Friday, September 28, 2012

Pilih cenderahati OSH yang sesuai

Pilih cenderahati OSH yang sesuai

Rabu lepas saya menghadiri dialog di antara Pengarah-pengarah DOSH, DOE dan SOCSO di Infineon Kulim Hi-tech Park. Saya tidak berhasrat mengulas isu dialog pada hari tersebut. Saya hanya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput saya dan pengamal OSH yang lain ke majlis tersebut dan juga terima kasih di atas cenderahati (doorgift) yang berupa jam meja. Tidak dilupakan juga terima kasih di atas jamuan makan tengahari Nasi Minyak dan Sate, dua menu pilihan dan popular di kalangan rakyat Malaysia pelbagai bangsa ini.

Dalam posting sebelum ini (boleh rujuk di sini), saya ada menyentuh tentang cenderahati berkaitan OSH ataupun cenderahati sempena majlis atau aktiviti OSH. Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah ditegur oleh pekerja kilang (Silverstone Kamunting) semasa mengadakan kempen derma darah sekitar penghujung 90an. Jabatan OSH di Silverstone ketika itu aktif mengadakan kempen derma darah sebanyak tiga atau empat kali dalam setahun. Biasanya di samping jamuan petang, kami juga mengedarkan cenderahati kepada semua penderma yang secara puratanya 60 – 70 orang pekerja dalam satu-satu sesi.

Dalam salah satu sesi derma tersebut, seorang penderma berbangsa Cina menegur saya kerana cenderahati sesi derma darah kali itu ialah jam dinding. Menurut penderma ini kaum Cina pantang (fengshui) memberi atau menerima hadiah jam dinding kerana dalam bahasa Mandarin jam dinding disebut zhong (akhir). Sebutan zhong ini juga menyerupai mati atau pengakhiran hayat kepada benda hidup (seperti jam dinding yang berdetik).

Bagaimanapun jam tangan atau jam meja (seperti cenderahati Infineon ini) dibolehkan!

Selain jam dinding, sebenarnya kaum Cina juga pantang memberi atau menerima hadiah payung dan buku. Dalam bahasa Mandari payung yang disebut san menyerupai sebutan pecah atau jatuh. Manakala sebutan shu untuk buku dalam bahasa Mandarin menyerupai sebutan nasib buruk.

Sebenarnya hadiah yang paling disukai dan mudah ialah wang tunai atau lebih didkenali sebagai angpau. Bagaimanapun pemberian angpau ini juga ada pantangnya. Sekadar berkongsi makluman, untuk pasangan pengantin, jumlah angpau mesti dalam jumlah yang genap atau berganda dalam sampul merah. Manakala jumlah yang ganjil dan sampul putih dikhususkan untuk pemberian kepada keluarga orang mati.

Pakaian semasa dua majlis ini juga berbeza. Majlis perkahwinan digalakkan memakai pakaian yang terang seperti merah yang bermaksud kebahagian dan kecerian. Manakala di majlis kematian digalakan memakai pakaian berwarna hitam dan putih.

Seorang pelajar saya yang terlibat dalam rombongan bantuan kemanusian Malaysia semasa gempa bumi dan tsunami di Jepun bulan Mac 2011 lepas juga memaklumkan kepada saya mengenai isu warna pakaian (vest) rombongan bantuan kemanusiaan Malaysia ketika itu. Warna oren atau kuning terang pada vest pantul cahaya yang dipakai oleh rombongan bantuan kemanusiaan Malaysia tidak disenangi oleh rakyat Jepun. Warna oren atau kuning terang pada rakyat Jepun hanya dipakai semasa majlis-majlis perayaan dan bukannya sewaktu kesedihan atau semasa trajedi.

Sebagai menghormati pelbagai bangsa lain, kita sebagai penganjur (atau tuan rumah) sebolehnya mengelakkan pemberian cenderahati sebegini dan juga pemakaian pakaian dengan warna-warna tertentu.

http://oshthejourney.blogspot.com

No comments: