Thursday, March 20, 2008

Asas Bahaya Kebakaran Peringkat Pra Sekolah


Saya sentiasa menyarankan agar asas OSH, Persekitaran Bahaya Kebakaran, Respon Kecemasan, Pengurusan Bencana, keselamatan jalan raya dan sebagainya diajar atau disemaikan di usia awal kanak-anak. Seelok-eloknya di peringkat pra-persekolahan. Ini bukanlah idea saya tetapi hampir kesemua negara membangun termasuklah negara jiran kita iaitu Indonesia dan Singapura telahpun melaksanakannya.

Perkara yang sama juga kerap disentuh oleh menteri-menteri dan mereka yang bertanggungjawab sama ada dengan OSH atau sistem pendidikan negara yang sedia ada. Tetapi hakikatnya mereka ini ”menyentuhnya” atau memberi harapan setelah berlakunya kejadian atau kemalangan yang tidak diingini dan didedahkan di dalam akhbar.

Sebagai contoh, subjek persekitaran sudah lama ”menumpang” dalam silibus sukatan pelajaran tetapi masih ada guru-guru yang tidak tahu kewujudan ini.

Bagaimanapun sekalung perhargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang aktif dalam melaksanakan program K3K ini (Kelab Keselamatan Kanak-kanak) semenjak penghujung tahun 90an lagi.

Secara kebetulan saya sebagai penyelaras aktiviti kanak-kanak untuk Tabika-tabika Perpaduan Jabatan Perpaduan Daerah Larut Matang Selama dan Krian, menetapkan progam K3K dan sesi lawatan ke Balai Bomba adalah acara tahunan seawal sesi persekolahan, semenjak tahun 2000.

Sebelum program K3K ini bermulapun, saya sebagai Instruktur Bomba Sukarela Kilang di Perak telah memulakan program asas kebakaran kepada tabika yang dikendalikan oleh orang rumah saya di Taiping, dan kemudiannya bergabung dengan semua tabika-tabika Jabatan Perpaduan lain di Daerah Larut Matang Selama dan Krian.

Sekadar berkongsi maklumat kepada anda semua terutama yang mempunyai anak-anak di peringkat pra sekolah.

Sekiranya pra sekolah atau tabika anak anda tidak atau belum lagi terlibat dalam program K3K ini, bolehlah anda mengesyorkan kepada guru kelas anak-anak anda ini supaa berhubung dengan mana-mana Pegawai Penjaga Balai Bomba yang berdekatan.

Program K3K ini lengkap dengan modul khas menggunakan buku yang diedarkan secara percuma kepada semua kanak-kanak yang terlibat. Terdapat juga buku khas (panduan guru) untuk guru. Kanak-kanak yang mengambil bahagian juga akan diberi sijil penyertaan dan cenderahati.

Di samping itu terdapat juga naskah bacaan (Panduan Keselamatan Kebakaran Di Rumah) untuk ibubapa dan orang ramai yang terlibat dalam program ini. Rujuk gambar kecil di atas.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: