ini bertanggungjawab terhadap perkembangan negatif gejala-gejala tidak sihat ini? Ataupun media-massa ini hanyalah bertujuan untuk menjadikannya sempadan (bukan teladan!) supaya penonton dapat menjauhi atau membenci gejala-gejala negatif ini. Adakah mesej media-massa ini dapat disampaikan kepada penonton? Adakah mesej media-massa ini dapat diterima oleh penonton?

Ketiga-tiga drama tv dan filem Juvana, Karlos dan Juvana The Movie tidak saya tonton. Oleh itu tidak adillah saya memberi pandangan mengenai drama tv dan filem ini. Bagaimanapun saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai penjara, mereka tidak berpuas dengan plot cerita drama tv Juvana yang agak keterlaluan dai realiti sebenar.

Sebagai seorang sukarelawan yang pernah terbabit sebagai ahli lembaga pengarah pelawat di sebuah sekolah juvana di Taiping awal 2000an dahulu, saya sedia-maklum sikap dan mentaliti juvana ini. Apatah lagi saya dipertanggungjawab pengkhususan dalam kes juvana yang terlibat dalam gejala lumba/curi motor dan liwat.

Tidak salah kalau gejala-gejala ini “dipersembahkan” semula dalam media-massa dengan bermatlamatkan memberi teladan dan sempadan. Tetapi promosi yang melampau dan keterlaluan terhadap kepopulariti pelakon-pelakon ini sedikit sebanyak “menengelami” hasrat murni produser/pengarah filem atau drama ini.

Terbaru seperti yang dilaporkan dalam Metro hari ini, Sharnaaz Ahmad (Lan atau Lan Todak dalam filem Juvana The Movie) menawarkan diri untuk memberi khidmat nasihat kepada tiga orang pelajar yang tel;ah digantung sekolah akibat memukul rakan sekelas ini.

Adakah ini langkah yang terbaik? Sepatutnya mereka yang berkemahiran dan terlatih dalam kaunseling terlibat dalam khidmat nasihat sebegini. Maaf, bukan ingin menyentuh soal peribadi Sharnaaz, berita-berita negatif sama ada benar atau gossip berkaitan pelakon ini terlalu banyak di dada-dada akhbar dan media sosial termasuklah terlibat dalam pergaduhan dengan krew penerbitan. Ini belum termasuk gossip atau berita sensasi beliau dengan seorang penyanyi perempuan.

Apapun  tanggujawab pendidikan (memberi pendidikan) adalah tanggungjawab bersama (Pelajaran Pendidikan Moral KBSM);

Pendidikan sempurna membentuk insan  cemerlang Pendidikan  menjamin  masa depan anak-anak. Pembentukan insan  berakhlak mulia  melalui pendidikan formal dan tidak formal tanggungjawab bersama;

1.       Ibu bapa 
2.       Guru
3.       Masyarakat
4.       Media massa

Sama-samalah kita sebagai sebahagian dari empat kumpulan yang dinyatakan di atas memainkan peranan untuk memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan.

http://oshthejourney.blogspot.com



Friday, January 11, 2013

Hazard dan risiko mengiringi banduan – Perlu ada JSA dan HIRARC!


Hazard dan risiko mengiringi banduan – Perlu ada JSA dan HIRARC!

Antara hazard dan risiko pekerjaan sama ada polis atau penjara ialah mengiringi pesalah (banduan) ke mahkamah untuk dibicarakan atau ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Minggu ini (7 Jan 2013) kita dikejutkan dengan sekumpulan sembilan Orang Kena Tuduh (OKT) yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dengan Van Polis dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Penjara Butterworth. Dilaporkan OKT dengan kesalahan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang ini berpura-pura bergaduh sebelum menyemburkan serbuk cili kepada empat orang anggota polis yang mengiringi mereka dan seterusnya melarikan diri dengan Van Polis.

Berita terbaru semalam (10 Jan 2013), dua orang dari OKT telah ditembak mati setelah berbalas tembakan dengan anggota polis yang memburu mereka. Sebelum ini dua orang OKT ini telah berjaya diberkas. Kini tinggal lima orang lagi yang masih bebas.

Bagaikan plot di dalam filem yang biasa dilayar-perakkan, kita disembahkan dengan adengan berpura-pura bergaduh, penggunaan serbuk cili, pesalah yang bergari di hadapan (bukannya di belakang!), bilangan pesalah yang ramai (sembilan?) dalam satu kenderaan (Van Polis?) dan jumlah anggota pengiring yang kecil (empat?).

Bagaimanapun sekarang bukanlah masa untuk menunding diri. Pihak berkuasa perlu mengkaji semula (review and revise) prosedur sedia ada (SOP), perlu menganalisa serta penambahbaikan kepada langkah-langkah pebgawalan sedia ada (current control measure). Biasanya SOP yang telah lama disediakan (ada yang menjangkau puluhan tahun) dengan kebiasaan amalan (routine) tanpa sebarang halangan (obstacle) terdedah kepada sindrom amat mudah (lewa?).

Dalam kelas saya untuk kursus Sijil Eksekutif Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SEAKKP) kepada pegawai-pegawai Penjara semenjak tahun 2011, pengetahuan dan pemahaman hazard dan risiko semasa mengiringi banduan keluar dari penjara sama ada ke mahkamah atau ke hospital menjadi topik popular untuk dibincangkan semasa kajian kes. Malah untuk Kohot Ketiga yang baru tamat November 2012 baru-baru ini, peserta diberi tugasan praktikum untuk menyediakan JSA (Job Safety Analysis) dan HIRARC (Hazard Identfication, Risk Analysis and Risk Control) untuk pekerjaan mengiringi banduan keluar dari penjara.

Dua tugasan JSA dan HIRARC ini bermula dengan mengkaji semula dan menyemak (review and revise) semua SOP dan amalan sedia ada. Kemudian diikui dengan amalan menyediakan diri dari segi pemeriksaan teliti tubuh banduan, persediaan senjata dan juga kaedah penjarakkan (isolation) sama ada melitupi (enclosure) dan/atau jarak (distance) antara pegawai penjara dan banduan. Akhirnya peserta diminta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Semoga peserta-peserta kursus SEAKKP ini yang terdiri dari pegawai-pegawai penjara seluruh Malaysia mempraktikkan pengetahuan yang telah dipelajari dan dikongsi.

lukmanw@gmail.com

Berita Penuh-

Polis tembak mati 2 daripada 7 tahanan lolos
Othman Yahaya
Sinar Harian 8 Januari 2013

BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.

Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri.

Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari.

Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth.

“Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang.

“Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.

“Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT.

“Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan,” katanya.

Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.

Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.

“Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.

“Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor.

“Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya,” katanya.

Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah.

Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.

Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit.

Monday, March 17, 2008

Adakah rumah yang anda diami sekarang ini selamat?

Siratan asal 7-Januari-2008, http://thejourney.weblog.uum.edu.my/

Bulan lepas seorang bekas guru perempuan dibunuh di rumahnya sendiri yang terletak hanya 3 km dari rumah saya di Taiping. Dilaporkan bekas guru ini yang tinggal berseorangan ditikam oleh seorang perompak yang memasuki rumahnya.

Tahun lepas bekas Ketua Polis Pulau Pinang mati ditikam di dalam satu cubaan merompak di dalam rumahnya.

Dua situasi yang berbeza di atas, situasi pertama seorang bekas guru yang tinggal berseorangan. Manakala situasi kedua, seorang bekas Ketua Polis yang tinggal bersama keluarga.

Penjenayah sekarang ini tidak menghiraukan masa. Penjenayah kecil-kecilan yang terdesak sanggup berbuat sahaja sehinggakan membunuh menjadi mainan mereka.

Dari keratan akhbar;
Pensyarah Unisel mati ditikam perompak

SHAH ALAM 7 Dis. – Seorang pensyarah teknologi maklumat di Universiti Industri Selangor (Unisel) mati setelah cedera ditikam ketika bergelut dengan seorang daripada tiga lelaki yang memecah masuk rumahnya di Jalan Bakti, Simpang Tiga, Ijok, Kuala Selangor dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Abd. Rahman Rahmat, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk dan tangan selepas dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ibrahim Chin berkata, ketika rumah dipecah masuk melalui pintu belakang, mangsa sedang membaca buku di bilik bacaan rumah batu setingkat miliknya.

Beliau berkata, isteri dan lima anaknya yang berusia antara dua bulan hingga empat tahun sedang tidur.

Menurut beliau, mangsa yang terdengar bunyi bising di dapur pergi untuk memeriksa dan terserempak dengan lelaki-lelaki yang memecah masuk rumahnya.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang lelaki sementara dua yang lain dipercayai menggeledah rumah mangsa. Mangsa cedera parah ditikam di tengkok dan tangan dalam pergelutan itu.

"Bagaimanapun, isterinya berusia 29 tahun dan kesemua anaknya tidak dicederakan," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Ibrahim memberitahu, siasatan awal polis mendapati, perompak hanya berjaya mengambil wang tunai sebanyak RM50 daripada dompet mangsa sebelum melarikan diri.

"Kita percaya terdapat lebih daripada seorang suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan kesemua suspek hanya mengambil masa kurang 20 minit untuk menggeledah rumah mangsa sebelum menyamun wang tunai RM50 itu," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek sukar dikenal pasti kerana muka mereka ditutup dengan kain.

Sementara itu isteri mangsa, Halimah Tairin, 29, berkata: "Saya ingat suami saya ingin bergurau tapi rupa-rupanya yang kejutkan saya itu adalah salah seorang perompak yang bunuh suami saya''.

Ibu itu berkata, pada mulanya, dia menjangka perompak itu suaminya kerana perompak tersebut menutup muka dengan baju anak sulungnya.

Bagaimanapun, katanya, dia menjadi takut apabila perompak itu mengeluarkan parang dan menyuruhnya diam sambil berkata, 'Ini rompakan'.

"Selepas beberapa minit, perompak itu keluar dari bilik sambil mengambil telefon bimbit dan beg tangan yang mengandungi duit RM50," kata Halimah yang juga seorang suri rumah.

Dia kemudian mendengar jeritan suara lelaki menyebut 'Lailahaillallah' dan kemudian senyap.

Kakitangan KLIA mati ditikam penyamun

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mati ditikam dalam kejadian samun kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Saujana Impian, Kajang dekat sini malam tadi.

Mangsa, Irmaliana Irazal, 21, yang ditemui dengan satu tikaman pada rusuk kiri meninggal dunia dalam perjalanan ketika dihantar ke Hospital Serdang, kira-kira pukul 10.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama ibunya, Rosnah Abdul Aziz, 41, dalam perjalanan pulang dari kedai serbaneka 7-Eleven berhampiran rumahnya dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Nizam berkata, dalam perjalanan itu, mangsa diekori dua orang suspek yang juga menaiki motosikal.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai polis meminta mangsa menunjukkan kad pengenalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosli, bagaimanapun ibu mangsa yang curiga sebaik melihat parang dalam raga motosikal suspek menyuruh anaknya melarikan diri.

Katanya, kedua-dua beranak itu meninggalkan motosikal di tempat kejadian sebelum lari memasuki rumah jirannya.

Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa berpatah balik untuk mengambil dompet yang ditinggalkan dalam raga motosikalnya itu.

"Apabila keluar dari rumah, ibunya melihat mangsa rebah di tempat kejadian dan motosikalnya didapati hilang dipercayai dicuri suspek," ujarnya.

Menurut Rosli, Irmaliana bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis percaya motif kejadian adalah samun.

"Polis kini sedang memburu kedua-dua lelaki itu dan sedang mengenal pasti motosikal yang dilarikan suspek dalam kejadian tersebut," katanya.

Tambah Rosli, sehingga kini, tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan kawasan berhampiran.

"Malah, ketika kejadian, tiada saksi yang berada di kawasan tersebut untuk mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek," jelasnya.

Beliau memberitahu, polis yakin suspek adalah warga tempatan dan tidak mengenali mangsa.

Tambahnya, laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ditikam menggunakan senjata tajam sedalam hampir 15 sentimeter.

Mangsa yang merupakan belas pelajar program Diploma Perakaunan Kolej Universiti Teknologi & Pengurusan Malaysia (KUPTM) itu merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Jenayah Allahyarham dituntut keluarganya kira-kira pukul 2.30 petang di Hospital Serdang dan akan dikebumikan di kampung halamannya, Kampung Bukit Goh, Kuantan, Pahang selepas solat Asar.