Wednesday, June 11, 2008

Lumrah semasa hari pemeriksaan, Bhg. 1


Lumrah semasa hari pemeriksaan, Bhg. 1

Semasa saya di Silverstone, Taiping dahulu, pihak Bomba Ipoh datang membuat pemeriksaan untuk kelulusan Fire Certificate. Pemeriksaan dokumentasi, storan bahan bahaya, peralatan mencegah kebakaran seperti sistem penggera, hydrant, hosereel dan alat pemadam api mudah alih berjalan lancar.

Pemeriksaan terakhir ialah Rumah Pam. Rumah Pam ini disenggara khas oleh chargeman dan ditetapkan ujian berkala setiap minggu untuk semua motor-motor pam seperti jockey pump, duty pump dan standby pump (diesel).

Malangnya pada hari pemeriksaan tersebut, standby pump tidak mahu ”hidup” secara automatik apabila tekanan air telah turun melebihi paras yang ditetapkan! Sedangkan sehari sebelum itu dan pada awal paginya juga (pemeriksaan pada pukul 11.30 pagi), chargeman yang bertugas telah menggujinya dan mendapati semua motor-motor pam berada dalam keadaan memuaskan.

Keputusannya; pemeriksaan gagal dan perlu memohon untuk pemeriksaan semula.

Perkara yang hampir sama berlaku di Celestica, Kulim Hi-Tech, pihak AELB (Atomic Energy Licensing Board) datang membuat pemeriksaan terhadap mesin x-ray dan mendapati tali perentang menandakan kawasan beroperasi tidak dikenakan. Sedangkan pagi tersebut tali perentang itu masih ada di tempatnya tetapi telah diubah untuk membolehkan troli produk dibawa masuk dan tidak dipasang semula.

Di Tasek Cement, Ipoh, sekali lagi pihak Bomba Ipoh tidak berpuas hati terhadap pemeriksaan Fire Certificate kerana Standby Pump (gambar atas) tidak dapat dihidupkan secara automatik. Sama seperti kejadiaan di Silverstone beberapa tahun sebelumnya. Sedangkan pada seawal 8 pagi, saya sendiri (berdasarkan pengalaman semasa di Silverstone) bersama-sama juruteknik kejuruteraan telah membuat pengujian dan mendapati semua motor-motor pam berada di dalam keadaan yang memuaskan.

Hari ini semasa kunjungan hormat dan pengauditan am pihak DOSH di jabatan saya berjalan lancar. Sehinggalah semasa tinjauan di kawasan persekitaran kampus.

Acapkali saya melahirkan kebanggaan (kepada sesiapa jua) melihatkan pekerja-pekerja penyenggaraan jalan raya seperti menyapu sampah dan memotong rumput di dalam kampus ini yang sentiasa mengenakan vest lutsinar dan kon penanda jalan.

Malangnya pada hari ini, di hadapan Pengarah dan Timbalan Pengarah DOSH Kedah ini, pekerja-pekerja ini hanya mengenakan vest keselamatan tetapi tidak nampak satu kon pun di sepanjang jalan yang disenggarakan oleh mereka!

Apa yang difikirkan oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah DOSH Kedah ini sedangkan sebelumnya saya sudahpun memaklumkan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan oleh pekerja-pekerja penyenggaraan ini setiap kali mereka menyapu atau memotong rumput di jalanan?

Adakah kejadian-kejadian ketidakpatuhan (non – compliance) menjadi lumrah semasa hari pemeriksaan pihak berkuasa?

Adakah perlu ingatan, ingatan dan ingatan (ingatan terakhir)?

Adakah perlu diuji, diuji dan diuji (ujian terakhir)?

Atau pendulikan sahaja di hari-hari biasa dan bersedia ”secukup-cukupnya” untuk hari pemeriksaan sahaja?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: