Friday, January 11, 2013

Hazard dan risiko mengiringi banduan – Perlu ada JSA dan HIRARC!


Hazard dan risiko mengiringi banduan – Perlu ada JSA dan HIRARC!

Antara hazard dan risiko pekerjaan sama ada polis atau penjara ialah mengiringi pesalah (banduan) ke mahkamah untuk dibicarakan atau ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Minggu ini (7 Jan 2013) kita dikejutkan dengan sekumpulan sembilan Orang Kena Tuduh (OKT) yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dengan Van Polis dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Penjara Butterworth. Dilaporkan OKT dengan kesalahan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang ini berpura-pura bergaduh sebelum menyemburkan serbuk cili kepada empat orang anggota polis yang mengiringi mereka dan seterusnya melarikan diri dengan Van Polis.

Berita terbaru semalam (10 Jan 2013), dua orang dari OKT telah ditembak mati setelah berbalas tembakan dengan anggota polis yang memburu mereka. Sebelum ini dua orang OKT ini telah berjaya diberkas. Kini tinggal lima orang lagi yang masih bebas.

Bagaikan plot di dalam filem yang biasa dilayar-perakkan, kita disembahkan dengan adengan berpura-pura bergaduh, penggunaan serbuk cili, pesalah yang bergari di hadapan (bukannya di belakang!), bilangan pesalah yang ramai (sembilan?) dalam satu kenderaan (Van Polis?) dan jumlah anggota pengiring yang kecil (empat?).

Bagaimanapun sekarang bukanlah masa untuk menunding diri. Pihak berkuasa perlu mengkaji semula (review and revise) prosedur sedia ada (SOP), perlu menganalisa serta penambahbaikan kepada langkah-langkah pebgawalan sedia ada (current control measure). Biasanya SOP yang telah lama disediakan (ada yang menjangkau puluhan tahun) dengan kebiasaan amalan (routine) tanpa sebarang halangan (obstacle) terdedah kepada sindrom amat mudah (lewa?).

Dalam kelas saya untuk kursus Sijil Eksekutif Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SEAKKP) kepada pegawai-pegawai Penjara semenjak tahun 2011, pengetahuan dan pemahaman hazard dan risiko semasa mengiringi banduan keluar dari penjara sama ada ke mahkamah atau ke hospital menjadi topik popular untuk dibincangkan semasa kajian kes. Malah untuk Kohot Ketiga yang baru tamat November 2012 baru-baru ini, peserta diberi tugasan praktikum untuk menyediakan JSA (Job Safety Analysis) dan HIRARC (Hazard Identfication, Risk Analysis and Risk Control) untuk pekerjaan mengiringi banduan keluar dari penjara.

Dua tugasan JSA dan HIRARC ini bermula dengan mengkaji semula dan menyemak (review and revise) semua SOP dan amalan sedia ada. Kemudian diikui dengan amalan menyediakan diri dari segi pemeriksaan teliti tubuh banduan, persediaan senjata dan juga kaedah penjarakkan (isolation) sama ada melitupi (enclosure) dan/atau jarak (distance) antara pegawai penjara dan banduan. Akhirnya peserta diminta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Semoga peserta-peserta kursus SEAKKP ini yang terdiri dari pegawai-pegawai penjara seluruh Malaysia mempraktikkan pengetahuan yang telah dipelajari dan dikongsi.

lukmanw@gmail.com

Berita Penuh-

Polis tembak mati 2 daripada 7 tahanan lolos
Othman Yahaya
Sinar Harian 8 Januari 2013

BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.

Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri.

Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari.

Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth.

“Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang.

“Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.

“Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT.

“Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan,” katanya.

Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.

Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.

“Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.

“Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor.

“Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya,” katanya.

Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah.

Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.

Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit.

1 comment:

Taruhan Bola Online said...

bener banget tuh perlu jasa itu untuk kepentingan para pekerjanya