Monday, April 9, 2012

Wajarkah latihan air di PLKN ditamatkan?


Wajarkah latihan air di PLKN ditamatkan?

Seketika dahulu pernah ada usulan latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihentikan akibat kemalangan pelatih yang lemas semasa mengikuti latihan air ini. Usul ini tidak berpanjangan dan difahamkan pihak pentadbir PLKN menambah baik latihan air ini dengan beberapa langkah keselamatan.

Tindakan “corrective action” oleh kerajaan yang membatalkan semua jenis latihan air di PLKN di seluruh negara susulan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak pada 12 Mac lepas dipercayai akibat jangkitan virus kencing tikus (Leptospira), mampu mengurangkan kebimbangan ibubapa dan penjaga kepada anak-anak mereka yang sedang dan bakal mengikuti PLKN ini.

Bagaimana pula dengan “preventive action” untuk mengelakkan terjadinya lagi jangkitan virus kencing tikus ini? Adakah kerajaan akan berterusan membatalkan semua jenis latihan ini? Timbul pula pertanyaan bagaimana dengan kes yang sama berlaku di pusat latihan pegawai polis di ibukota pada tahun lepas? Adakah selepas ini kesemua jenis latihan air yang membabitkan PLKN, badan beruniform dan malah anggota bersenjata (polis dan tentera?) juga dikecualikan dari latihan air? Jangan pula arahan ini meliputi latihan air kepada anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia!

Seperti dalam posting saya sebelum ini, punca penyakit akibat jangkitan virus kencing tikus ini perlu dikenalpasti. Jika ia berpunca dari kealpaan manusia terhadap kebersihan dan higen, maka pihak yang berwajib perlu membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Corrective action” boleh diambil serta-merta tetapi “preventive action” perlu mengambil kira punca kemalangan, langkah-langkah pengenalpasti, penilaian dan pengawalan risiko.

Rundingan (consultation) dari pihak luar boleh membantu pihak pentadbir PLKN untuk menentukan “preventive action” ini. Malah saya pasti NIOSH sebagai juruaudit keselamatan kepada PLKN juga mampu memberi tunjukajar dan rundingan mereka.

Sebagai contoh jika lokasi latihan air di luar seperti sungai dan tasek dikenalpasti sebagai punca merebaknya jangkitan virus kencing tikus ini, mengapa tidak diadakan latihan air di lokasi dalaman (in house) seperti di kolam renang atau sebagainya. Sekarang ini banyak institusi pengajian awam dan swasta mempunyai kolam renang yang boleh disewa untuk latihan air sebegini. Malah di kem-kem PLKN yang berhampiran dengan lokasi taman-taman tema air yang banyak di Malaysia hari ini boleh menggunakan kemudahan di sana.

Janganlah kerana nyamuk, kelambu dibakar! Sesungguhnya latihan air adalah elemen yang penting untuk keselamatan seseorang itu. Dengan mengambil contoh diri saya sendiri yang tidak tahu berenang dan pernah hampir maut lemas akibat terjatuh di dalam sungai sekitar pertengahan 80an di kawasan perkelahan di Lebuhraya Timur Barat, kekurangan pengetahuan berenang ini amat terasa.

Semoga “preventive action” yang bakal diambil oleh pentadbir PLKN dalam isu latihan air ini tidaklah sehingga membatalkan terus sesi latihan air.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: