Patuhi panduan
penggunaan eskalator
KOSMO ISU 18 FEBRUARI 2016 TAUFIK SALIMIN
SEJAK kebelakangan ini, kemalangan membabitkan
kanak-kanak di eskalator atau tangga bergerak semakin kerap berlaku sehingga
mencetuskan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
Tidak dinafikan, kanak-kanak aktif gemar mencuba
sesuatu yang baharu, namun pengawalan dan pemantauan yang tidak efisien
menyumbang kepada peningkatan insiden berkenaan.
Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam
mengawal anak masing-masing dan perlu sentiasa berhati-hati.
Perunding Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lukman
Wan Mat Daud berkata, biarpun sikap kanak-kanak dilihat menjadi punca utama,
kegagalan ibu bapa dalam mengawal, gagal mematuhi peraturan dan beberapa faktor
lain turut menyebabkan perkara itu terjadi.
“Kebanyakan kes sebenarnya berpunca daripada pemakaian
kasut, selipar dan sandal selain peralatan perlindungan kaki yang terjurai
keluar.
“Terjurai atau menggeleber ini tidak semestinya besar
dan longgar. Aksesori pada pelindung kaki seperti tali, pengetat juga boleh
dianggap terjurai jika tidak dirapikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
baru-baru ini.
Menurutnya, individu yang dilihat memakai selipar atau
sandal yang tidak kemas seharusnya dilarang menggunakan eskalator bagi mencegah
kemalangan.
Garis panduan
Tambahnya, garis panduan meminta pengguna berdiri di
sebelah kiri tangga bagi memberi laluan kepada mereka yang ingin berjalan juga
dilihat tidak sesuai.
“Penggunaan asal eskalator adalah bersifat statik dan
memang benar banyak premis yang seolah-olah membenarkan pengguna berjalan di
atas eskalator.
“Pengguna seharusnya berdiri statik dan kedua-dua
belah kaki berada dalam garisan kuning yang ditetapkan. Pada masa sama, mereka
perlu berhati-hati ketika hendak tiba di penghujung laluan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menjelaskan mengenai penyelenggaraan
eskalator, beliau memberitahu, setelah diuji, diperiksa dan lulus (selepas
pemasangan), Pegawai Pemeriksa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan
mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (dikenali sebagai Sijil PMA)
kepada eskalator ini.
Sijil itu mempunyai tempoh laku selama 12 bulan dan
diberi sehingga tempoh tiga bulan dari tamat tempoh untuk diperbaharui.
“Kontraktor penyelenggaraan yang dilantik oleh majikan
atau pemilik premis juga mesti berdaftar dengan JKKP. Kontraktor ini
dipertanggungjawabkan untuk menyenggara eskalator ini secara berkala.
Antara aspek penambahbaikan yang perlu diberi
perhatian kontraktor adalah ruang kelegaan antara anak tangga dan penghujung
laluan kerana apabila eskalator kerap digunakan, ruang kelegaan antara anak
tangga akan menjadi luas yang boleh menyebabkan ruangan mudah terkepit,”
jelasnya.
Perlu diingatkan bahawa, kebiasaannya peralatan kaki
atau pakaian yang terjurai boleh tersangkut atau terkepit di ruang ini.
Hak pengguna
Sebagai langkah keselamatan, majikan atau pemilik
premis mesti mempamerkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (dikenali
sebagai Sijil PMA) di eskalator berkenaan.
Pengguna perlu tahu hak mereka untuk menggunakan
eskalator yang mempunyai Sijil PMA tersebut.
Sebenarnya, syarat mempamerkan itu ada dinyatakan
dalam perundangan dan pengguna harus mengelak daripada menggunakan eskalator
yang tiada Sijil PMA ataupun sijil yang sudah tamat tempohnya.
“Bagaimanapun, terdapat juga premis beli-belah seperti
di pasar raya Sogo yang meletakkan seorang petugas bagi mengawal penggunaan
eskalator.
“Pada masa sama, petugas juga perlu dilatih untuk
bertindak segera dengan menekan butang penghenti kecemasan jika berlaku
sebarang insiden,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz40bQFNh1e
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment