Tuesday, October 23, 2012

Keseriusan terhadap sukan permotoran perlu seimbang dengan keutamaan keselamatan

Keseriusan terhadap sukan permotoran perlu seimbang dengan keutamaan keselamatan


Radio seawal pagi hari ini melaporkan Kementerian Belia dan Sukan akan memberi perhatian lebih serius terhadap sukan permotoran berikutan kejayaan Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah yang masing-masing meraih kecemerlangan dalam kejohanan GP Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang Ahad lepas.


Saya pasti berita ini disambut baik oleh semua peminat sukan permotoran terutamanya pelumba dan juga penganjur.


Bagaimanapun KBS perlu memainkan peranan penting untuk memastikan sukan permotoran terutama yang dianjurkan oleh penganjur tempatan supaya mementingkan aspek-aspek keselamatan semasa menganjurkan sukan permotoran ini. Bukanlah bermakna penganjur luar terkecuali dari saranan ini. Biasanya kalau penganjur luar seperti acara F1 yang dikawaselia oleh FIA dan MotoGP yang dikawaselia oleh FIM serta dibantu oleh badan pemotoran Malaysia iaitu AAM, aspek-aspek keselamatan ini memang menjadi agenda utama. Penganjur-penganjur tempatan yang bernaung di bawah AAM juga tidak terkecuali dengan syarat-syarat peraturan keselamatan sebegini.


Terdapat sebilangan kecil penganjur tempatan malah juga penganjur luar yang terlepas pandang aspek-aspek keselamatan yang bukan sahaja meliputi keselamatan peserta dan pegawai perlumbaan tetapi juga termasuk penonton yang hadir.


AAM sebagai badan permotoran Malaysia boleh dirujuk untuk aspek-aspek keselamatan semasa acara dilangsungkan. Manakala NIOSH juga boleh dirujuk untuk mengenalpasti hazard-hazard dan risiko (HIRARC) secara bersistematik sebelum, semasa dan selepas acara dilangsungkan.


Kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini telah berlaku berulang kembali seperti semasa acara pecut (drag race) sempena Himpunan Belia di Putrajaya baru-baru ini.


Kebetulan sehari sebelum bermulanya MotoGP di Sepang minggu lepas, saya berpeluang berhubung dengan Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan. Kepada beliau saya menyarankan apa yang ditulis dalam posting ini. Manakala hari ini saya berpeluang berhubung dengan bekas pelajar saya yang kini bertugas sebagai pegawai penyelidik di Parlimen. Sama juga saranan saya kepada beliau, jika berkesempatan agar mengetengahkan isu keselamatan dalam sukan permotoran ini di peringkat Parlimen.


lukmanw@gmail.com



KBS BERI PERHATIAN SERIUS TERHADAP SUKAN PERMOTORAN

MStar Selasa Oktober 23, 2012

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan akan memberi perhatian lebih serius terhadap sukan permotoran berikutan kejayaan Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah yang masing-masing meraih kecemerlangan dalam kejohanan GP Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang Ahad.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan bercakap mengenai kejayaan itu di peringkat yang lebih tinggi agar sukan permotoran diberi perhatian yang lebih serius.

"Kejayaan dan kehebatan Zulfahmi mencipta sejarah saya kira bukan sahaja anak Malaysia yang pertama berada di mana-mana podium bagi perlumbaan GP Motor Sport di peringkat antarabangsa, tetapi ia merupakan anak Asia Tenggara yang pertama mampu berbuat demikian," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijal di sini Isnin.

Ahmad Shabery berkata, kejayaan itu telah memberi satu tahap keyakinan baru kepada anak-panak muda, di mana dahulu kita amat gerun dengan keupayaan pelumba dari Sepanyol, Jerman kerana mereka adalah negara yang mempunyai tradisi sukan permotoran.

Ahmad juga mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak bawah 21 negara kerana sekali lagi memberi keyakinan yang negara mempunyai pelapis yang baik dengan memenangi Piala Surat Khabar Vietnam semalam.

"Di peringkat Senior dulu kita kalah dengan Vietnam. Kejayaan ini menunjukkan keadaan yang lebih baik dan ia menunjukkan Malaysia merupakan gergasi bola sepak yang mesti dihormati sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara," katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang mengungguli kejohanan badminton terbuka Denmark kali ini. - BERNAMA

1 comment:

speedrider said...

Saya menyimpan harapan agar orang yang menerajui KBS pada masa akan datang betul-betul berjiwa sukan dan meminati permotoran.