Wednesday, December 10, 2008

Memahami fungsi dan tugas anggota penyelamat di tempat bencana

ANGGOTA Rela diiringi anggota bomba membawa Puteri Nur Aisyah Faizulnizam, 38 hari, ke tempat yang lebih selamat dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. - foto BERNAMA


Zon-zon bertugas seperti di dalam dokumen MKN 20.


Memahami fungsi dan tugas anggota penyelamat di tempat bencana
(Khemah rehat anggota penyelamat mesti di luar zon bertugas)

Malam semalam saya dalam perjalanan kembali ke Sintok dan terlepas Buletin TV3 jam 8 malam. Sehari dua ini memang seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlepas dari mana-mana siaran tv atau radio untuk berita semasa.

Pagi ini saya terbaca mengenai komen beberapa penulis blog terhadap seorang penduduk mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang memaki-hamun terhadap seorang ahli parlimen yang mengunjungi tempat kejadian.

Tidak cukup dengan itu penduduk mangsa tanah runtuh ini juga sempat membebel dan memperli anggota beruniform (askar dan Rela) yang tidak membantu mengangkat kotak-kotak isterinya dan sambil mendakwa mereka ini (anggota beruniform) hanya duduk makan minum di dalam khemah.

Isu beliau memaki-hamun ahli parlimen tidak akan saya ulas, tetapi ”kebebalan” memahami fungsi anggota penyelamat amat menyedihkan saya. Sebagai seorang aktivitist masyarakat yang sering terlibat dengan kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan dalam menangani kecemasan dan bencana ini termasuklah Tsunami, saya merasa terpanggil untuk memberi komentar. Lebih-lebih lagi saya juga adalah seorang pengajar dalam topik ”Emergency Response Management” di universiti yang saya bekerja sekarang ini.

Ada dua isu dalam konteks penyelamat ini.

Isu pertama, anggota-anggota penyelamat ini yang terbahagi kepada beberapa kategori iaitu penyelamat utama, penyelamat sokongan dan juga bantuan luaran. Misi utama mereka adalah menyelamatkan mangsa dan bukan harta benda terutama dalam keadaan tempat kejadian masih belum disahkan selamat.

Mangsa kejadian juga perlu mengetahui keperluan utama dalam masa menyelamatkan diri. Utamakan nyawa dan keselamatan diri dan kalau berpeluang dengan dokumen-dokumen penting seperti perkenalan diri dan sebagainya.

Isu kedua ialah zon bertugas semasa kecemasan dan bencana. Dalam Arahan 20, Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) telah memperincikan zon-zon yang perlu diadakan dalam masa operasi menyelamat. Dokumen MKN 20 yang dikeluarkan selepas kejadian Highland Tower ini telah menetapkan Zon Merah sebagai zon kemalangan atau bencana diiikuti oleh Zon Kuning dan di luar sekali ialah Zon Hijau.

Penyelamat utama seperti anggota Bomba dan Penyelamat dibenarkan berada dalam Zon Merah dengan sokongan keperluan anggota Paramedik. Manakala Zon Kuning adalah untuk penyelamat-penyelamat sokongan seperti anggota JPA3, Bulan Sabit Merah dan sebagainya. Manakala Zon Hijau untuk khemah-khemah mangsa, bantuan sokongan, media dan sebagainya.

Perlu dingatkan anggota penyelamat ini tidak kira sama ada penyelamat utama atau sokongan juga merupakan seorang manusia biasa. Mereka memerlukan masa rehat dan sebagainya. Mereka juga biasanya bekerja dalam syif dan kadang-kala waktu syif kerja mereka melampau waktu.

Oleh itu MKN 20 telah menetapkan bahawa khemah rehat mereka hendaklah di luar kawasan zon bertugas. Sebagai contoh, khemah rehat penyelamat utama tidak boleh diletakkan di dalam kawasan zon bertugas mereka iaitu di dalam Zon Merah. Khemah rehat penyelamat utama hendaklah diletakkan di dalam Zon Kuning. Rujuk gambar di atas. Juga dingatkan lingkaran atau sempada zon-zon tidak semestinya dalam bulatan. Ianya boleh jadi segi empat atau segi tiga bergantung kepada saiz dan sifat bencana. Apa yang penting, zon-zon ini ditandai dengan tali pita kecemasan ataupun sebarang perkenalan lain.

Ini untuk mengelakkan salah faham terutamanya dari mangsa kejadian yang masih trauma dan bersedih akibat kemalangan atau bencana yang dihadapi. Biasanya mereka ini amat sensitif dan mudah marah terutama apabila melihatkan anggota-anggota penyelamat ini berehat dalam erti kata lain mereka ini kelihatan seolah-olah tidak menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh mangsa kejadian ini.

Masa-masa penukaran bertugas syif umpamanya sering disalahertikan oleh orang awam. Orang awam perlu memahami keadaan jika anggota-anggota penyelamat ini kelihatan berbaring di dalam atau di luar khemah rehat mereka. Mungkin mereka ini keletihan setelah seharian menjalankan operasi menyelamat.

Orang awam juga tidak boleh dipersalahkan seratus peratus akibat salah faham ini. Kemungkinan besar mereka ini tidak tahu fungsi-fungsi sebenaar anggota penyelamat.
Dokumen MKN 20 ini juga sepatutnya tidak dikategorikan sebagai ”Dokumen Terhad”. Isi kandungan Dokumen MKN 20 ini patut disebarkan melalui media masa dan amat sesuai untuk dijadikan satu topik mata pelajaran untuk pelajar sekolah menengah, kolej dan universiti.

Semoga orang awam lebih memahami fungsi-fungsi anggota penyelamat semasa mereka berugas dalam sebarang kejadian atau bencana.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: