Monday, June 2, 2008

10 peraturan keselamatan kanak-kanak


Peraturan keselamatan
Oleh Izyan Liyana Mohd Darif, KOSMO

Apakah 10 peraturan keselamatan yang digariskan oleh Smart Reader Kids untuk kanak-kanak?

ANAK-ANAK adalah anugerah Tuhan yang paling berharga. Kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan kehidupan suami isteri malah merupakan pelapis pemimpin negara. Namun, apakah ertinya kehadiran mereka jika tidak dijaga rapi dan terdedah dengan persekitaran yang membahayakan?

"Sebagai pusat pembelajaran yang sentiasa dikelilingi dengan kanak-kanak, kami di Smart Reader Kids mengambil langkah mendidik kanak-kanak supaya mengelakkan diri daripada bahaya," jelas Pengarah Urusan Smart Reader, Dr. Richard Ong pada majlis pelancaran kempen, Ke Arah Keselamatan, Bersatu dan Harmoni 2008 yang bertempat di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Dengan kempen sebegini, kes kehilangan yang menimpa Sharlinie Mohd Nashar, 5, dan Muhd Asmawi Jalaluddin, 11, serta kematian tragis yang berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin, 5, tidak akan berulang.

Atas rasa tanggungjawab Smart Reader Kids dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rakan Cop mereka bersama-sama berganding bahu menyelamatkan golongan kanak-kanak daripada kes jenayah.

Dalam kempen tersebut Smart Reader Kids menghasilkan 10 peraturan keselamatan yang mudah diingati dan dipatuhi oleh kanak-kanak.

Jika para ibu bapa dan guru sekolah sentiasa mengingatkan kanak-kanak mengenai peraturan yang ditetapkan, barangkali kes jenayah dapat dikurangkan.

Apakah 10 peraturan keselamatan yang disarankan oleh pelajar Smart Reader Kids?

1. Jauhi orang yang tidak dikenali
Jangan berbual, menerima pelawaan dan hadiah daripada orang yang tidak dikenali kerana individu tersebut tidak boleh dipercayai.

2. Sentiasa meminta izin
Minta izin ibu bapa, penjaga atau guru sekiranya hendak ke mana-mana supaya mereka mengetahui situasi anda.

3. Sentiasa di sisi ibu bapa
Kanak-kanak dinasihatkan berjalan bersama ibu bapa. Seelok-eloknya pimpinlah tangan mereka.

4. Elakkan berjalan sendirian
Jangan berjalan seorang kerana mudah mendapat perhatian individu yang mempunyai niat jahat. Sentiasalah bersama kumpulan.

5. Lari dan selamatkan diri
Jerit, pukul dan tendang penjahat sekuat hati untuk selamatkan diri. Minta bantuan segera daripada sesiapa sahaja.

6. Sentiasa berterus-terang
Jika sesuatu berlaku, ceritakan kepada ibu bapa atau guru. Jangan sembunyikan sesuatu supaya mereka boleh membantu.

7. Ring, ring, ring!
Tiada orang dewasa di rumah? Telefon berdering? Jika orang tidak dikenali, jangan katakan bahawa anda seorang diri di rumah.

8. Tok,tok, tok, siapa tu?
Jangan buka pintu. Mungkin dia adalah orang yang tidak boleh dipercayai. Dia bukan tetamu tetapi orang yang tidak dikenali. Bahaya.

9. Elakkan disentuh orang lain
Sematkan dalam diri, badan saya kepunyaan saya. Badan saya perlu dihormati. Saya sayang badan saya. Ia tidak boleh disentuh oleh orang yang tidak dikenali.

10. Talian kecemasan 999

Ingat 999. Jika ingin bantuan, hubungi talian 999 iaitu nombor keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman menyarankan supaya masyarakat pada hari ini, mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang. Memandangkan penderaan seksual dan jenayah terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan adalah lebih baik kita turut memantau anak orang lain.

"Selaras dengan peranan PDRM untuk memerangi jenayah, saya berasakan kempen ini amat baik dan perlu disokong oleh semua pihak. Jangan memandang remeh isu jenayah kanak-kanak.

"Mereka seharusnya menjalani kehidupan yang ceria dalam persekitaran yang baik," katanya ketika merasmikan kempen tersebut.

Hubungi talian 03-2115999 atau sms POLISKL 32728

No comments: