Stesen kereta api Kampar mesra OKU
Sinar Harian 19 Mei 2012
KAMPAR – Stesen Kereta api Kampar, di sini bakal dinaikkan taraf dengan beberapa kemudahan mesra khusus untuk orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerja-kerja penyelenggaraan yang menelan kos RM2.1 juta itu akan dimulakan Jun ini dan dijangka siap dalam tempoh 10 bulan.
Menurutnya, stesen yang siap dibina pada Mac 2007 itu tidak mempunyai kemudahan mesra OKU menyebabkan permohonan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterima bagi memberi keselesaan kalangan pengguna OKU.
“Sebelum ini, dasar dan keperluan bagi kemudahan OKU masih belum diguna pakai secara meluas di negara, bagaimanapun kementerian sedia mempertimbangkan sebarang permohonan untuk meningkatkan kemudahan di mana-mana stesen.
“Sekurang-kurangnya dengan pelaksanaan projek ini, ia dapat memberi persepsi kepada masyarakat antarabangsa bahawa pencapaian kemudahan OKU yang disediakan negara ini setaraf dengan negara maju lain,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan Stesen Keretapi Kampar, semalam.
Selain pembinaan dua unit lif dan lobi lif di platform 1 dan 2, beberapa kemudahan lain iaitu tandas khas, lintas rata untuk OKU berkerusi roda, penyediaan dua unit parkir dan penambahan papan tanda dijangka dapat meningkatkan jumlah pengguna OKU di tren Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Cho ha berkata, bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang-Ipoh, hanya stesen di Ipoh sahaja dibangunkan dengan kemudahan OKU yang lengkap manakala di stesen Kampar, hanya kemudahan minimum disediakan.
Namun kata beliau, pembangunan projek seumpama itu akan memberi ruang lebih luas kepada OKU menikmati kemajuan negara.
No comments:
Post a Comment