Tuesday, April 24, 2012

“Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak”



Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak”

Sebagai seorang pengamal OSH, membaca akhbar pada pagi Ahad 23 April 2012 semalam sememangnya amat mengembirakan saya. Berita mengenai “Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak” adalah dua pendekatan OSH yang telah saya sentuh dalam beberapa posting dalam blog ini.

Walaupun pendekatan ini bukan dari susulan yang saya tulis tetapi saya pasti ada pihak tertentu (consultancy) yang menasihati atau memberi usulan OSH ini kepada pihak berwajib sehingga terlaksananya dua pendekatan OSH ini.

Posting saya berkaitan usulan kepada “Latihan Air PLKN Disambung Semula” boleh dirujuk di sini dan di sini.

Manakala posting saya berkaitan kepada Simpan Foto Terbaru Anak” boleh dirujuk di sini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Berita lanjut -

Latihan Air PLKN Disambung Semula - Ahmad Zahid
Bernama 22 April 2012

KUALA LUMPUR: Semua jenis latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara yang dihentikan susulan kes jangkitan virus kencing tikus di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak, 12 Mac lepas akan diteruskan semula dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penangguhan latihan air PLKN itu hanyalah bersifat sementara kerana latihan itu merupakan modul pendidikan yang efektif kepada pelatih PLKN.

Beliau berkata pihak operator akan diminta membuat pelaburan tambahan dengan membina kolam renang mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menjamin tahap kebersihan kolam daripada mudah diserang jangkitan penyakit.

"Kita akan minta mereka (operator) membuat kolam renang kekal, seperti yang kita dah bina di kem Junaco Park, di Sibu, Sarawak, bukan lagi tasik atau kolam buatan manusia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara JLKN dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, Jumaat.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Naib Canselor Pejabat Naib Canselor UPSI Datuk Dr Zakaria Kasa.

Ahmad Zahid sebelum ini mengarahkan semua jenis latihan air di kem PLKN di seluruh negara digantung susulan kematian R.Vinoth, 18, di kem tersebut.

Beliau berkata penutupan kem itu dilakukan walaupun kematian Vinoth bukan disebabkan oleh kencing tikus dan perkara tersebut disahkan selepas pemeriksaan makmal manakala Jabatan Kesihatan Perak pula mendapati air kolam di kem itu bebas bakteria Leptospira.

Mengenai MoU itu, Zahid berkata perjanjian itu bertujuan mewujudkan kerjasama antara JLKN dan UPSI untuk memberi kemudahan perbincangan bagi program kolaborasi dalam skop dan kerjasama yang dipersetujui, antaranya meneroka kemungkinan bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang pengiktirafan dan pertauliahan jurulatih PLKN.

"UPSI dipilih kerana kepakaran yang ada di kalangan tenaga pengajar serta kemudahan prasarana yang ada di UPSI," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerjasama JLKN dan UPSI merupakan sebahagian daripada program Strategi Lautan Biru JLKN dengan JLKN menggunakan kepakaran pensyarah dan prasarana UPSI sebagai pusat latihan jurulatih PLKN.

Selain itu, katanya perjanjian itu juga antara lain dapat meneroka untuk menghasilkan atau menambah baik manual modul PLKN bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran jurulatih PLKN serta kerjasama dalam khidmat nasihat terutamanya aspek pembangunan dan perkembangan kejurulatihan. BERNAMA


Simpan Foto Terbaru Anak
Harian Metro 22 April 2012

BENTONG: Ibu bapa dinasihatkan memiliki gambar terbaru anak mereka bagi memudahkan proses pengecaman dan pencarian, sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini terhadap anak terutama kes kehilangan kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, dalam kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak, ibu bapa serta penjaga gagal memberikan butiran lengkap termasuk foto terbaru anak yang hilang, menyebabkan usaha polis mengesan mereka sukar.

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu, mereka disaran menyertai program Kad Nur Alert merekodkan gambar terbaru kanak-kanak bawah 12 tahun serta butiran peribadi mereka.

“Kad ini diwujudkan bertujuan mengambil seberapa banyak foto kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di seluruh negara dan ia akan disimpan oleh ibu bapa atau pihak sekolah.

“Pada kad itu juga mengandungi butiran peribadi kanak-kanak, nama dan nombor telefon ibu bapa serta butiran fizikal kanak-kanak seperti ketinggian, berat badan, warna mata serta sebarang tanda pada tubuhnya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Kembara PDRM 2012 di Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik di sini, semalam.

Dalam program Kembara PDRM di SK Janda Baik itu, konvoi pacuan empat roda yang diketuai Mohd Bakri sendiri turut membantu memberi perkhidmatan membuat kad Nur Alert yang disediakan secara percuma dan mendapat sambutan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta murid.

Mengulas kes orang hilang di seluruh negara, Bakri berkata statistik yang dicatatkan memang berada di tahap amat membimbangkan dan angkanya semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, kami perlu melihat ‘ketulenan’ satu-satu kes kehilangan kerana kebanyakan kes dilaporkan adalah dari kalangan remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun yang lari dari rumah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya atau masalah keluarga.

Justeru, ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan mereka bagi membendung perkara ini dari berlarutan kerana polis hanya boleh membantu dari segi pencegahan,” katanya lagi.

Dalam program itu, Bakri turut menyerahkan komputer riba dan buku ilmiah kepada Pengetua SK Janda Baik, Kamarudin Hassan untuk kegunaan sekol
ah

No comments: