BERITA HARIAN / 25-Disember-2007
MEMANDANGKAN kes membabitkan profesional terus meningkat, khasnya yang membabitkan keselamatan orang ramai dan kesihatan, persoalan yang timbul ialah ‘adakah golongan profesional kita cukup ilmu?’
Apabila merujuk kepada profesional, kita maksudkan seseorang yang bertugas dalam satu bidang atau profesion yang memenuhi kriteria berikut :
l. Bidang tugas memerlukan pengetahuan dan kemahiran pada tahap tertentu yang diperoleh menerusi pendidikan formal dan bukan formal.
2. Bidang tugas itu dikawal selia oleh sebuah badan, pertubuhan atau persatuan, yang mengkhusus dalam membangunkan tugas.
3. Tugasnya memanfaatkan masyarakat, dalam menyediakan khidmat dan produk tanpa menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat dan alam sekitar.
Ambil bidang kejuruteraan sebagai contoh. Untuk menjadi jurutera, seseorang perlu belajar kejuruteraan sekurang-kurangnya hingga ke peringkat ijazah.
Pengajian kejuruteraan ini perlu diakreditasi oleh Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM), menerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).
Hanya mereka yang mengikuti program yang diakreditasi boleh menerima ijazah kejuruteraan. Di negara ini, kursus yang ditawarkan bagi pelajar kejuruteraan lazimnya mengambil masa antara empat tahun (bagi mereka yang masuk selepas matrikulasi atau STPM) dan lima tahun (bagi mereka yang masuk selepas SPM).
Di negara lain, khasnya Jerman dan Russia, tempoh itu mungkin lebih lama, sehingga enam atau tujuh tahun, untuk dilatih sebagai jurutera.
Jika penuntut kita ditanya hal ini (perlu diingatkan mereka perlu belajar selama lima atau enam tahun), mungkin mereka akan menjawab, ‘Ya’.
Tetapi itukah hakikat sebenarnya? Adakah pendidikan dan latihan yang diterima oleh profesional ini (termasuk jurutera, doktor, arkitek, juru ukur, peguam, akauntan dan pengurus) cukup bagi mereka menampung tugas sebenar?
Adakah mereka bersedia untuk bertugas dengan peringkat pengetahuan ini, kemahiran dan profesionalisme?
Tanggungjawab seseorang profesional bukan saja memerlukan seseorang itu memiliki pengetahuan yang cukup dalam bidangnya, malah sifat tugas itu juga memerlukannya memiliki keazaman tinggi untuk membuat keputusan yang tepat.
Jika keputusan itu membabitkan peruntukan lebih besar, atau jika projek itu begitu besar ia boleh menjejaskan orang ramai, beban mengambil keputusan yang tepat pastinya lebih berat.
Adakalanya wujud kes di mana faktor lain (bukan sekadar membabitkan keputusan profesional yang mudah berdasarkan kepada teori yang diterima atau batas teknikal) yang memerlukan profesional untuk memikirkan di luar batasan.
Oleh itu, memandangkan cabaran yang dihadapi oleh golongan profesional, badan profesional perlu meneliti pendidikan dan pembangunan profesional anggota mereka.
Memandangkan perkembangan ini, kita perlu menggalakkan golongan profesional untuk meningkatkan lagi pembangunan profesional mereka.
Pembangunan Berterusan Profesional (CPD) adalah sesuatu yang mesti bagi membolehkan golongan profesional menampung cabaran semasa dalam persekitaran kerja mereka.
Mereka tidak boleh berhenti daripada berlatih dan belajar selepas menerima ijazah kerana teknologi dan penemuan baru bukan statik dan perlu dikemaskini secara berterusan. Selain itu, profesional perlu sentiasa mencari jalan dalam membina jati diri, amanah, berpegang kepada keputusan, dan sebagainya yang akan memuliakan lagi profesion masing-masing. Kata-kata hikmah Nabi Muhammad SAW menggalakkan sebarang usaha mencari ilmu sejak lahir hingga akhir riwayat. Pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan berterusan perlu digalakkan dalam masyarakat kita, khasnya di kalangan profesional.
Pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan berterusan haruslah mudah dan murah untuk dicapai.
No comments:
Post a Comment