BERITA YANG SEPATUTNYA TIDAK BERULANG LAGI!
Berita Harian hari ini (20-Jan-2010) memuatkan beberapa berita yang sepatutnya tidak berulang lagi kejadian seumpamanya.
Tanpa mahu menyentuh kejadian lemas pelajar yang berlatih Perahu Naga yang tidak mengambil maklum tetang risiko penukaran tempat latihan, ada pelatih tidak tahu berenang dan juga peggunaan jaket keselamatan yang diabaikan, posting kali ini menyentuh beberapa kemalangan yang sepatutnya boleh dielakkan. Kesemuanya ini telah saya sentuh dalam posting-posting sebelum ini.
lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/
BERITA 1
Kanak-kanak koma 14 jam dihempap TV meninggal
KULAIJAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Yeo Cyndi, meninggal dunia selepas lebih 14 jam koma akibat dihempap sebuah televisyen di rumahnya di Bandar Putra Kulai di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 malam kelmarin ketika Cyndi menonton video persembahan tarian dan nyanyiannya bersama abangnya yang dirakam dalam satu acara di sebuah tadika.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata mangsa dipercayai tertarik wayar hingga menyebabkan televisyen 24 inci itu jatuh dan menimpanya.
Bapa mangsa, Yeo Sung Wah, 38, yang berada dalam bilik tamu menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan jeritan Cyndi.
Beliau berkata, Sung Wah bergegas ke bilik belakang rumah dan mendapati televisyen itu menghempap belakang badan Cyndi yang ketika itu dalam keadaan tertiarap.
Mangsa dibawa ke Hospital Kulai dan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari semalam akibat kecederaan organ dalaman.
Sung Wah yang juga seorang ahli perniagaan, ketika ditemui berkata, Cyndi menonton rakaman itu setiap hari, malah menyanyi dan menari bersama.
"Saya tidak sangka kejadian ini berlaku pada anak saya," katanya.
Dalam Akta sedia ada (pengecualian kepada domestik) semua peralatan perlu dipastikan keteguhan semasa dipasang. Sebagai contoh kaki pengandung tekanan perlu dipalam (bolted).
BERITA 2
Jari kelingking pelajar kena bedah cincin tersekat
KOTA BHARU: Jari kelingking seorang pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) di sini terpaksa dibedah semalam selepas cincin yang dipakai tiga hari lalu tidak dapat dikeluarkan selepas jarinya membengkak.
Mohd Muhaimin Mohd Izani, 21, dari Bukit Abal, Pasir Puteh dibedah pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bermula jam 3 petang selepas usaha memotong cincin itu, termasuk menggunakan pemotong besi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, buntu.
Mohd Muhaimin yang dikejarkan HUSM kira-kira jam 8.20 malam kelmarin berkata seorang rakannya menghadiahkan cincin itu kira-kira tiga hari lalu.
“Mulanya, saya memakai cincin itu tanpa sebarang masalah tetapi semalam (kelmarin), jari kelingking saya tiba-tiba terasa sakit.
“Saya cuba menanggalkan cincin itu tetapi gagal, sebaliknya jari saya semakin membengkak besar,” katanya.
Sejurus dimasukkan ke HUSM, petugas Unit Kecemasan menggunakan pelbagai cara menanggalkan cincin itu tetapi tidak berhasil sebelum mendapatkan bantuan anggota bomba.
Pegawai Bomba Kanan Kota Bharu, Abdul Aziz Sulong, berkata pihaknya membawa beberapa peralatan khas yang sering digunakan untuk memotong cincin tidak pernah berdepan masalah serumit itu.
Katanya, bahan membuat cincin itu terlalu keras dan keadaannya yang licin juga menyukarkan alat pemotong memutuskan cincin berukuran kira-kira lapan milimeter itu,” katanya.
Wakil media yang secara kebetulan berada di situ mendapati, pasukan terbabit mulanya menggunakan pemotong khas tetapi tidak berhasil sebelum bertukar gunting besi yang juga gagal.
BERITA 3
Atendan letak kereta gaji RM800 diisytihar muflis
Wanita dakwa tidak pernah beli kenderaan RM167,170
KUALA LUMPUR: Seorang atendan wanita tempat letak kereta bergaji RM800 sebulan diisytiharkan muflis selepas didakwa gagal membayar pinjaman kenderaan mewah berjumlah RM167,170.11.
Halimaton Din, 41, ibu beranak lima sebak dan sesekali mengalirkan air mata ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kerana terkilan dengan keputusan mahkamah itu dan berharap dapat mengetepikannya.
Beliau mendakwa tidak pernah membeli Toyota Estima 2.4 atau berhutang lebih RM167,000 kepada Bank Muamalat (M) Bhd seperti didakwa.
Halimaton mendakwa beliau pernah kehilangan kad pengenalannya pada 2007 dan yakin ada orang lain menggunakan kad pengenalannya untuk membeli kereta berkenaan.
Perintah muflis itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Zaiton Anuar selepas bank berkenaan selaku penghutang penghakiman berjaya memperoleh perintah penghukuman dan penerimaan.
Difahamkan, mahkamah membuat keputusan itu selepas beberapa kali kes disebut tetapi Halimaton tidak diiringi peguam.
Halimaton mendakwa sebelum ini beliau pernah mendapat khidmat seorang peguam bagaimanapun peguam itu tidak dapat hadir kerana mempunyai kes lain di Melaka.
Katanya, mahkamah membuat keputusan itu kerana tidak boleh lagi menangguhkan kesnya dan turut menasihatkan beliau mencari peguam lain.
"Kalau diikutkan saya mahu menggunakan khidmat peguam, bagaimanapun saya tidak mampu kerana memerlukan duit yang banyak. Ada sekali peguam datang mahkamah meminta RM400 (untuk mewakilinya)," katanya.
Halimaton yang turut ditemani suaminya, Ramli Zam Zam, 46, seorang polis bantuan, berkata pada 18 Disember 2007 beliau pernah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kajang, kerana namanya digunakan orang lain untuk membeli kereta.
"Saya hanya menyedari nama saya digunakan orang lain apabila ke sebuah kedai kereta terpakai di Kajang untuk membeli kereta dan dimaklumkan saya sudah memiliki sebuah kereta Toyota Estima," katanya.
Sementara itu, peguam Mohammad Fahmi Mat Rodzi yang mewakili Bank Muamalat berkata pada awalnya pihaknya memfailkan tindakan saman terhadap Halimaton di Mahkamah Sesyen di sini, bagaimanapun tindakan saman itu gagal dijawab oleh Halimaton selaku pemiutang penghakiman.
Beliau berkata, tiada tempoh masa spesifik diperlukan oleh Halimaton untuk mengetepikan perintah mahkamah semalam, bagaimanapun statusnya akan didaftarkan di Jabatan Insolvensi jika masih berdiam diri. "Selepas ini ia adalah antara Jabatan Insolvensi dan Halimaton. Ini bermakna pihak jabatan akan mendapatkan bayaran daripada Halimaton dan menyerahkannya kepada Bank Muamalat," katanya.
No comments:
Post a Comment