Monday, March 17, 2008

Adakah Rumah Anda Selamat Untuk Anak Anda?

ADAKAH RUMAH ANDA SELAMAT UNTUK ANAK ANDA?
Tulisan: Khairunnisa Hussin, JELITA, Mei 1997, mukasurat 138-140

Rumah dikatakan tempat paling selamat berlindung tetapi tanpa disedari kemalangan di rumah sering menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak dan warga tua.

Ramai tidak prihatin soal keselamatan di rumah terutama bagi anak kecil berusia 2 - 4 tahun. Perlu disedari, kemalangan di rumah juga boleh mengancam nyawa anak dan membawa kecacatan yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, 25 peratus kemalangan di rumah membabitkan kemalangan kecil seperti luka, terseliuh dan bengkak; 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat seperti patah, luka besar yang perlu jahitan, disengat serangga berbisa dan melecur. Sejumlah lima peratus mengalami kemalangan teruk yang memerlukan mereka dimasukkan ke hospital seperti terbakar, jatuh yang mencederakan kepala dan satu peratus lagi cacat seumur hidup.

Menurut Pakar Pediatrik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Zulkifli Ismail, yang juga Pakar Pediatrik di Hospital Kuala Lumpur, kanak-kanak berusia 2 - 4 tahun lebih mudah mendapat kemalangan di rumah.

"Pada usia inilah mereka mula bergerak cergas tetapi tidak dapat membezakan antara bahaya dan selamat," katanya.

Menurut Dr Zulkifli secara purata lebih kurang 36 peratus kemalangan berlaku di ruang tamu dan ruang makan, 22 peratus di ruang legar, 18 peratus di luar rumah, sembilan peratus di dapur dan empat peratus di bilik mandi.

Ruangtamu,anjung dan tangga

Kemalangan bagi kanak-kanak banyak terjadi di sini. Ia membabitkan jatuh biasa atau serius.

Rumah bertangga dan bahagian split-level patut dibuat sekatan atau palang supaya kanak-kanak, terutama yang berusia empat tahun ke bawah, tidak dapat turun dan naik sendiri. Menurut Dr Zulkifli jangan sekali-kali membiarkan anak kecil sendirian di tingkat atas rumah, di atas anjung atau tempat-tempat tinggi. Jatuh dari tempat tinggi boleh menyebabkan kecederaar serius seperti patah dan pendarahan otak.

Pastikan perabot di ruang tamu tidak mengundang kemalangan kerana kanak-kanak suka memanjat dan mereka tidak tahu bahaya yang menanti. Jangan letak perabot dekat tingkap atau beranda yang boleh dipanjat anak.

Bagi rumah yang bertangga, pastikan barangan dan permainan tidak dibiarkan bertaburan di atas tangga kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak, juga orang dewasa, terjatuh.

Bilik mandi

Lemas dan jatuh antara kemalangan kerap terjadi di rumah. Bilik mandi tempat berbahaya jika dibiarkan kanak-kanak bawah usia enam tahun bermain atau mandi sendirian kerana merekaboleh lemas atau jatuh kerana licin. Kejadian lemas di bilik mandi selaIunya terjadi kepala anak-anak berusia 1~2 tahun. Pastikan semua tempat simpanan air ditutup selepas digunakan kerana kanak-kanak boleh jatuh ke dalamnya dan lemas. Mereka boleh lemas di dalam air yang sedikit di dalam baldi, walaupun ia hanya sedalam 15 - 30 cm.

Bayi kecil yang dimandikan tidak boleh ditinggalkan sendirian, walaupun sekejap. Mereka mungkin jatuh tertonggeng dan lemas. Bawa bayi anda bersama jika anda terpaksa mengalih perhatian kepada sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurut Dr Zulkifli jangan sekali-kali mandikan anak kecil di dalam sinki kerana ini boleh menyebaban kepala mereka terhantuk pada tepi sinki dan akan berlaku retak tempurung kepala atau pendarahan otak. Bayi patut dimandikan di dalam besen di atas lantai.

Kanak-kanak harus dimandikan di atas lantai supaya mereka tidak mudah jatuh. Jatuh yang teruk dari tempat tinggi boleh menyebabkan patah teruk dan darahan. Pastikan jubin bilik mandi jenis tidak . Banyak kecederaan patah tulang paha di karan warga tua disebabkan jatuh ketika berada di bilik mandi.

Kejadian lemas di luar rumah (kolam, tasik atau ,kang) sering terjadi pada kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas.

Bilik tidur

Kanak-kanak tidak mengenal erti bahaya. Katil yang selalunya enak dan empuk dibuat tidur boleh juga mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Antara bahaya itu, kanak-kanak mungkin jatuh dari katil, terhempas barang-barang berat seperti seterika dan keracunan.

Alat elektrik yang tidak digunakan patut disimpan di tempat selamat dan digulung wayarnya. Alat elektrik yang rosak atau terkoyak wayarnya tidak patut digunakan kerana kanak-kanak mungkin terkena kejutan elektrik jika memegangnya.
Soket elektrik mesti ditutup dengan penutup keselamatan dan pastikan suis ditutup untuk mengelak kanak-kanak daripada bermain dengannya.

Menurut Dr Zulkifli ramai ibu bapa tidak tahu yang barangan kosmetik pun boleh menyebabkan keracunan terutama pada anak kecil. Tarikan kepada warna-warna dan bau alat solek akan menyebabkan mereka terdorong memasukkannya ke dalam mulut dan ini boleh menyebabkan keracunan. Ibu bapa seharusnya meletakkan alat solek mereka di tempat tinggi yang sukar dicapai oleh anak-anak. Ubat-ubatan ibu bapa juga patut disimpan di tempat yang berkunci. Jangan makan ubat di hadapan anak kerana mereka akan meniru perbuatan ini.
Pilihan katil kanak-kanak perlu dibuat dengan bijak. Perlu dipastikan agar ia tidak dicat dengan cat bertoksid kerana kanak-kanak kecil suka menggigit katil dan ini boleh menyebabkan keracunan. Jarak di antara palang-palang katil anak juga mesti kurang daripada 6 cm supaya badan dan kepala anak tidak boleh bolos di antara dua palang.

Dapur

Boleh dikatakan dapur tempat paling berbahaya dibiarkan kanak-kanak berada di situ sesuka hati. Menurut Dr Zulkifli kanak-kanak sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke dapur sama sekali.

"Ramai ibu bapa tidak sedar dapur boleh mendatangkan bahaya kepada anak mereka. Mereka boleh terjatuh, tersiram minyak atau air panas, terkena api dapur dan keracunan bahan cucian.

Menurut Dr Zulkifli banyak perkara perlu diambil perhatian menjamin keselamatan di dapur termasuk jangan alas meja jika ada anak kecil. Mereka mungkin menarik alas meja dan menyebabkan barang-barang di atas meja terjatuh ke atas mereka. Masakan panas perlu diletak jauh di tengah meja supaya tidak tersimbah.

Pemegang periuk dan kuali juga perlu diletakkan menghala ke bahagian dalam agar sukar bagi kanak-kanak mencapainya. Banyak kes melecur berlaku kerana tersimbah makanan dan minyak panas dari periuk dan kuali.

Di dapur juga selalunya banyak bahan pencuci disimpan. Pastikan anda menyimpannya di dalam almari bertutup dan berkunci atau di tempat tinggi yang sukar dicapai kanak-kanak.

Elakkan mengguna botol minuman untuk menyimpan cecair beracun seperti minyak tanah, turpentin dan racun serangga. Cecair beracun perlu disimpan di dalam botol asal dan bukan di dalam botol minuman. Ini dapat mengelakkan anak anda daripada terminum bahan beracun ini.

Laman rumah

Ini termasuk taman dan bahagian laman. Kemalangan yang sering berlaku ialah sengatan dan gigitan serangga berbisa seperti lebah, kala jengking, tebuan dan lipan. Perlu diingatkan, kanak-kanak mesti diawasi apabila bermain di taman kerana mereka tidak dapat membezakan antara binatang berbisa dan tidak. Kanak-kanak lebih kecil patut diawasi supaya tidak makan daun-daun beracun di laman rumah. Kanak-kanak berusia lebih dua tahun juga perlu penjagaan rapi apabila mereka keluar rumah kerana mereka mungkin akan berlari keluar ke tepi jalan tanpa melihat kenderaan yang lalu lalang. Ini boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Ibu bapa yang mengundur kereta perlu memastikan anak-anak mereka tidak berada di belakang kereta. Banyak kemalangan serius membawa maut membabitkan ibu bapa sendiri melanggar anak mereka tanpa disedari.

Bagi warga tua pula, kemalangan yang sering terjadi ialah jatuh di bilik mandi dan juga di tempat-tempat licin di rumah. Perlu dipastikan yang tempat-tempat ini selamat untuk mereka kerana warga tua lebih senang mengalami patah tulang apabila terjatuh. Untuk rumah bertangga, pastikan ada lampu menerangi tempat itu supaya mereka tidak terjatuh apabila bangun pada waktu malam. Warga tua juga sering terbabit dalam kebakaran. Pintu rumah perlu senang orang keluar masuk kerana dalam kebanyakan kes kebakaran yang dilaporkan, mangsa terkunci di dalam rumah.

Panduan

1. Jangan biarkan anak anda mandi sendirian di dalam bilik mandi.
2. Peralatan rumah yang tajam dan berbahaya mesti dijauhkan daripada kanak-kanak.
3. Perabot berbucu tajam tidak sesuai rumah yang ada anak kecil kerana mereka mungkin tercedera jika terlanggar atau terjatuh.
4. Barangan kosmetik, bahan cucian dan peralatan rumah mesti diletakkan sekurang-kurangnya 1.75 meter dari aras lantai.
5. Pastikan segala ubat disimpan di tempat berasingan daripada tempat menyimpan makanan. Bekas berkunci penting kerana menyukarkan kanak-kanak membukanya
6. Elakkan mengguna pintu atau tingkap kaca kerana kanak-kanak mungkin menerpa dan tercedera.
7. Jika tinggal di rumah pangsa atau pangsapuri, pastikan ruang di antara palang tepi tangga tidak lebar sehingga boleh memboloskan kepala atau dada kanak-kanak. Jarak setiap palang mesti kurang daripada enam senti meter .
8. Elakkan mengguna buai untuk menidurkan anak berusia lapan bulan lebih kerana mereka mungkin terjatuh.
9. American Academy of Paediatric memaklumkan bahawa walker tidak selamat untuk kanak-kanak dan ia terbukti tidak membantu kanak-kanak berjalan dengan lebih cepat.
1o. Pastikan rumah anda dipasang alat pengesan asap (smoke alarm).
11. Dapur perlu dilengkapkan dengan alat pemadam api (fire extinguisher) untuk memadam kebakaran kecil dapur jika berlaku.
12. Pastikan ada jalan keluar dari rumah selain pintu utama Elakkan memasang gril yang sukar dibuka.

No comments: