Tuesday, October 9, 2012

Syabas Legoland!

Syabas Legoland!

Harap-harap tiada kesilapan signboard OKU seperti di USS Singapura (rujuk di sini).


Berita penuh

LEGOLAND MESRA OKU
Norshikin Mohd Salleh, Sinar Harian
8 Oktober 2012

JOHOR BAHRU - Taman tema Legoland Malaysia bukan sahaja sebagai lokasi riadah keluarga pertama seumpamanya di Asia, malah ia juga mesra orang kurang upaya (OKU) dengan ciri-ciri kemudahan bertaraf dunia.

Pengurus Veritas Arkitek Sdn Bhd cawangan Johor, Shah Jaffar berkata, kemudahan buat OKU antara yang dititikberat syarikat tersebut yang diberi amanah merekabentuk, menjadi perunding hiasan dalaman dan landskap bagi projek mega RM720 juta itu.

“Kemudahan untuk golongan yang kurang upaya di Legoland ini menjadi penanda aras buat projek pembangunan lain untuk mengaplikasikan kemudahan yang sama seperti yang dibangunkan di sini.

“Hampir dua hingga lima peratus daripada bajet reka bentuk ini difokuskan untuk kemudahan OKU seperti menyediakan laluan pejalan kaki, papan tanda braile, tac tiles, dan pelbagai kemudahan lain.

“Kami amat peka dengan keperluan OKU kerana salah seorang arkitek yang terlibat dalam pembangunan projek ini juga seorang OKU,” katanya kepada pemberita sempena ulang tahun ke-25 syarikat terbabit, di sini, Khamis lalu.

Shah berkata, kejayaan menyediakan kemudahan ‘barrier free’ buat OKU di Legoland juga menjadi rujukan untuk pembangunan dua projek sekolah menengah pendidikan khas yang bakal dibangunkan syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.

Projek sekolah yang bakal dibina sebelum hujung tahun ini kini di peringkat rekaan pelan dengan nilai pembangunan RM50 juta setiap satu.

“Kita anggarkan dapat memulakan projek sekolah khas ini dalam tempoh terdekat dengan perangkaan pembinaan selama 18 bulan untuk disiapkan di atas tanah tujuh ekar (2.8 hektar).

“Kebanyakan pemaju kurang menitikberatkan soal penyediaan kemudahan OKU kerana mengandaikan ia sesuatu perkara yang remeh dan memerlukan kos yang tinggi, kerana kelengkapan prasarana bagi golongan itu 10 kali lebih mahal,” katanya.

Shah berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat yang mempunyai beberapa cawangan di luar negara itu, seramai 25 kanak-kanak kurang upaya dari Taman Sinar Harapan Johor Bahru akan dibawa ke Legoland pada 24 Oktober depan.

“Mereka akan cuba sendiri kemudahan OKU yang disediakan di Legoland sekali gus beri peluang untuk berseronok buat mereka,” katanya.


No comments: