Tuesday, April 24, 2012

“Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak”



Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak”

Sebagai seorang pengamal OSH, membaca akhbar pada pagi Ahad 23 April 2012 semalam sememangnya amat mengembirakan saya. Berita mengenai “Latihan Air PLKN Disambung Semula” dan “Simpan Foto Terbaru Anak” adalah dua pendekatan OSH yang telah saya sentuh dalam beberapa posting dalam blog ini.

Walaupun pendekatan ini bukan dari susulan yang saya tulis tetapi saya pasti ada pihak tertentu (consultancy) yang menasihati atau memberi usulan OSH ini kepada pihak berwajib sehingga terlaksananya dua pendekatan OSH ini.

Posting saya berkaitan usulan kepada “Latihan Air PLKN Disambung Semula” boleh dirujuk di sini dan di sini.

Manakala posting saya berkaitan kepada Simpan Foto Terbaru Anak” boleh dirujuk di sini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Berita lanjut -

Latihan Air PLKN Disambung Semula - Ahmad Zahid
Bernama 22 April 2012

KUALA LUMPUR: Semua jenis latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara yang dihentikan susulan kes jangkitan virus kencing tikus di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak, 12 Mac lepas akan diteruskan semula dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penangguhan latihan air PLKN itu hanyalah bersifat sementara kerana latihan itu merupakan modul pendidikan yang efektif kepada pelatih PLKN.

Beliau berkata pihak operator akan diminta membuat pelaburan tambahan dengan membina kolam renang mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menjamin tahap kebersihan kolam daripada mudah diserang jangkitan penyakit.

"Kita akan minta mereka (operator) membuat kolam renang kekal, seperti yang kita dah bina di kem Junaco Park, di Sibu, Sarawak, bukan lagi tasik atau kolam buatan manusia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara JLKN dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, Jumaat.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Naib Canselor Pejabat Naib Canselor UPSI Datuk Dr Zakaria Kasa.

Ahmad Zahid sebelum ini mengarahkan semua jenis latihan air di kem PLKN di seluruh negara digantung susulan kematian R.Vinoth, 18, di kem tersebut.

Beliau berkata penutupan kem itu dilakukan walaupun kematian Vinoth bukan disebabkan oleh kencing tikus dan perkara tersebut disahkan selepas pemeriksaan makmal manakala Jabatan Kesihatan Perak pula mendapati air kolam di kem itu bebas bakteria Leptospira.

Mengenai MoU itu, Zahid berkata perjanjian itu bertujuan mewujudkan kerjasama antara JLKN dan UPSI untuk memberi kemudahan perbincangan bagi program kolaborasi dalam skop dan kerjasama yang dipersetujui, antaranya meneroka kemungkinan bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang pengiktirafan dan pertauliahan jurulatih PLKN.

"UPSI dipilih kerana kepakaran yang ada di kalangan tenaga pengajar serta kemudahan prasarana yang ada di UPSI," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerjasama JLKN dan UPSI merupakan sebahagian daripada program Strategi Lautan Biru JLKN dengan JLKN menggunakan kepakaran pensyarah dan prasarana UPSI sebagai pusat latihan jurulatih PLKN.

Selain itu, katanya perjanjian itu juga antara lain dapat meneroka untuk menghasilkan atau menambah baik manual modul PLKN bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran jurulatih PLKN serta kerjasama dalam khidmat nasihat terutamanya aspek pembangunan dan perkembangan kejurulatihan. BERNAMA


Simpan Foto Terbaru Anak
Harian Metro 22 April 2012

BENTONG: Ibu bapa dinasihatkan memiliki gambar terbaru anak mereka bagi memudahkan proses pengecaman dan pencarian, sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini terhadap anak terutama kes kehilangan kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, dalam kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak, ibu bapa serta penjaga gagal memberikan butiran lengkap termasuk foto terbaru anak yang hilang, menyebabkan usaha polis mengesan mereka sukar.

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu, mereka disaran menyertai program Kad Nur Alert merekodkan gambar terbaru kanak-kanak bawah 12 tahun serta butiran peribadi mereka.

“Kad ini diwujudkan bertujuan mengambil seberapa banyak foto kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di seluruh negara dan ia akan disimpan oleh ibu bapa atau pihak sekolah.

“Pada kad itu juga mengandungi butiran peribadi kanak-kanak, nama dan nombor telefon ibu bapa serta butiran fizikal kanak-kanak seperti ketinggian, berat badan, warna mata serta sebarang tanda pada tubuhnya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Kembara PDRM 2012 di Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik di sini, semalam.

Dalam program Kembara PDRM di SK Janda Baik itu, konvoi pacuan empat roda yang diketuai Mohd Bakri sendiri turut membantu memberi perkhidmatan membuat kad Nur Alert yang disediakan secara percuma dan mendapat sambutan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta murid.

Mengulas kes orang hilang di seluruh negara, Bakri berkata statistik yang dicatatkan memang berada di tahap amat membimbangkan dan angkanya semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, kami perlu melihat ‘ketulenan’ satu-satu kes kehilangan kerana kebanyakan kes dilaporkan adalah dari kalangan remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun yang lari dari rumah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya atau masalah keluarga.

Justeru, ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan mereka bagi membendung perkara ini dari berlarutan kerana polis hanya boleh membantu dari segi pencegahan,” katanya lagi.

Dalam program itu, Bakri turut menyerahkan komputer riba dan buku ilmiah kepada Pengetua SK Janda Baik, Kamarudin Hassan untuk kegunaan sekol
ah

Sunday, April 15, 2012

Topi keledar – pemimpin mesti jadi teladan!


Topi keledar – pemimpin mesti jadi teladan!

Beberapa posting saya sebelum ini acap kali menyentuh sikap pemimpin sama ada pemimpin politik, pemimpin masyarakat, artis malah kerabat Di Raja yang sewenang-wenangnya menaiki motosikal sama ada menunggang atau membonceng tanpa mengenakan topi keledar. Malah ia nya lebih melampau jika mereka ini digambarkan menunggang tanpa topi keledar dan pada masa yang sama diiringi atau diawasi oleh anggota polis. Seolah-olah taraf mereka ini melebihi perundangan yang sedia ada.

Pilihanraya PRU 13 akan menjelang, pihak polis perlu mengambil tindakan yang berhemah menghalang mereka ini dari memenunggang atau membonceng motosikal tanpa mengenakan topi keledar. Menjadi kebiasaan mereka ini akan “berkempen” atau “menunjukkan muka mereka” ke hulu ke hilir menjelang PRU 13 ini. Cara yang effektif, mudah bergerak dan mudah dikenali ramai ialah menggunakan motosikal.

Gambar di atas ialah gambar dua pemimpin tertinggi parti politik sedia ada dari pihak kerajaan dan juga pihak pembangkang. Kedua-duanya membonceng motosikal dan mengenakan topi keledar. Malah jika diteliti, mereka dan juga penunggang motosikal bukan sahaja memakai topi keledar tapi mengikat dengan kemas tali topi keledar.

Semoga pemimpin yang lain meneladani mereka. Langkah sebegini bukan sahaja mematuhi perundangan sedia ada malah boleh mengurangkan risiko kecederaan jika mereka terlibat dalam kemalangan. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan dilaporkan dalam akhbar jika pemimpin politik tertinggi cedera di kepala (mungkin parah atau mungkin maut!) akibat terjatuh dari motosikal yang diboncengnya disebabkan tidak memakai topi keledar!

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

Monday, April 9, 2012

Wajarkah latihan air di PLKN ditamatkan?


Wajarkah latihan air di PLKN ditamatkan?

Seketika dahulu pernah ada usulan latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihentikan akibat kemalangan pelatih yang lemas semasa mengikuti latihan air ini. Usul ini tidak berpanjangan dan difahamkan pihak pentadbir PLKN menambah baik latihan air ini dengan beberapa langkah keselamatan.

Tindakan “corrective action” oleh kerajaan yang membatalkan semua jenis latihan air di PLKN di seluruh negara susulan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak pada 12 Mac lepas dipercayai akibat jangkitan virus kencing tikus (Leptospira), mampu mengurangkan kebimbangan ibubapa dan penjaga kepada anak-anak mereka yang sedang dan bakal mengikuti PLKN ini.

Bagaimana pula dengan “preventive action” untuk mengelakkan terjadinya lagi jangkitan virus kencing tikus ini? Adakah kerajaan akan berterusan membatalkan semua jenis latihan ini? Timbul pula pertanyaan bagaimana dengan kes yang sama berlaku di pusat latihan pegawai polis di ibukota pada tahun lepas? Adakah selepas ini kesemua jenis latihan air yang membabitkan PLKN, badan beruniform dan malah anggota bersenjata (polis dan tentera?) juga dikecualikan dari latihan air? Jangan pula arahan ini meliputi latihan air kepada anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia!

Seperti dalam posting saya sebelum ini, punca penyakit akibat jangkitan virus kencing tikus ini perlu dikenalpasti. Jika ia berpunca dari kealpaan manusia terhadap kebersihan dan higen, maka pihak yang berwajib perlu membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Corrective action” boleh diambil serta-merta tetapi “preventive action” perlu mengambil kira punca kemalangan, langkah-langkah pengenalpasti, penilaian dan pengawalan risiko.

Rundingan (consultation) dari pihak luar boleh membantu pihak pentadbir PLKN untuk menentukan “preventive action” ini. Malah saya pasti NIOSH sebagai juruaudit keselamatan kepada PLKN juga mampu memberi tunjukajar dan rundingan mereka.

Sebagai contoh jika lokasi latihan air di luar seperti sungai dan tasek dikenalpasti sebagai punca merebaknya jangkitan virus kencing tikus ini, mengapa tidak diadakan latihan air di lokasi dalaman (in house) seperti di kolam renang atau sebagainya. Sekarang ini banyak institusi pengajian awam dan swasta mempunyai kolam renang yang boleh disewa untuk latihan air sebegini. Malah di kem-kem PLKN yang berhampiran dengan lokasi taman-taman tema air yang banyak di Malaysia hari ini boleh menggunakan kemudahan di sana.

Janganlah kerana nyamuk, kelambu dibakar! Sesungguhnya latihan air adalah elemen yang penting untuk keselamatan seseorang itu. Dengan mengambil contoh diri saya sendiri yang tidak tahu berenang dan pernah hampir maut lemas akibat terjatuh di dalam sungai sekitar pertengahan 80an di kawasan perkelahan di Lebuhraya Timur Barat, kekurangan pengetahuan berenang ini amat terasa.

Semoga “preventive action” yang bakal diambil oleh pentadbir PLKN dalam isu latihan air ini tidaklah sehingga membatalkan terus sesi latihan air.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

Sunday, April 1, 2012

Papan tanda mesti tepat dan jelas


Papan tanda mesti tepat dan jelas

(Sudah 2 kali saya hantar email melalui portal jabatan dan terbaru saya buat aduan melalui Unit Aduan telefonist. Kedua-dua email tidak berbalas – tidak mesra pelanggan betul. Tidak pasti pula sejauh mana berkesannya unit Aduan telefonist ini. Kesemua aduan ini berkaitan Papan Tanda Pengguna Kerusi Roda yang silap di Zoo Taiping. Boleh rujuk posting di sini.)

Apa pula silap dan salah papan tanda di atas? Papan tanda ini ada terlekat di dinding lutsinar bersebelahan escalator berhadapan ruangan makanan di Pasaraya Jusco Bandar Perda.

Sekali pandang papan tanda ini seolah-olah bermaksud “Jangan Kentut”! Terutama ada 2 jalur di belakang punggung orang di dalam logo tersebut!

Saya tidak pernah sebelum ini terjumpa papan tanda Jangan Kentut atauoun larangan Jangan Kentut di mana-mana premis yang pernah dikunjungi. Tetapi semasa minggu orientasi ketika saya mengikuti Program PPJJ Ijazah Pertama Kejuruteraan Mekanikal saya di USM pada pertengahan 90an dahulu, kami diberi ingatan (secara lisan) mengenai larangan Jangan Kentut di dalam perpustakaan. Menariknya “kami” ketika itu termasuklah 3 pegawai DOSH (2 lelaki dan seorang perempuan) yang kini menjawat post senior di Putra Jaya, Kedah dan Kelantan.

Ketika saya mengambil gambar ini, seorang pengawal keselamatan menegur saya dan memaklumkan papan tanda tersebut bermaksud Jangan Duduk (atau bersandar) pada palang tepi esclalator tersebut.

Sepatutnya tidak perlu 2 jalur di belakang punggung orang di dalam logo tersebut. Ataupun selain dari logo (gambarajah) perlu juga ditulis dengan perkataan – JANGAN DUDUK ATAU BERSANDAR PADA PALANG INI.

Ada sesiapa pernah terjumpa papan tanda Jangan Kentut? Kalau ada sila maklumkan kepada saya. Saya pernah diminta oleh Majlis Daerah Kuala Kangsar untuk melukis logo DILARANG BERKELAKUAN SUMBANG / BERASMARA dengan syarat tidak begitu ketara kelakuan sumbang atau asmara ini. Boleh rujuk posting di sini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

2 maut terkena renjatan elektrik


2 maut terkena renjatan elektrik
Harian Metro

31 Mac 2012 TANAH MERAH: Gara-gara bersemangat untuk memasang bendera sebuah parti politik, dua rakan maut terkena renjatan elektrik apabila sebatang buluh yang diguna untuk menggantung bendera itu terkena kabel elektrik bervoltan tinggi di Kampung Tengah, Bukit Panau dekat sini, malam tadi.

Rosli Hussin, 47, dan rakannya, Mohd Daisan Ibarahim, 37, yang terjatuh dan pengsan selepas terkena renjatan elektrik itu, disahkan mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanah Merah.

Berikut adalah posting berkaitan bertarikh 14 Februari 2008 bersempena PRU 12 ketika itu.

Amaran OSH kepada semua parti politik
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/, 14-Feb-200814-Feb-2008

(Siratan ini tidak menjurus khusus ke mana-mana parti politik masa kini – penyirat blog)

Malam semalam dalam perjalanan dari dalam kampus saya terserempak dengan beberapa “kumpulan” yang sedang bergelut memasang bendera-bendera parti yang mengupah mereka. Ada dari parti pemerintah (sebelum hari semalam kini sudah dibubar!) dan ada juga dari parti pembangkang. Suasana malam yang kelam, pakaian mereka yang seorang pun tiada bercahaya (baju pantul cahaya) dan hanya menggunakan lampu suloh yang lebih terang kalau menggunakan api pelita.

Itulah hakikatnya “pekerja-pekerja” upahan musim pilihanraya ini. Dari semuda usia remaja atau pelajar belasan tahun hinggalah mereka yang bercicit piut. Ada yang semata-mata menaguk air yang keruh cuba menambah wang sesen dua dan ada yang semata-mata kerana fanatik dengan parti yang disokong. Ada juga yang “melabur” tenaga empat kerat dengan harapan jasa budi akan dikenang kemudian hari.

Walau apapun yang dikejar atau diihajati, mereka ini adalah “pekerja” walaupun sekadar “janji-terima” sebagai seorang pekerja sesebuah parti hanya sebutan manis di mulut tanpa sebarang kata bertulis. Apa yang pasti “majikan” mereka tidak kiralah dari mana parti politikpun mesti bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja ini.

Dalam keghairahan memasang poster, yang biasanya dilakukan di waktu malam, tiada yang ambil peduli tentang keselamatan diri. Tidak kira tiang lampu atau batang pokok, semuanya boleh dipanjat. Tidak kira bumbung bangunan atau benteng tinggi, semuanya boleh dipanjat. Tiada “harness”, tiada lampu suloh, tiada peralatan seperti tangga atau sebagainya. Semuanya ada duit boleh jadi. Ada yang berkaki ayam, ada yang tangan kosong.

Semuanya kerana duit ataupun kerana kefanatikan parti yang disokong.

Kepada “majikan-majikan” mereka yang akan menang atau akan kalah dalam pilihanraya ini, jagalah keselamatan dan kebajikan “pekerja-pekerja” anda ini.

Cerita lanjut di sini.

Tempat buangan sampah- jangan ambil mudah


Tempat buangan sampah- jangan ambil mudah

Semalam, 30 Mac 2012, akhbar melaporkan semua jenis latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara digantung susulan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak pada 12 Mac lepas dipercayai akibat jangkitan virus kencing tikus.

Sudah beberapa kali berita yang hampir sama dilaporkan dengan kesemuanya dikaitkan dengan bakteria Leptospira ini. Lokasi penyakit ini adalah tempat bersumberkan air dan menjadi tumpuan ramai seperti kawasan lipur ataupun kawasan asrama.

Seorang Pegawai Persekitaran Majlis Daerah yang kebetulan pelajar program master saya semester lepas memaklumkan, antara punca merebaknya bakteria Leptospira ini adalah dari sikap manusia sendiri yang tidak memperdulikan kebersihan persekitaran terutama membabitkan pembuangan sisa-sisa makanan. Kebanyakan penghujung di kawasan lipur dan juga penghuni asrama akan membuang sisa-sisa makanan ini di merata tempat dan bukannya di tempat yang dikhaskan. Ini akan menyebabkan atau membantu pembiakan tikus, lalat dan binatang yang boleh membawa atau menyebarkan penyakit yang lain.

Amalan kebersihan atau higen berkaitan sampah ini memerlukan kerjasama dua belah pihak iaitu pihak berkuasa tempatan dan juga pengguna sendiri. Tidak guna sekiranya pihak berkuasa tempatan menyediakan pasarana yang terbaik untuk pembuangan sisa makanan atau sampah tetapi pengguna masih tidak menggunakannya.

Antara posting lama saya dalam blog ini ialah Tong Sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa Miri dan juga pentadbir Akademik Koreksional Malaysia, Langkawi.

Di tempat kerja saya sekarang ini di dua bangunan yang baru siap dibina, terdapat dua Perumah Tong Sampah. Kedua-dua Perumah Tong Sanpah ini lengkap dengan dinding dan berbumbung. Malah ianya juga mempunyai pintu roller shutter yang membolehkannnya ditutup pada waktu malam untuk mengelakkan binatang liar menyelongkar tong sampah. Turut dilengkapi dengan punca air untuk pembersihan.

Mungkin terdapat satu kekurangan iaitu Tong Sampah tiada penutup.

Perumah Tong Sampah sebegini amat sesuai untuk kawasan lipur, asrama ataupun kawasan perumahan seperti flet dan sebagainya.

Mungkin kosnya agak tinggi. Menurut seorang rakan kontraktor, kos untuk membina sebuah Perumah Tong Sampah ini adalah sekitar RM 10 – RM 15 Ribu bergantung pada bahan yang digunakan dan tidak termasuk kos pintu roller shutter yang berharga sekitar RM 1,500.00.

Apapun pengguna perlu manfaatkan kemudahan pasarana yang telah disediakan agar kesihatan semua terjamin.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com