Sudah sampai masanya KIK dimestikan ada elemen OSH
Minggu lepas saya dijemput menjadi Ketua Juri kepada dua Pertandingan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif). Pertama di Pertandingan KIK Kolej Jururawat Zon Utara di Kolej Jururawat Pulau Pinang dan kedua di Pertandingan KIK Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang di Wisma Hasil Bandar Perda.
Keseluruhannya hasil-hasil dari pertandingan sama ada dari kategori teknikal atau pengurusan boleh diperkembangan dan dimanfaatkan bukan sahaja kepada organisasi yang bertanding tetapi kepada semua organisasi malah boleh dikomersialkan.
Peserta mempunyai idea yang inovatif dan kreatif serta disokong oleh pelbagai peralatan kualiti (tools of quality) dalam penghasilan produk mereka. Walaupun ada juga produk yang tidak ditimbangtara dengan teliti dari segi aspek kos pembuatan, pemulangan modal pelaburan (ROI) and juga kebolehupayaan untuk dipasarkan, rata-rata produk yang dihasilkan boleh dimanfaatkan.
Sebagai pengamal OSH, saya berpendapat sudah sampai masanya KIK dimestikan ada elemen OSH. Saya ingin membincangkan satu produk yang dihasilkan iaitu Mesin Pelupus Tuala Wanita dari segi OSH. Mesin ini direka kerana organisasi yang terlibat sering bermasalah dengan salur paip tandas tersumbat dan dari hasil selidik mendapati salah satu puncanya ialah ada pengguna yang tidak bertanggungjawab melupuskan tuala wanita yang telah diguna ke dalam salur lubang tandas ini.
(Walaupun secara pratikalnya saya dapati produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini bukanlah penyelesaian terbaik kepada masalah salur paip tandas tersumbat terutama dari segi kos dan kesesuaian prosedur pelupusannya, saya tetap beryakinan ada permintaan untuk produk seumpama ini jika dengan kos dan prosedur yang telah ditambahbaikan).
Mungkin ahli kumpulan yang mereka produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini tidak begitu atau kurang didedahkan dengan elemen-elemen OSH menyebabkan produk mereka ini terdedah kepada hazard dan risiko penggunaannya.
Sebagai ruang untuk penambahbaikan (room for improvement) berikut adalah antara teguran-teguran saya sebagai Ketua Juri dalam kategori Teknikal untuk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini.
1. Penutup ruang suapan (feeder) tidak mempunyai selak atau kunci – mudah dibuka dan dikuatiri boleh membahayakan pengguna muda/kanak-kanak yang ingin tahu.
2. Nip regions (ruang permukaan hampir sentuh) penggolek/penghancur tuala wanita begitu terdedah.
3. Penghujung aci (syaft) tidak dihadang/dipagar/ditutup.
4. Gegancu dan talisawat (sprocket and belt) tidak dihadang/dipagar/ditutup (sisi sebelah).
5. Pendawaian elektrik tidak kemas terutama berhanpiran penyambung pada soket.
6. Terdapat sisi bucu tajam (sharp edge) pada bahagian logam.
7. Bunyi bising motor boleh dikurangkan litupan (isolation).
Sekiranya elemen-elemen OSH ini diterapkan dalam rekaan produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini dan juga produk-produk rekaan KIK yang lain, saya pasti besar manfaatnya kepada bakal pengguna. Tidak perlu mengubah tau menambah perkataan lain kepada KIK kerana elemen OSH itu sendiri wujud dalam perkataan inovatif itu sendiri.
Semoga mereka yang bertanggungjawab terhadap pertandingan KIK ini (pihak MAMPU?) memasukkan elemen-elemen OSH dalam syarat dan peraturan pertandingan KIK ini.
lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com
Posting berkaitan di sini.
No comments:
Post a Comment