Thursday, April 18, 2013

Q&A 1 SHO - Penilaian Prestasi Seorang SHO


Q&A SHO 1 - Penilaian Prestasi Seorang SHO

Semalam saya dikunjungi sekumpulan pelajar universiti yang sedang menyiapkan tugasan kertas projek tahun akhir mereka. Saya telah dikenalpasti (melalui seorang kenalan) sebagai correspondence atau kajian kes dalam tugasan ini. Tajuk tugasan ialah Penilaian Prestasi Seorang SHO.

Saya diberi soalan bertulis sebanyak 20 soalan dan beberapa soalan tambahan lagi semasa temubual. Saya ingin berkongsi jawapan yang telah saya berikan. Bagaimanapun jawapan ini adalah semata-mata dari pandangan peribadi saya. Saya amatlah berbesar hati jika ada SHO lain yang ingin berkongsi sama ada tambahan maklumat, pandangan ataupun pembetulan (jika ada) terhadap jawapa-jawapan yang telah saya berikan tersebut.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/


Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety & Health Officer)
Kajian kes: En. Lukman Bin Wan Mat Daud

1. Ceritakan tentang latarbelakang anda?
2. Apakah KSAOs yang diperlukan dalam tugas SHO?
3. Bagi menjawat jawatan sebagai SHO, adakah memerlukan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan?
4. Apakah personaliti yang perlu ada pada seorang SHO?
5. Bagaimana prestasi SHO dinilai?
6. Apakah prosedur yang harus dilalui untuk menjadi seorang SHO?
7. Apakah kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang bagi memegang jawatan SHO?
8. Apakah skop pekerjaan yang terdapat dalam bidang pekerjaan ini.
9. Apakah kepentingan SHO dalam sesebuah organisasi?
10. Apakah peranan dan tanggungjawab anda sebagai SHO?
11. Apakah pengalaman pahit dan manis anda sepanjang bergelar sebagai SHO?
12. Apakah jenis peralatan yang biasa digunakan semasa mengendalikan tugas?
13. Apakah aktiviti yang sering dijalankan oleh SHO?
14. Apakah kemalangan yang pernah dihadapi semasa menjalankan tugas dan bagaimana cara anda mengatasi?
15. Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang SHO yang baik/Berjaya?
16. Apakah SWOT dalam jawatan ini?
17. Apakah program latihan yang biasa dianjurkan untuk pekerja bawahan?
18. Industri manakah yang memerlukan SHO?
19. Apakah jenis-jenis SHO?
20. Apa pendapat anda tentang keberkesanan penilaian prestasi dalam jawatan SHO?

Jawapan:

(1) Ceritakan tentang latarbelakang anda?

Saya berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari USM dan Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri dari UKM. Saya memiliki kelayakan sebagai SHO berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). Kelayakan lain seperti dalam biodata saya (Lampiran 1).

Saya berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri perkilangan dalam pelbagai jabatan seperti Kejuruteraan, Jaminan Kualiti dan Sumber Manusia. Pengkhususan saya dalam bidang OSH.

(2) Apakah KSAOs yang diperlukan dalam tugas SHO?

Knowledge – seorang SHO perlu arif dengan perundangan khusus berkaitan OSH (OSHA 1994 dan FMA 1967) serta perundangan lain berkaitan (Contoh; Akta Kualiti Persekitaran, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, dll.). Pengetahuan lain bergantung kepada latar-belakang pendidikan seperti kejuruteraan, perlu arif dengan sifat-sifat jentera; jika berlatar-belakang sumber manusia, perlu arif dengan perkara berkaitan pengurusan sumber manusia. Pada masa yang sama perlu mendalami pelbagai bidang yang berkaitan OSH seperti persekitaran alam sekitar, bahaya kebakaran, radioaktif dan sebagainya.

Skills – kemahiran asas diperlukan ialah kemahiran berurusan dengan manusia (1. Man), jentera (2. Machine), bahan (3. Bahan), tata amalan (4. Method, contoh prosedur), dan persekitaran (5. Medium, contoh perundangan).

Ability – keupayaan asas diperlukan keupayaan fizikal (tanpa menjurus ketidaksamaan jantina atau OKU) dan boleh rujuk Lampiran 2 - iklan pekerjaan EHS Manager (physical requirements)

Others – biasa dengan system pengurusan (ISO) berkaitan OSH dan Persekitaran, mahir membuat laporan dan sebagainya.

(3) Bagi menjawat jawatan sebagai SHO, adakah memerlukan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan?

Ya, seseorang yang hendak mendaftar sebagai SHO yang bertauliah (rujuk jawapan soalan 6) memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman dalam OSH.

(4) Apakah personaliti yang perlu ada pada seorang SHO?

Rujuk Lampiran 2 – iklan pekerjaan EHS Manager (Required skills).

(5) Bagaimana prestasi SHO dinilai?

Sebelum OSHA 1994 diwajibkan, kebanyakan organisasi menilai prestasi SHO berdasarkan aktiviti pasif (passive or re-active) iaitu diambil-kira pencapaian Kadar Kemalangan (Accident Rate), Kadar Kematian (Fatality Rate) dan Kadar Kehilangan Hari Kerja (Lost Work Day Rate). Aktiviti pasif ini lebih kepada pembaikan (corrective).

Sekarang ini kebanyakan organisasi mengukur prestasikan berdasarkan aktiviti aktif (actve or pro-active) iaitu diambil-kira Kadar Pematuhan Perundangan dan Kadar Penurutan Sistem (Legislation Compliance Rate and System Conformance Rate), Kadar Latihan, Pemeriksaan dan Audit, dan sebagainya. Aktiviti aktif lebih kepada pencegahan.

(6) Apakah prosedur yang harus dilalui untuk menjadi seorang SHO?

Seseorang itu perlu mnghadiri dan lulus peperiksaan kursus (4 modul) di mana-mana pusat latihan yang diiktiraf oleh JKKP. Setelah lulus perlu mendaftar dengan JKKP dan mestilah berpengalaman sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman berkaitan OSH.

(7) Apakah kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang bagi memegang jawatan SHO?

Kelayakan akademik (sehingga kini) ialah sekurang-kurangnya memiliki SPM dan kelayakan lain seperti jawapan Soalan 6.

(8) Apakah skop pekerjaan yang terdapat dalam bidang pekerjaan ini.

Malaysia ke arah mencontohi Negara maju yang lain yang memperkenalkan skop yang luas dalam bidang OSH bermula dari jawatan Penolong Pegawai sehinggalah ke peringkat Presiden. Bagaimanapun mengikut keperluan perundangan (OSHA 1994) hanya ada jawatan SHO dan industri tertentu perlu mengajikan SHO, rujuk Lampiran 3 (SHO Order).

(9) Apakah kepentingan jawatan SHO dalam sesebuah organisasi?

Organisasi multi nasional mengganggap kepentingan jawatan SHO setaraf dengan pengurusan tertinggi yang lain. Kepentingan ini diterjemahkan dengan hirarki SHO yang dalam gred gaji pengurusan tertinggi dan ada yang melapor terus kepada CEO.

(10) Apakah peranan dan tanggungjawab anda sebagai SHO?

Tugas utama SHO ialah sebagai penasihat OSH kepada majikan. Peranan dan tanggungjawab lain mengikut perundangan boleh rujuk Lampiran 4 (SHO Regulatios).

(11) Apakah pengalaman pahit dan manis anda sepanjang bergelar sebagai SHO?

Pengalaman pahit ialah berhadapan kejadian-kejadian kemalangan yang melibatkan pekerja maut dan kecacatan kekal (kehilangan anggota badan). Pengalaman manis ialah berjaya membawa beberapa organisasi yang saya sertai ke peringkat akhir pertandingan industri terbaik dalam amalan OSH di tempat kerja.

(12) Apakah jenis peralatan yang biasa digunakan semasa mengendalikan tugas?

Bergantung kepada kategori industri, kalau di industri berat (heavy industry) peralatan wajib ialah topi keselamatan dan kasut keselamatan.

(13) Apakah aktiviti yang sering dijalankan oleh SHO?

Mengikut perundangan, aktiviti wajib ialah mempromosikan OSH seperti mengadakan latihan, kempen dan sebagainya di samping HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control), pemeriksaan OSH dan penyiasatan kemalangan jika ada

(14) Apakah kemalangan yang pernah dihadapi semasa menjalankan tugas dan bagaimana cara anda mengatasi?

Kemalangan maut dan kecacatan kekal. Untuk mengelakkan berlaku lagi, perlu dipergiatkan aktiviti seperti jawapan soalan 13.

(15) Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang SHO yang baik/berjaya?

KSAOs seperti jawapan soalan 2.

(16) Apakah SWOT anda dalam jawatan ini?

Strength – kekuatan saya adalah latar belakang saya dari kejuruteraan

Weakness – kelemahan saya mudah rasa bersalah (accountability) jika berlaku kemalangan terutama yang melibatkan kematian dan kecederaan kekal.

Opportunity – peluang yang ada ialah mengambil kira weakness sebagai keazaman dan keutamaan ke arah pengamalan OSH yang lebih berkesan di tempat kerja.

Threat – ancaman utama ialah pekerja lama (berpengalaman) tapi mengambil mudah terhadap amalan OSH terutama mereka yang bernasib baik sebelum ini tidak pernah berkemalangan.

(17) Apakah program latihan yang biasa dianjurkan untuk pekerja bawahan?

Bermula dengan orientasi semasa baru masuk bekerja, induksi dan membiasakan diri dengan jentera (machinery familiarization) dan ulangan (refreshing).

(18) Industri manakah yang memerlukan SHO?

Hanya 10 industri mengikut perundangan rujuk Lampiran 3 (SHO Order).

(19) Apakah jenis-jenis SHO?

Setakat ini mengikut perundangan hanya ada satu kategori SHO. JKKP dalam perancangan mengadakan SHO Grade 1 (SHO berijazah) dan SHO Grade 2 (SHO tanpa ijazah).

(20) Apa pendapat anda tentang keberkesanan penilaian prestasi dalam jawatan SHO?

Penilaian prestasi perlu memberi keutamaan kepada aktiviti aktif iaitu kea rah pencegahan. Bagaimanapun rekod (laporan) aktiviti pasif juga diperlukan sebagai kajian kes, analisa trend dan sebagainya. Rujuk jawapan soalan 5 untuk keterangan aktiviti aktif dan pasif.

Akhir sekali boleh rujuk posting-posting lama berkaitan kepentingan SHO dan OSH dalam organisasi dalam bloh http://oshthejourney.blogspot.com/

Nota tambahan 19 Apr 2013 9.45pm

Saya menerima beberapa pandangan dari beberapa orang pengamal OSH berkaitan posting di atas termasuklah dari guru OSH saya sendiri, Ir Daud Sulaiman.

Saya sertakan 2 dari pandangan-pandangan tersebut. Pandangan lain lebih berbentuk umum. Manakala lampiran-lampiran yang disebut dalam posting di atas boleh dirujuk di link ini.

Pandangan 1

Salam semua,

Bagi soalan no. 2, seharusnya ditambah perkara-perkara yang disebut dalam soalan no. 13.

Skills and Abilities: Melaksanakan HIRARC, JHA, SOP, Accident Investigation, Workplace inspection.

Termasuklah kerja HR : mendamaikan perbalahan antara majikan dan pekerja dan komplen2 daripada berbagai sumber.

Itu saja. Sekian.

Ir Daud Sulaiman
daudsulaiman@gmail.com

Pandangan 2

Kebanyakan pendekatan pengurusan, SWOT sudah di "improvise" kepada SWOC .... Threat lebih kepada negative approach berbanding dengan C = Challenges...

Skill tambahan = marketer, problem solver and analytical skills

Pendapat saya....

Wassalam, thanks & regards

Aliasman Morshidi
http://aliasmanshepro.blogspot.com/

10 comments:

nurul mickey... said...

Salam... sy nk tnye soalan... ad peluang ke perempuan dalam bdang OSH ni??? Sbb sy nk amek diploma dalam bidang OSH ni???

lukmanw@gmail.com said...

Wsl

SHO tidak mengira jantina dan layat blkg displin kelulusan. Ramai SHO perempuan yg saya kenal dan "terkenal" dgn keupayaan mereka sebagai SHO/ manager yg berkaliber

ayen said...

salam.kalau ada diploma dan sijil OSH boleh ke kita pegang jawatan manager atau base on pengalaman.Mintak penncerahan atau kena ada deg

Anonymous said...

salam saudara..sekadar ingin bertanya...saya memiliki diploma medical lab dan boleh k sy amik degree osh....atau skadar amik sijil saje...satu lagi...jaminan kerja sbagai sho ni bagaimana...terima kasih

lukmanw@gmail.com said...

Q&A – Safety & Health Officer (SHO)

Saya banyak menerima soalan-soalan berkaitan kerjaya SHO ini sama ada melalui blog, FB, email dan sms/whatsup. Ada di antara soalan-soalan itu telah saya terangkan dalam blog saya (rujuk link di bawah).

Untuk soalan-soalan yang tiada jawapan dalam blog tersebut, saya jawab di sini. Diingatkan jawapan-jawapan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya serta maklumbalas dari rakan-rakan sejawat sahaja. Mungkin ada perbezaan dengan SHO yang lain. Jika berpeluang tanya dan rujuklah SHO-SHO yang juga.

(Nasihat saya kepada mereka yang ingin mengemukakan soalan-soalan ini biarlah berhemah, kenalkanlah diri dan elakkan menggunakan bahasa sms (singkatan) yang keterlaluan)

1. Bolehkah atau sesuai perempuan menjadi SHO?

Jantina tidak menjadi masalah. Saya kenal ramai SHO perempuan yang berjaya dalam bidang SHO ini. Untuk yang baru menceburi bidang SHO, mungkin mereka perlu menyesuaikan diri dalam industri ringan seperti SME. Seorang rakan kelas Master saya di UKM (di mana waktu belajar dia baru sahaja graduate dari USM (Chemical Engineering) manakala kami rata-rata berumur 30 tahun hingga 60 tahun), kini beliau menjawat jawatan Risk Manager di Industri Oil & Gas Vietnam. Manakala seorang bekas pelajar saya kini menjawat jawatan Safety Advisor di Industri Oil & Gas Dubai.

SHO perempuan mungkin lebih disegani oleh pekerja. Kini ramai penguatkuasa malah berpangkat hinggah pengarah terdiri dari wanita terutama Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan. Malah saya difahamkan kemungkinan besar tidak lama lagi ada negeri yang akan mempunyai Pengarah DOSH wanita.

2. Ada iklan kerja yang menyatakan memerlukan SHO yang berkursus di NIOSH, adakah ini bermakna SHO yang berkursus di tempat lain tidak layak?

Masih ramai yang keliru atau tidak tahu (termasuk pihak pengurusan atau HR syarikat) dalam membezakan DOSH dengan NIOSH. DOSH adalah badan penguatkuasa dan pengawasan. Manakala NIOSH adalah pembekal latihan (training provider). Sepatutnya iklan tersebut menyatakan memerlukan SHO yang berdaftar dengan DOSH, tanpa mengira tempat kursus di mana.

Untuk berkursus di tempat lain, pastikan tempat tersebut juga berdaftar dengan DOSH. Ini boleh dirujuk dalam website DOSH.

lukmanw@gmail.com said...

3. Bolehkah dengan hanya menpunyai Sijil SHO dan SPM menjadi pengurus?

Ada di antara guru-guru SHO saya hanya memiliki SPM sahaja tetapi pengetahuan dan pengalaman mereka memang ketara perbezaan dengan saya sendiri atau SHO-SHO lain yang saya kenal. Guru-guru SHO saya ini bukan sahaja dari kalangan pengurus malah ada yang sampai bergelar pengarah. Bagaimanapun sekarang ini untuk menjawat jawatan pengurus, seseorang SHO itu sekurang-kurangnya (pandangan peribadi saya) memerlukan sokongan diploma.

4. Benarkan mereka yang berkelulusan engineering sahaja layak dan sesuai menjadi SHO?

Secara jujur saya bangga kerana pendidikan saya berlatar-belakang engineering TETAPI kerjaya sebagai SHO bukanlah MESTI mempunyai kelulusan engineering. Falsafah OSHA itu sendiri terdiri dari (i) Management Commitment, (ii) Employee Involvement, dan (iii) Consultation. Ini bermakna SHO perlu merujuk pihak lain (consult) jika beliau menghadapi kesulitan. Sebagai contoh SHO yang tiada latar belakang engineering boleh merujuk pihak (department) engineering di tempat beliau bekerja. Malah rujukan dari pihak luar juga boleh dbuat seperti dari DOSH sendiri.

Nasihat saya jika SHO itu berlatarbelakang HR (contohnya), dia perlu mahir (vell-werse) dengan HR. Untuk bidang yang dia tidak mahir (engineering contohnya), dia boleh merujuk pihak lain.

Saya kenal ramai SHO yang bukan berlatar-belakangkan engineering. Malah ramai guru-guru OSH saya juga bukan dari latar belakang engineering.

Pada masa yang sama SHO yang bukan berlatarbelakangkan engineering ini perlu sedaya-upaya beliau mengetahui asas-asas engineering seperti nama-nama komponen asas mesin seperti contoh, boiler, vessel, crane & hoist dan sebagainya.

Seperti mana syoran saya kepada pelajar-pelajar saya setiap kali kelas pembelajaran saya, seseorang SHO itu perlu mendalami juga ilmu-ilmu berikut untuk membantu kerjayanya. Malah saya juga sedaya-upaya mencari peluang (terutama masa) untuk lebih mendalami ilmu-ilmu ini.

Bahasa Inggeris. Memang tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya.

Human Resource terutama mereka yang bukan dari latarbelakang HR.

Finance. Kursus terbaik ialah Financial Course For Nonfinancial Managers.

Computer/IT. Selain dari keperluan mengunakan software presentation (contoh power point), kemahiran grafik juga perlu. Kalau boleh photoshop memang terbaik.

Kerohanian/moral. Bagi SHO beragama Islam, dalamilah ilmu-ilmu OSH berkaitan Islam ini.

lukmanw@gmail.com said...

5. Saya sudah first degree, yang mana lebih baik sama ada mengambil Sijil SHO atau ambik Master OSH?

Bergantung kepada keperluan. Biasanya mereka yang terus mengambil Master OSH (yang diiktiraf oleh DOSH) tidak perlu lagi mengambil 4 Modul SHO dan exam SHO untuk melayakkan mereka berdaftar dengan DOSH. Bagaimanapun kini terdapat slot interview semasa permohonan pendaftaran sebelum pemegang Master OSH ini boleh berdaftar dengan DOSH.

Sijil SHO hanya mengambil masa 22 hari (sepenuh masa) jika dibandingkan Master OSH yang memakan masa hampir 2 tahun.

Pandangan peribadi saya, Sijil SHO adalah yang terbaik kerana pembelajaran dalam Sijil SHO lebih berbentuk pengkhususan jika dibandingkan dengan Master OSH yang lebih berbentuk pengurusan (management). Kalau boleh, ambiklah kedua-dua sekali.

Pada masa yang sama syoran saya saya kepada SHO yang sudah ada first degree dan Sijil SHO, cubalah rebut peluang mengambil kursus-kursus value added dan yang ada competency seperti scaffolding, AGT, hygiene technician, CHRA dan sebaganya. Malah kursus-kursus seperti ISO (management system) sehingga ke peringat Lead Auditor amat-amat digalakkan.

6. Saya ingin buat part-time mengajar OSH, bagaimana caranya?

Untuk mengajar bukan sahaja sahaja subjek OSH sahaja, seseorang itu memerlukan kemahiran berhadapan (bersemuka) dengan peserta atau orang ramai (audience).

Saya sendiri bukanlah seorang yang berkebolehan semula jadi berhadapan (bersemuka) dengan orang ramai ini. Malah semasa kecil saya bermasalah dari segi pertuturan kerana gagap.
Kemahiran ini boleh dipelajari selain dari pengalaman. Kursus Train-the-Traner adalah salah satu keperluan untuk menjadi pengajar.

Saya mengikuti kursus TTT ini di Ipoh sekitar awal 90an di bawah anjuran FMM dan DOSH (ketika itu belum ada lagi NIOSH) dengan salah seorang pengajarnya ialah Tuan Abu Bakar Che Man, Ketua Pengarah DOSH ketika itu. Salah seorang peserta kursus bersama saya ketika itu ialah orang lama dalam OSH yang juga bekas EHS Engineer iaitu Hj Fuzi. Saya pasti beliau masih ingat bagaimana teruknya dan gelabahnya saya bila diminta untuk buat presentation di dalam kelas. Kini kami sama-sama sebagai pengajar sambilan di NIOSH.

Mengajar (pada diri saya) sebenarnya melatih saya atau membuatkan saya mempelajari benda baru lagi. Di setiap organisasi yang saya dijemput mengajar dan berkongsi pengetahuan/pengalaman OSH ini, saya sedaya-upaya cuba mmepelajari sesuatu yang baru yang diamalkan di organisasi itu sendiri.

Selain dari itu pengajar perlu memahirkan diri dengan subjek yang hendak diajar dan lebih baik buat pengkhususan subjek-subjek (topik-topik) tertentu sahaja.

Tingkatkan kemahiran mengajar ini di organisasi tempat kerja sendiri dahulu. Mengendalikan orientation, induction dan tool box meeting adalah asas untuk membina kerjaya sebagai pengajar. Boleh juga mencuba mengajar (berkongsi pengetahuan) dengan sukarela di institusi pengajian seperti di sekolah dan kolej terlebih dahulu.

Jangan lupa sentiasa update diri dengan perkembangan OSH terutama aspek-aspek perundangan.

NASIHAT UMUM. SHO-SHO mesti merebut peluang mendalami kursus-kursus berkaitan bukan semata-mata kerana keperluan CEP. Begitu juga jika ada dialog atau sesi perjumpaan terutama dengan pihak berkuasa seperti DOSH, DOE dan sebagainya. Menyertai mana-mana persatuan SHO juga amat digalakkan. Manfaatkan media sosial seperti FB, Blog, Whatsup dan sebagainya. Berkongsilah pengetahuan dan pengalaman yang ada. Pada masa yang sama, tidak rugi jika bertanya kalau tidak tahu atau was-was. In sya Allah akan dapat jawapannya jika ditanya.

Untuk soalan-soalan lain, in sya Allah jika berkesempatan saya akan updatekan lagi.

Anonymous said...

Salam tuan. Nama saya Hazwan. Alhamdulilah, terima kasih kerana blog tuan ni banyak bg informasi berguna. Saya tiada latar belakang engineering tp saya berminat nak ambil sijil SHO ni sambil saya rancang nak buat part time diploma. Doakan kejayaan saya supaya dapat jadi seperti tuan. InsyaAllah

saiful86 said...

salam.saya nizam.saya rasa saya sangat berminat dengan jawatan SHO ni.sekarang saya sudah bekerja dengan kerajaan. adakah berbaloi saya mengikuti kursus untuk ambil sjil di NIOSH yang memang lari dari bidang kerja saya.sebab saya rasa bidang SHO ni boleh meningkatkan lagi pengetahuan saya.

Unknown said...

Assalammualaikum dan salam sejahtera tuan. Saya ingin bertanya bab pengalaman untuk mendapatkan green book. Bolehkah kita menggunakan pengalaman as site safety supervisor (SSS) untuk 3 tahun untuk memiliki green book as Safety & health officer (SHO). Sebagai contoh, kite sebagai site safety di construction area dan segala laporan dan pengalaman di bidang construction digunakan untuk SHO nnt. Mohon pencerahan dari pihak tuan. Tq