Sunday, March 30, 2008

Keselamatan kanak-kanak di khalayak ramai


Masyarakat telah dikejutkan dengan kanak-kanak Muhammad Nazrin bin Shamsul Ghazali (Yin), hilang tetapi berjaya dijumpai semula dengan selamat. Kemudiannya kehilangan Nurin Jazlin bt. Jazmin berakhir dengan penemuan mayat beliau yang sehingga kini belum lagi tertangkapnya penculik atau pembunuhnya. Bagaimanapun kehilangan Sharlinie bt. Mohd Nashar dan terbaru Mohammad Asmawi bin Jajaluddin masih lagi berlarutan sehingga kini.

Kanak-kanak yang dikaitkan dengan kehilangan ini dilaporkan kali terakhir dilihat adalah di kawasan khalayak ramai seperti pusat membeli belah, pasar malam, taman permainan dan seumpamanya.

Kanak-kanak terutamanya pada usia awal atau sebelum persekolahan perlu diberi lebih perhatian jika ibu bapa atau penjaga berhasrat membawa mereka ke khalayak ramai.

Berikut adalah perkara-perkasa asas yang perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebelum dibawa ke khalayak ramai.

1. Memaklumkan perancangan dengan tepat destinasi dan tujuan. Sebagai contoh; mula-mula ke Pusat Membeli Beli Giant dengan tujuan utama untuk membeli pakaian seragam sekolah. Kemudian ke Medan Selera Utama untuk makan malam.
2. Memakaikan kanak-kanak dengan pakaian yang mudah dikenali oleh ibu bapa dan penjaga sebagai contoh baju yang berwarna terang dengan tambahan topi berwarna terang. Kanak-kanak perempuan mungkin boleh dikenakan penutup kepala atau tudung yang berwarna terang.
3. Kanak-kanak pada usia awal atau sebelum persekolahan kerap menghadapi masalah untuk mengingati nombor telefon ibu bapa atau alamat rumah mereka sendiri. Biasakan kanak-kanak ini membawa kad nama ibu bapa yang lengkap dengan nombor untuk dihubungi. Jika perlu bawa Kad Data Kecemasan. Rujuk laman web Persatuan Bomba & Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA Malaysian Volunteer Fire & Rescue) untuk memuat-turun Kad Data Kecemasan ini. (http://www.mvfra.org/)
4. Memaklumkan suatu tempat perjumpaan jika berlakunya sebarang kejadian terpisah dari keluarga. Sebagai contoh, pintu utama atau kaunter pertanyaan jika di tempat yang dikunjungi ada perkhidmatan sebegini.
5. Sentiasa mengingatkan kanak-kanak ini berjumpa terus dengan pihak berkuasa seperti pengawal keselamatan atau pihak polis jika terpisah dari keluarga atau tersesat. Sekiranya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak berkuasa, cuba minta bantuan dari jurujual pusat membeli belah tersebut ataupun penjual di gerai jika di pasar malam.
6. Kanak-kanak juga jangan dimomokkan atau ditakutkan dengan pihak berkuasa polis umpamanya. Kanak-kanak ini kena diberitahu bahawa polis akan menolong kita jika semasa kecemasan atau kemalangan.
7. Jangan panik dan menunjukkan rasa ketakutan dan elakkan cuba meminta pertolongan dari orang yang tidak dikenali.

Sebagai tambahan perkara-perkara berikut boleh dibuat persediaan jika berlakunya sebarang kejadian yang diingini terhadap kanak-kanak.

1. Ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membawa sekurang-kurangnya gambar foto terbaru kanak-kanak bersaiz pasport, mungkin boleh disimpan di dalam dompet ayah atau beg tangan ibu. Foto sebegini akan memudahkan dan mempercepatkan pihak berkuasa dan orang awam di tempat kejadian untuk mengecamnya.
2. Kepada ibu bapa yang berkerja, mereka hendaklah mengetahui pakaian yang akan dipakai oleh anak-anak mereka jika terlibat dengan sebarang aktiviti selepas waktu sekolah keesokan hari. Kebiasaannya pihak berkuasa akan memulakan pencarian dengan berpandukan jenis dan warna pakaian yang dinyatakan.
3. Mengetahui siapakah kenalan-kenalan rapat anak-anak dan menyimpan nombor-nombor telefon mereka ini termasuk nombor-nombor telefon ibu bapa atau penjaga mereka.
4. Mengetahui di manakah tempat-tempat kebiasaan kanak-kanak ini pergi atau berjumpa dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Masyarakat Malaysia belum lagi bersedia untuk menggunakan tali pengikat tangan seperti yang banyak diamalkan di luar negara. Kaedah tradisional iaitu tangan kanak-kanak ini mesti dipastikan digengam walaupun mereka sendiri yang membantahnya terutama di kawasan sesak dengan orang ramai.

Kanak-kanak juga boleh diajar membawa wisel sebagai peralatan tambahan keselamatan. Bagaimanapun mereka ini perlu diajar dan diingatkan agar menggunakan wisel hanya semasa kecemasan dan ketika dikuatiri diancam. Jangan gunakan hanya untuk suka-suka.


lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Caption photo;
1. Biasakan mengetahui dengan tepat jenis dan warna pakaian kanak-kanak sebelum mereka keluar rumah.
2. Topi berwarna merah adalah satu ciri yang memudahkan kanak-kanak untuk dikenali apabila di khalayak ramai.

No comments: