Budak melecur tersimbah air rebusan jagung
Harian Metro, 20-Jan-09
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun hanya mampu meraung menahan kesakitan hampir satu jam selepas tersimbah air panas dari periuk rebusan jagung manis di sebuah pasar raya di sini malam tadi.
Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku apabila meja yang menempatkan periuk rebusan jagung manis itu terlipat secara tiba-tiba menyebabkan periuk itu tumpah dan air rebusan terkena Danish Muqri Jazman.
Lebih malang apabila dua jurujual jagung manis terbabit langsung tidak menyedari kejadian itu biarpun berlaku di hadapan mereka dan berkelakuan seperti biasa, malah membersihkan sisa air yang tertumpah.
Bapa mangsa, Jazman Jalal, 28, ketika ditemui wartawan Harian Metro kesal terhadap apa yang berlaku.
“Kejadian berlaku begitu pantas. Ketika itu saya hendak membayar harga minuman dan terkejut apabila mendapati meja yang menempatkan periuk panas itu terlipat secara tiba-tiba.
“Periuk yang berada atas meja itu terbalik menyebabkan air panas terus menyimbah tubuh Danish menyebabkannya meraung kesakitan,” katanya.
Jazman segera membuka baju anaknya dan mengelap badan kanak-kanak itu yang kemerahan dan bergegas ke farmasi berhampiran untuk membeli ubat sebagai rawatan awal.
Dia mendakwa dua jurujual wanita terbabit langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku dan tidak menghulurkan bantuan kepada anaknya yang melecur di muka dan tangan kanan.
“Pengawal keselamatan pasar raya terbabit kemudian menghubungi ambulans sebelum dibawa ke Hospital Selayang dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kepong.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan.
“Setakat ini, kes ini diklasifikasikan sebagai kemalangan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
No comments:
Post a Comment