Monday, December 7, 2009

Palang penanda penghenti roda


Palang penanda penghenti roda

Kebetulan Jumaat lepas sewaktu di Alamanda, Putrajaya saya terpanggil untuk mengambil gambar "Parking Bar Stopper" ini di tempat letak kereta bertingkatnya. Pemilik-pemilik tempat letak kereta semestinya menyediakan peralatan tambahan keselamatan ini di setiap tempat letak kereta bertingkat terutama yang bersebelahan dinding tembok bangunan.

Di Taiping umpamanya, di tempat letak kereta berhadapan Bank HSBC turut dilengkapi palang besi penanda penghenti roda ini walaupun ianya di atas jalan dan bukannya. di atas bangunan bertingkat.

Sekurang-kurangnya pemandu kenderaan boleh mengagak "tahap akhir" di mana mereka mesti memberhentikan kenderaan masing-masing. Dengan adanya peralatan tambahan keselamatan ini, mungkin boleh mengurangkan (jika tidak boleh menghapuskan) kejadian
melanggar tembok pengadang kenderaan.

Pada masa yang sama tembok pengadang kenderaan juga perlulah dibina supaya berupaya menahan impak pelanggaran yang tertentu.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/


Struktur Bangunan Tidak Kuat Punca Kereta Terjunam

KOTA BAHARU, 7 Dis (Bernama) -- Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu Ahad.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, Isnin.

Pada kejadian pukul 5 petang Ahad, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak dapat mengawal kenderaan yang ditolak oleh seorang lelaki bagi menghidupkan enjin.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati tembok penghadang ke bangunan itu dibina dengan bata sahaja, tidak menggunakan konkrit tetulang sebagaimana lazim dilakukan ke atas bangunan-bangunan konkrit.

Katanya siasatan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda kerana dikatakan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau juga meminta seorang lelaki yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta itu yang menghilangkan diri tampil membantu polis menyiasat kes terbabit di mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lelaki itu boleh membantu siasatan kerana dia berada bersama-sama bersama pemandu wanita dan adik wanita itu yang selamat," katanya.

-- BERNAMA

No comments: