Sunday, December 21, 2008

Datuk Khalid tidak sepatutnya dikenali sebagai Ketua Polis Negeri


Datuk Khalid tidak sepatutnya dikenali sebagai Ketua Polis Negeri

(Datuk Khalid tidak sepatutnya dikenali sebagai Ketua Polis Negeri Selangor semasa kejadian tanah runtuh di Bukit Damansara).

Walaupun sudah hampir sebulan semenjak 6 Disember 2008 lalu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, masih lagi berita-berita mengenainya memenuhi di dada-dada akhbar. Di samping kerja-kerja bertungkus-lumus oleh pihak berkuasa, penyelamat dan agensi bantuan/luaran yang lain, timbul banyak kisah-kisah negatif. Ada mangsa yang mendakwa pertolongan yang diberi sekadar ala kadar, maklumat tidak tepat, makanan tidak mencukupi malah ada yang mendakwa pihak-pihak berkuasa, penyelamat dan agensi ini tidak saling berhubungi sesama mereka!

Saya pasti operasi menyelamat ini diaktifkan mengikut Arahan No. 20, Majlis Keselamatan Negara (MKN 20). MKN 20 ini dikeluarkan oleh kerajaan pada 11 Mei 1997 setelah kejadian keruntuhan Pangsapuri Highland Tower pada 11 Disember 1993 di mana 48 orang telah terkorban. MKN 20 ini mengandungi dasar dan mekanisma pengurusan dan bantuan bencana Negara.

Apa yang perlu diketahui mengenai MKN 20 ini?

Secara ringkasnya, terdapat 11 kejadian-kejadian bencana yang diliputi oleh MKN 20 ini iaitu;

1. Bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau dan hakisan pantai, tanah runtuh atau bencana akibat daripada ribut atau hujan lebat.

2. Bencana industri seperti kejadian letupan, kebakaran, pencemaran, dan kebocoran bahan-bahan bahaya (hazardous material) daripada kilang-kilang, loji dan depo perusahaan yang memproses, mengeluar dan menyimpan bahan-bahan berkenaan.

3. Kemalangan yang melibatkan pengangkutan, penyaluran dan pemindahan bahan-bahan berbahaya.

4. Keruntuhan bangunan tinggi dan struktur khas.

5. Kemalangan udara yang berlaku di kawasan yang terdapat binaan-binaan dan orang ramai.

6. Pelanggaran atau kegelinciran keretapi.

7. Kebakaran yang melibatkan kawasan yang luas atau kebakaran yang melibatkan bangunan yang tinggi atau struktur khas yang mempunyai orang ramai.

8. Kepecahan empangan hidro atau takungan air (reservoir).

9. Kemalangan nuklier dan radiologi yang melibatkan pepasangan nulklier atau bahan radioaktif yang mana kemalangan ini berkemungkinan boleh merebak dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda atau percemaran kepada alam sekitar serta menjejaskan aktiviti setempat.

10. Kejadian pelepasan gas beracun di tempat awam.

11. Kejadian jerubu yang boleh menimbulkan keadaan kecemasan alam sekitar yang menggugat ketenteraman awam, perjalanan pentadbiranran kerajaan.

(Kecuali kejadian-kejadian bencana udara, bencana banjir dan nuklear dan radiologi serta bencana laut secara amnya ditangani oleh Jabatan-jabatan bertanggungjawab.. Peraturan-peraturan tetap mengenai empat bencana ini telah sedia dan berkuatkuasa sekarang ini.)

Tahap-tahap Bencana


MKN 20 juga menetapkan tiga tahap pengurusan bencana iaitu;

Bencana Tahap 1

Kejadian setempat yang terkawal dan tidak berpotensi untuk merebak. Ianya tidak begitu kompleks dan kemungkinan mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda yang kecil. Bencana ini juga tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat secara meluas. Pihak Berkuasa di peringkat daerah mempunyai kemampuan untuk mengawal dan mengatasi kejadian ini melalui agensi-agensi di Peringkat Daerah tanpa atau dengan bantuan dari luar yang terhad.

Bencana Tahap 2

Kejadian yang lebih serius meliputi kawasan yang luas atau melebihi dua Daerah dan berpotensi untuk merebak. Kemungkinan akan mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang banyak. Kejadian ini juga memusnahkan infrastruktur dan menjejaskan aktiviti harian masyarakat. Bersifat lebih kompleks daripada Bencana Tahap I dan menyulitkan dari segi usaha mencari dan menyelamat. Perlu dan berupaya dikendalikan oleh Pihak Berkuasa di peringkat Negeri tanpa atau dengan bantuan dari luar yang terhad.

Bencana Tahap 3

Kejadian yang berpunca daripada Bencana Tahap II, bersifat lebih kompleks atau meliputi kawasan yang lebih luas atau melebihi dua buah negeri. Perlu dan berupaya dikendalikan oleh Pihak Berkuasa di Peringkat Pusat tanpa atau dengan bantuan dari luar negara.



Jawatankuasa MKN 20



Manakala jawatankuasa-jawatankuasa mengikut tahap-tahap bencana adalah seperti berikut;









Jawatankuasa-jawatankuasa yang ditetapkan di atas berfungsi mengikut bidang-bidang tugas masing-masing seperti yang dinyatakan dalam MKN 20. Bidang tugas meliputi perancangan dan juga tindakan operasi di tempat kejadian.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas peranan Komander Tempat Kejadian (Incident Commander) di dalam MKN 20, rata-rata organsisi yang terlibat dalam MKN 20 ini memahami fungsi dan peranannya.

Komander Tempat Kejadiaan (KTJ) tidak semestinya pengerusi jawatankuasa pengurusan dan bantuan. KTJ boleh dilantik oleh pengerusi (atau jawatankuasa) untuk mengetuai operasi menyelamat dan menguruskan bantuan di tempat kejadian. Biasanya pada Bencana Tahap 1 (Daerah) dan Bencana Tahap 2 (Negeri) serta mengikut hiraki organisasi jawatankuasa, Ketua Polis Daerah (atau Negeri) adalah mereka yang paling layak dilantik sebagai KTJ.

Untuk Bencana Tahap 3 (Pusat), kebiasaannya Panglima Angkatan Tentera Malaysia dilantik sebagai KTJ.

Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang merupakan Bencana Tahap 1, sepatutnya Ketua Polis Daerah yang terlibat dilantik sebagai KTJ. Bagaimanapun kalau mengikuti kepentingan dan saiz bencana, keputusan pelantikkan Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebagai KTJ adalah lebih tepat.

Sebagai KTJ, kita boleh lihat peranan dan pengelibatan Datuk Khalid semenjak dari hari kejadiaan sehingga ke hari ini di tapak kejadian tanpa mengira masa dan waktu.

Bagaimanapun peranan Datuk Khalid lebih diwar-warkan sebagai Ketua Polis Negeri. Sepatutnya media masa dan semua agensi yang terlibat lebih mengenali Datuk Khalid sebagai KTJ dan bukannya sebagai Ketua Polis Negeri.

Pengenalan sebagai KTJ adalah lebih bersistematik dan bersepadu dalam menangani permasalahan yang mungkin ujud di antara semua pihak yang terlibat iaitu agensi penyelamat utama (seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, SMART, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Peubatan Kecemasan dan Angkatan Tentera Malaysia), agensi penyelamat sokongan (Jabatan Pertahanan Awam), serta agensi bantuan dan pemulihan (Rela, Persatuan Bulan Sabit Merah, JKR, TNB, Telekom, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi lain).

Saya dapati hanya Berita Minggu hari ini (21 Dis 2008) menyatakan Datuk Khalid sebagai Ketua Komander Operasi Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa. Sepatutnya dalam setiap hebahan Datuk Khalid mesti dikenali sebagai KTJ ataupun ditulis sebagai KTJ yang juga merupakan Ketua Polis Negeri.

Sebenarnya MKN 20 itu sendiri merupakan satu dasar dan mekanisma pengurusan dan bantuan bencana Negara yang lengkap. Saya juga difahamkan MKN 20 yang sudah berusia lebih 10 tahun ini akan mengalami beberapa kesesuaian. Dalam 11 kejadian bencana yang disebut dalam MKN 20 ini tidak termasuk kejadian Tsunami, yang telah melanda Malaysia pada tahun 2004.

Di samping itu saya juga ingin menyarankan agar pembuat dasar MKN 20 ini meluaskan tahap bencana dari tiga tahap menjadi lima tahap seperti berikut;

1. Bencana Tahap 1 meliputi kawasan (atau bangunan),
2. Bencana Tahap 2 (sama seperti Tahap 1 sedia ada),
3. Bencana Tahap 3 meliputi daerah dengan skop bantuan yang lebih meluas,
4. Bencana Tahap 4 (sama seperti Tahap 2 sedia ada),
5. Bencana Tahap 5 (sama seperti Tahap 3 sedia ada).

Kalau mengambil kira kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, saiz bencana adalah Bencana Tahap 1 tetapi skop bantuan yang diperlukan adalah lebih meluas. Ianya lebih tepat jika dikategorikan dalam Bencana Tahap 3 (cadangan lima tahap bencana) kerana keperluan bantuan yang lebih meluas dan memerlukan KTJ dari Ketua Polis Negeri sendiri.

Mungkin ada yang berkata apalah ada pada nama. Tiada perbezaannya Datuk Khalid (dalam kejadian di Bukit Antarabangsa in) dikenali sebagai Ketua Polis Negara ataupun dikenali sebagai KTJ. Tetapi sebagai pemimpin untuk pelbagai agensi selain dari Polis DiRaja Malaysia, panggilan sebagai Komander Tempat Kejadian (KTJ) adalah lebih tepat.

Di luar negara semua operasi-operasi bersepadu begini dalam sebarang kecemasan atau bencana, pihak-pihak berkuasa, penyelamat dan agensi bantuan/luaran yang lain mengenali pemimpin mereka sebagai Incident Commander ataupun IC.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/


No comments: