Thursday, April 11, 2013

Bendera parti dan sepanduk sudah tidak relevan



Bendera parti dan sepanduk sudah tidak relevan

Perkembangan teknologi dalam media massa hampir menyebabkan sistem konvensional pos dan akhbar ketinggalan dengan persaing mereka iaitu email dan media sosial. Bagaimanapun sistem konvensional pos masih diperlukan terutama untuk penghantaran barangan. Begitu juga sistem konvensional akhbar bagi tujuan laporan berita di kawasan yang tidak mendapat liputan internet.

(Seorang kenalan lama wartawan akhbar secara berseloroh memberitahu saya kelebihan akhbar konvensional ini ialah mampu digunakan sebagai pembungkus nasi lemak jika selesai dibaca berbanding dengan media massa (facebook atau blog) yang tidak boleh digunakan sebagai kertas pembalut!)

Adakah bendera parti dan sepanduk masih televan atau sudah tidak relevan lagi?

Metro hari ini (11 Apr 2013) melaporkan seorang pemuda di Mersing, Johor mati tertusuk buluh bendera parti politik. Akhbar (tahun 2012) juga pernah melaporkan dua orang pemuda di Tanah Merah, Kelantan maut terkena kejatan elektrik semasa memasang bendera di papan tanda elektrik milik TNB.

Ahad lepas semasa dalam perjalanan balik dari Taiping ke Sintok, semasa di Alor Setar Selatan, saya mengekori sebuah lori kecil yang mulanya saya menyangka lori ini membawa muatan tebu. Oleh kerana saya menunggang motosikal, saya dapat menghampiri bahagian belakang lori ini dan mendapati muatan yang dibawanya ialah batang buluh. Saya pasti batang-batang buluh bakal digunakan untuk memasang bendera parti politik yang akan bertanding dalam PRU13 ini. Saya menganggarkan mungkin mencecah ribuan batang buluh dan pastinya ribuan bendera parti danjuga sepanduk akan dipasang ke batang-batang buluh ini.

Demi keselamatan baik kepada pemasang bendera, keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya termasuklah dari segi kebersihan dan landskap, alternatif lain perlu difikirkan untuk menggantikan bendera parti dan sepanduk ini.

Secara kasar saya ingin mencadangkan agar dipertingkatklan dan dibanyakan media hardcopy yang lain seperti pamphlet, flyer (dari rumah ke rumah), alattulis (pen, pensil dan sebagainya), pakaian (baju dan topi) di samping penggunaan meluas dalam alam siber (facebook, twitter, blog dan lain-lain). Penggunaan media elektronik seperti tv dan radio juga boleh diperluaskan termasuklah memberi peluang “setimpalnya” kepada parti pembangkang.

Untuk tindakan segera pula, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan deposit yang tinggi untuk bayaran lesen pemasangan bendera parti dan sepanduk ini. Deposit ini adalah tambahan kepada bayaran lesen sedia ada. Deposit akan hanggus jika masih ada bendera parti dan sepanduk yang tidak diturunkan atau diambilbalik selepas selesai tempoh masa yang dibenarkan.

Saya terlibat dalam permohonan mendapat lesen mengantung sepanduk dan juga papan tanda untuk beberapa aktiviti yang diadakah termasuklah Acara Lumba Motosikal Petronas Cub Prix. Malah bayaran dan deposit dikenakan mengikut bilangan unit sepanduk dan papan tanda yang dipasang. Kalau pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan bayaran dan deposit untuk kami sebagai penganjur aktiviti sebegini, mengapa tidak dikenakan mengikut bilangan unit sepanduk dan papan tanda yang dipasang kepada parti politik yang terlibat? Lagi banyak bendera parti dan sepanduk dipasang, lagi banyaklah kutipan yang boleh dibuat. Terpulanglah kepada parti politik berapa banyak bendera atau sepanduk yang ingin dipasang mereka.

http://oshthejourney.blogspot.com

No comments: