.......... sudah terlambat untuk belajar dari kesilapan sendiri!
Budak melecur jatuh dalam gulai panas
Oleh Shariza Abdullah, Utusan Malaysia, 16-September-2008
Alor Setar 15 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun melecur hampir 50 peratus badan, selepas terjatuh ke dalam periuk berisi gulai daging dan rebung yang baru siap dimasak di kedai neneknya, di Taman Wira, Mergong di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, mangsa, Mohd. Adib Alif Mohd. Asrie melecur dari bahagian paha hingga ke dada selepas jatuh dalam keadaan terduduk ke dalam periuk selebar kira-kira 0.7 meter.
Bapa mangsa, Mohd. Asrie Azizan, 28, berkata, anak tunggalnya itu terjatuh apabila berjalan secara mengundur sebelum terlanggar periuk berkenaan ketika bermain di kedai makan itu.
Katanya, Mohd. Adib dipercayai tidak menyedari kewujudan periuk tersebut yang diletakkan di bawah dapur selepas gulai daging dan rebung selesai dimasak.
Menurutnya, lauk berkenaan adalah untuk dijual di bazar Ramadan di Jalan Putra, di sini.
"Isteri dan ibu saya hanya menyedari kejadian yang menimpa Mohd. Adib apabila mendengar dia menjerit sebelum mengeluarkannya dari periuk berkenaan.
"Kira-kira 50 peratus badan Mohd. Adib melecur tetapi dia bernasib baik kerana memakai lampin dan lengkap berpakaian ketika kejadian. Kalau tidak dia mungkin melecur lagi teruk," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Mohd. Asrie berkata, ketika kejadian beliau berada di dalam rumah mereka yang terletak tidak jauh dari kedai berkenaan sementara isterinya, Ana Malesk, 20, membantu ibunya, Azizah Hassan, 48, memasak bersama dua lagi pembantu.
Sejurus memberikan bantuan dengan melumurkan kicap di bahagian badan Mohd. Adib yang melecur, ibunya kemudian membawa anaknya itu ke HSB bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, Mohd. Adib ditahan di wad HSB untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
No comments:
Post a Comment