Friday, December 26, 2008

Majikan jangan kurangkan kos ketepikan “Keselamatan & Kesihatan Pekerja”



Majikan jangan kurangkan kos ketepikan “Keselamatan & Kesihatan Pekerja”
Utusan Malaysia / 26 Dis, 2008

Kuala Lumpur 25 Dis. - Institut Nasional bagi Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (NIOSH) menasihati majikan agar jangan memperkenalkan atau melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan kos tetapi mengetepikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau akan menasihatkan bahawa tindakan ini jangan dilakukan dengan mengetepikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya walaupun ketika majikan sedang mengambil pelbagai tindakan untuk mengurangkan kos operasi mereka akibat kelembapan ekonomi.

"Syarikat janganlah mengurangkan kos untuk menjaga keselamatan kilang dan jentera, peruntukan peralatan perlindungan peribadi atau malah pelaburan dalam keselamatan pekerjaan dan kesihatan secara am.

"Ini kerana jika berlaku kemalangan, nyawa mungkin hilang dan produktiviti akan terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jika kemalangan berlaku di tempat kerja, majikan yang menghadapi banyak kerugian dari aspek pemberhentian kerja, pembayaran perubatan, pampasan dan sebagainya.

Lee juga berkata, pekerja mestilah diberi jaminan mengenai hak mereka terhadap keselamatan dan kesihatan persekitaran tempat kerja, menyediakannya dengan maklumat, pendidikan dan latihan agar mereka tahu mengenai cara terbaik untuk melindungi dirinya.

Menjadikan tempat kerja selamat sebagai tanggungjawab bersama bagi kedua-dua majikan dan pekerja, tambah beliau.

No comments: