Thursday, January 15, 2009

Malaysia belum bebas tibi


Malaysia belum bebas tibi

Oleh Noor Fazrina Kamal, Utusan Malaysia, 13-Januari-2009

Adakah anda mengalami demam, hilang selera makan, batuk berpanjangan dari dua hingga tiga minggu? Jika jawapannya ia, awas kerana kemungkinan telah dijangkiti kuman tibi.

Mengikut fakta sejarah, tibi atau nama saintifiknya, tuberkulosis telah menyerang manusia sejak zaman Firaun lagi.

Lebih teruk, ia dipercayai menjadi pembunuh utama di Eropah pada kurun ke-16 dan 17 dahulu.

Artikel kesihatan kali ini bertujuan untuk mengimbas kembali kesedaran pembaca tentang bahaya kuman ini sebagai peringatan dan nasihat demi mewujudkan komuniti yang sihat sepanjang hayat.

Kalau ada suara yang pernah mengatakan bahawa Malaysia bebas daripada kuman tibi, kenyataan tersebut boleh disangkal kerana menurut Pakar Perubatan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, negara sebenarnya belum pernah bebas daripada kuman berbahaya tersebut.

“Tidak dinafikan sejak 15 tahun lalu, kes tibi berkurangan di negara ini kerana wujudnya kesedaran kesihatan serta imunisasi yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap warga Malaysia,” jelasnya.

Di Malaysia, 85 peratus kes tibi melibatkan paru-paru sementara 15 peratus lagi melibatkan tibi pada anggota badan lain.

Jelasnya, kuman tibi disebarkan melalui titisan udara setiap kali seseorang pesakit yang telah dijangkiti kuman ini bersin, batuk, bercakap dan sebagainya.

“Kuman tersebut boleh terapung di dalam udara selama beberapa minit, titisan halus dalam istilah Inggeris, respiratory droplet yang terhela di udara boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja yang terhidunya.

“Selain itu, kepadatan penduduk serta sistem pengudaraan yang tidak baik mendedahkan risiko yang lebih tinggi untuk jangkitan ini juga,” jelas beliau.

Dr. Malik berkata, salah satu cara untuk mengurangkan risiko tibi ialah tinggal dalam kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik.

“Individu yang duduk di kawasan yang padat dan tidak bersih senang dijangkiti. Mengikut perangkaan, 10 hingga 20 orang tinggal dalam satu kawasan yang padat memang berisiko untuk terkena jangkitan penyakit ini,” tambah beliau.

Bagaimanapun, orang awam yang tinggal atau bekerja berhampiran kawasan pembinaan yang dipenuhi pekerja asing tidak perlu risau kerana risiko jangkitan amat rendah.

“Ini kerana kawasan pembinaan adalah kawasan terbuka justeru kuman tidak boleh tersebar dengan mudah,” jelas beliau lagi.

Dr. Malik berkata, boleh dikatakan kebanyakan daripada kita mempunyai kuman tibi di dalam paru-paru.

Namun, kuman ini tidak bertindak disebabkan sistem imunisasi yang kuat. Sebab itulah seseorang itu disarankan menjaga kesihatan ke tahap yang optimum supaya tidak mudah dijangkiti apa jua penyakit.

“Begitupun perokok berisiko tinggi untuk menghidap tibi kerana adanya pertukaran dalam sistem imuniti mereka.

“Merokok mengurangkan tahap imuniti samalah seperti pesakit yang menghidap diabetes.

“Apabila merokok, lapisan penghalang utama di dalam paru-paru iaitu mukosa menjadi rosak dan kebarangkalian untuk dijangkiti kuman tibi adalah tinggi,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Dr. Malik berkata, tibi yang menyerang pada bahagian paru-paru tidak boleh menyebabkan kematian mengejut kecuali tibi yang dijangkiti pada bahagian otak.

“Selain itu, kondisi yang dinamakan miliary tibi di paru-paru terjadi apabila tahap imuniti amat kurang seperti yang berlaku pada pesakit HIV dan kanser.

“Pesakit ini berisiko untuk kematian mengejut dalam beberapa hari selepas dijangkiti,” tambah beliau.

Walaupun media cetak tidak pernah lupa untuk mendedahkan tentang tentang bahaya tibi, kes melibatkannya tetap dapat dikesan setiap tahun.

Untuk info saintifik, tibi sebenarnya adalah sejenis penyakit sebaran udara yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis berbentuk rod panjang.

Semua berisiko menghidapinya dan penyakit ini boleh dielak serta diubati jika mendapat rawatan yang tepat.

Rawatan bagi penyakit ini bergantung pada tahapnya. Biasanya pesakit tibi pulmonari memerlukan masa antara enam hingga sembilan bulan untuk sembuh.

Pesakit tibi bahagian lain mengambil masa yang lebih lama sehingga dua tahun untuk proses rawatan selesai.

Pengambilan ubat amatlah penting sehinggalah doktor mengesahkan pesakit telah betul-betul sembuh.

No comments: