Tuesday, April 30, 2013

URGENT VACANCY – SAFETY & HEALTH EXE in SHAH ALAM VEHICLE ASSEMBLY PLANT


URGENT VACANCY – SAFETY & HEALTH EXE. in SHAH ALAM VEHICLE ASSEMBLY PLANT

Diperlukan segera SAFETY & HEALTH EXECUTIVE (lelaki) di sebuah kilang pemasangan kenderaan di Shah Alam. Fresh graduate digalakan memohon dan tidak dimestikan memiliki Green Book DOSH.

Emailkan resume ke; norazizahmohamed@gmail.com

*Hendak tahu lebih lanjut kilang apa boleh hubungi saya :-)

Bayangan maut pada kren pengangkat


Bayangan maut pada kren pengangkat

Semasa mengemaskini file-file dalam folder hard disk, saya terjumpa gambar papan tanda yang dibuat semasa saya bekerja di kilang tayar di Kamunting yang saya tinggalkan 10 tahun yang lalu. Tidak pasti sama ada papan tanda tersebut masih ada ataupun telah diperbarui jika telah rosak.

Posting berkaitan sebelum ini di sini dan di sini.


Bayangan maut di mana-mana

Bayangan maut di mana-mana

Posting ini susulan posting sebelum ini di sini.

Car lifter ada pelbagai jenis yang terdiri dari 4 tiang penaik, 2 tiang penaik, 1 tiang penaik ataupun scissor type. Kalau merujuk manual mana-mana pengeluar car lifter ini adalah jelas menyatakan kenderaan tidak boleh dibiarkan di atas car lifter dengan keadaan terangkat dari paras lantai kecuali smasa tujuan pemeriksaan atau pembaikan/penyenggaraan.

Bagaimanapun boleh dikatakan ramai penguasa atau mekanik kenderaan ini membiarkan kenderaan berada di atas car lifter walaupun bukan bertujuan untuk pemeriksaan dan penyenggaraan.  Malah ramai di antara mereka membiarkannya semalaman.

Saya pernah bertanya kepada beberapa penguasa bengkel dan mekanik yang membiarkan kenderaan di atas car lifter semalaman. Jawab mereka mudah sahaja; semua orang buat macam itu! Sebenarnya gambar yang tertera dalam catalog penjualan car lifter ini untuk menunjukkan bagaimana car lifter itu berfungsi tetapi dalam manual pengeluar dengan menjelas menyatakan  kenderaan tidak boleh dibiarkan di atas car lifter dengan keadaan terangkat dari paras lantai kecuali smasa tujuan pemeriksaan atau pembaikan/penyenggaraan.

Gambar di bawah saya rakam-curi di sebuah bengkel membaiki kenderaan yang saya pasti kereta di atas car lifter dibiarkan lebih dari 24 jam.



Monday, April 29, 2013

Satay vs KFC/McD


Satay vs KFC/McD

Ada yang kata satay tidak boleh dikomersialkan seperti KFC atau McD kerana ia makanan berkuah dan sukar dibawa bergerak!

Peniaga satay di Pasar Karat Rope Walk Penang menunjukkan kekreatifan dan keinovasinya dengan menjual satay yang dibubuh dalam bekas minuman seperti gambar di atas.

Sememangnya sudah ada satay yang dipacking seperti ini di Bukit Bintang dan juga semasa dijual sempena F1 dan MotoGP di Sepang.

Mungkin lebih kemas dan higen jika ada pemisah (separator) kuah yang bertutup di dalam bekas ini dan ada penutup (mungkin plastic pembalut/wrapper) yang boleh menutup (membungkus lidi pemegang) untuk mengelakkan satay, kuah dan timun/bawang terdedah. KFC dan McD digemari bukan sahaja ianya makanan segera tapi juga kerana kekemasan dan higennya.

Pasti ramai pelanggan pengemar satay sanggup membayar lebihan kos untuk kekemasan dan higen ini.

DOSH Kedah OSH Seminar 11 May 2013 CEP Points + HRDF 100% Claimable

Manusia semakin malas


Manusia semakin malas

Senario 1

Penjualan makanan segera McDonald secara “drive through” dan juga penghantaran menambahkan lagi pendapatan syarikat ini. Perkhidmatan mudah ini meningkat dengan sikap pelanggan sendiri yang cuba mengelakkan kesesakan trafik dan parking.

Adakah selepas ini di Malaysia, pengguna ATM juga boleh menikmati perkhidmatan “drive through” ini? Saya pernah dimaklumkan perkhidmatan ATM Drive Through ini sudah ada di KL tetapi saya belum pernah melihatnya sendiri.



Senario 2

Papan tanda di atas dipasang di kawasan sebuah rumah bersebelahan gerai Roti Canai Highway Corner di Sungai Dua. Kalau saya dalam perjalanan berulangalik Taiping-Sintok terutama dengan motosikal, gerai ini adalah pilihan saya untuk bersarapan di awal pagi kerana kedudukannya di tepi lebuhtaya sebelum Tol Sungai Dua.

Tidak dinafikan kenderaan pelanggan yang ramai di gerai ini kadang-kala menghalang laluan ke rumah bersebelahan yang memasang papan tanda ini. Saya pasti pemilik atau tuan rumah ini sudah tidak tahan gelagat pelanggan yang ambil mudah meletakkan kenderaan mereka supaya sehampir mungkin dengan gerai roti canai ini.

Senario 3

Bulan lepas saya bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan Kulim Hi-Tech. Kami merancang untuk mengadakan Kejohanan Lumba Motosikal Petronas Cub Prix di laluan berhadapan  bangunan pihak berkuasa tempatan Kulim Hi-Tech ini.

Pihak berkuasa di sana mengalu-alukan tujuan kami bagaimanapun berdasarkan pengalaman mereka dengan pengunjung-pengunjung acara sebelum ini yang sewenang-wenang meletakkan kenderaan masing-masing sehinggakan ada yang menghalang laluan pekerja dan kenderaan berat keluar-masuk kilang, menyebabkan Kejohanan Lumba Motosikal Petronas Cub Prix tidak dapat diadakan di sana.

Teladan dan sempadan dari tiga senario ini.

Adakah manusia semakin malas? Di antara punca-punca kemalangan (sama ada di dalam kilang ataupun di jalan raya) yang dikenalpasti ialah mangsa mengambil jalan pintas (short-cut). Adakah pengambilan jalan pintas ini disebabkan rasa malas selain dengan alas an untuk cepat dan menjimatkan masa?

Saya berharap anda ada jawapannya.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Sunday, April 28, 2013

Laluan motosikal yang merbahaya


Laluan motosikal yang merbahaya 

Video di atas adalah hasil rakaman seorang pengguna laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan. Tidak hairanlah ramai pengguna superbike mengambil risiko menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan ini. 

Bermula dari awal tahun ini saya kerap berulang-alik Taiping Sintok menggunakan motosikal kadang-kala berselangseli dengan kereta. Boleh dikatakan laluan motosikal di Tol Jitra (Tol Terbuka) sahaja yang selesa dan agak luas untuk dilalui oleh superbike. Laluan masuk Tol Taiping Utara (Kamunting) paling mendukacitakan. Laluannya bukan sahaja sempit tertapi berbonggol-bonggol dan banyak pasir. 

Di tahun ini saya sudah dua kali mengemukakan aduan kepada petugas di Rumah Tol Taiping Utara tersebut. Namun masih tiada sebarang penambahbaikan. 

Adakah penunggang motosikal diabaikan kebajikannya di atas lebuhraya kerana mereka ini tidak membayar tol? Perlu diingatkan walaupun kami tidak membayar tol tetapi kami adalah juga pembayar cukai jalan. Malah cukai jalan motosikal kami lebih tinggi dari kereta yang sama kapasitinya.

lukmanw@gmail.com 
http://oshthejourney.blogspot.com/

Tuesday, April 23, 2013

Penutup lubang (manholes) di Jepun


Penutup lubang (manholes) di Jepun

Sekiranya terlibat dalam pengajaran atau perbincangan berkaitan corrective action dan preventive action, saya amat gemar menggunakan kajian kes berkaitan penutup longkang ataupun penutup lubang (lurang?) atau manholes ini. Ketidaktelitian membuat keputusan untuk mengatasi kehilangan penutup lubang ini (akibat dicuri?) akan menyebabkan hazard dan risiko yang lain. Antaranya ialah masalah dengi seperti mana posting saya sebelum ini. Boleh dirujuk di sini.

Saya menerima email dari seorang kenalan yang memuatkan gambar-gambar penutup lubang di beberapa buah bandaraya di Jepun seperti gambar di atas.

Menarik sekali kekreatifan mereka yang membuat mural atau grafik pada penutup lubang cast-iron ini.

Apa yang boleh saya komen atau bimbangi sebenarnya ialah kalau sebelum ini penutup lubang yang seberat 35kg (paling kecil) sehinggalah 150kg (paling besar) ini dicuri oleh penagih-penagih dadah, penutup lubang bermural dan bergrafik ini pula akan dicuri oleh orang biasa yang berhasrat untuk menyimpannya sebagai cenderahati.

Sebenarnya ada penyelesaian kepada mereka yang mempunyai hobi menyimpan barangan cenderahati ini. Pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap penutup lubang Ini boleh mencontohi pihak hotel yang kini kebanyakannya bersedia untuk menjual sebarang kelengkapan di dalam bilik hotel jika ada tetamu yang ingin memilikinya sebagai cenderahati.

Corrective action adalah bertujuan untuk pembetulan dan mesti dilakukan serta-merta. Manakala Preventive action adalah bertujuan untuk pencegahan dari berlakunya semula (kejadian atau kemalangan) dan mestilah dilaksanakan dengan kajian yang teliti.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Friday, April 19, 2013

Politik dengan OSH


Politik dengan OSH

Ada kenalan sesama pengamal OSH (practitioner) yang tidak suka (marah-marah?) jika isu politik “disemarakkan” dalam  atau semasa membincangkan OSH.  Ada juga kebenarannya sama ada secara lamgsung atau tidak secara langsung.

Sebagai seorang pengamal OSH, saya berkeyakinan sebarang pekerjaan (occupational – measang bendera, dll) yang membabitkan dengan politik perlulah mengikut OSH. Isu-isu yang digunakan semasa berkempen mungkin tiada berkaitan dengan OSH. Malah saya setakat ini tidak pernah terdengar mana-mana parti politik yang memperjuangkan isu-isu OSH sama ada dalam manifesto ataupun sebagainya. Tertunggu-tunggu juga manifesto atau janji-janji dari mana-mana parti poltik seperti menghapuskan (setidak-tidaknya mengurangkan lagi) cukai peralatan PPE, peralatan keselamatan menunggang (helmet, glove, riding suit dan lain-lain), insentif dan/atau potongan cukai kepada organisasi yang memasang dan mengadakan peralatan keselamatan, dan sebagainya. Ataupun perlu tunggu sehingga ada pengamal OSH yang turut bertanding dalam PRU!

Minggu lepas saya membuat posting berkaitan keselamatan yang perlu diambilkira semasa memasang bendera dan sepanduk. Malah posting ini acapkali saya ulang semenjak PRU12 pada tahun 2008 lagi.

Terbaru, seorang kenalan saya yang juga aktivis politik telah membuat posting dalam blognya berkaitan dengan pemasang-pemasang bendera sebuah politik yang berpakaian lengkap dengan vest keselamatan semasa memasang bendera seperti di dalam gambar di atas.

Syabas saya ucapkan kepada mereka ini. Masih ada “room for improvement” untuk kerja-kerja di waktu malam ini. Saya tidak nampak segitiga keselamatan dipasang ataupun lampu keselamatan (ala pedang starwars) digunakan dalam gambar itu. Selain alat perlindungan peribadi pada tubuh badan pekerja, alat perlindungan lain (alatan amaran kepada pengguna jalan raya lain) dan sebagainya juga perlu.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Thursday, April 18, 2013

Q&A 1 SHO - Penilaian Prestasi Seorang SHO


Q&A SHO 1 - Penilaian Prestasi Seorang SHO

Semalam saya dikunjungi sekumpulan pelajar universiti yang sedang menyiapkan tugasan kertas projek tahun akhir mereka. Saya telah dikenalpasti (melalui seorang kenalan) sebagai correspondence atau kajian kes dalam tugasan ini. Tajuk tugasan ialah Penilaian Prestasi Seorang SHO.

Saya diberi soalan bertulis sebanyak 20 soalan dan beberapa soalan tambahan lagi semasa temubual. Saya ingin berkongsi jawapan yang telah saya berikan. Bagaimanapun jawapan ini adalah semata-mata dari pandangan peribadi saya. Saya amatlah berbesar hati jika ada SHO lain yang ingin berkongsi sama ada tambahan maklumat, pandangan ataupun pembetulan (jika ada) terhadap jawapa-jawapan yang telah saya berikan tersebut.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/


Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety & Health Officer)
Kajian kes: En. Lukman Bin Wan Mat Daud

1. Ceritakan tentang latarbelakang anda?
2. Apakah KSAOs yang diperlukan dalam tugas SHO?
3. Bagi menjawat jawatan sebagai SHO, adakah memerlukan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan?
4. Apakah personaliti yang perlu ada pada seorang SHO?
5. Bagaimana prestasi SHO dinilai?
6. Apakah prosedur yang harus dilalui untuk menjadi seorang SHO?
7. Apakah kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang bagi memegang jawatan SHO?
8. Apakah skop pekerjaan yang terdapat dalam bidang pekerjaan ini.
9. Apakah kepentingan SHO dalam sesebuah organisasi?
10. Apakah peranan dan tanggungjawab anda sebagai SHO?
11. Apakah pengalaman pahit dan manis anda sepanjang bergelar sebagai SHO?
12. Apakah jenis peralatan yang biasa digunakan semasa mengendalikan tugas?
13. Apakah aktiviti yang sering dijalankan oleh SHO?
14. Apakah kemalangan yang pernah dihadapi semasa menjalankan tugas dan bagaimana cara anda mengatasi?
15. Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang SHO yang baik/Berjaya?
16. Apakah SWOT dalam jawatan ini?
17. Apakah program latihan yang biasa dianjurkan untuk pekerja bawahan?
18. Industri manakah yang memerlukan SHO?
19. Apakah jenis-jenis SHO?
20. Apa pendapat anda tentang keberkesanan penilaian prestasi dalam jawatan SHO?

Jawapan:

(1) Ceritakan tentang latarbelakang anda?

Saya berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari USM dan Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri dari UKM. Saya memiliki kelayakan sebagai SHO berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). Kelayakan lain seperti dalam biodata saya (Lampiran 1).

Saya berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri perkilangan dalam pelbagai jabatan seperti Kejuruteraan, Jaminan Kualiti dan Sumber Manusia. Pengkhususan saya dalam bidang OSH.

(2) Apakah KSAOs yang diperlukan dalam tugas SHO?

Knowledge – seorang SHO perlu arif dengan perundangan khusus berkaitan OSH (OSHA 1994 dan FMA 1967) serta perundangan lain berkaitan (Contoh; Akta Kualiti Persekitaran, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, dll.). Pengetahuan lain bergantung kepada latar-belakang pendidikan seperti kejuruteraan, perlu arif dengan sifat-sifat jentera; jika berlatar-belakang sumber manusia, perlu arif dengan perkara berkaitan pengurusan sumber manusia. Pada masa yang sama perlu mendalami pelbagai bidang yang berkaitan OSH seperti persekitaran alam sekitar, bahaya kebakaran, radioaktif dan sebagainya.

Skills – kemahiran asas diperlukan ialah kemahiran berurusan dengan manusia (1. Man), jentera (2. Machine), bahan (3. Bahan), tata amalan (4. Method, contoh prosedur), dan persekitaran (5. Medium, contoh perundangan).

Ability – keupayaan asas diperlukan keupayaan fizikal (tanpa menjurus ketidaksamaan jantina atau OKU) dan boleh rujuk Lampiran 2 - iklan pekerjaan EHS Manager (physical requirements)

Others – biasa dengan system pengurusan (ISO) berkaitan OSH dan Persekitaran, mahir membuat laporan dan sebagainya.

(3) Bagi menjawat jawatan sebagai SHO, adakah memerlukan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan?

Ya, seseorang yang hendak mendaftar sebagai SHO yang bertauliah (rujuk jawapan soalan 6) memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman dalam OSH.

(4) Apakah personaliti yang perlu ada pada seorang SHO?

Rujuk Lampiran 2 – iklan pekerjaan EHS Manager (Required skills).

(5) Bagaimana prestasi SHO dinilai?

Sebelum OSHA 1994 diwajibkan, kebanyakan organisasi menilai prestasi SHO berdasarkan aktiviti pasif (passive or re-active) iaitu diambil-kira pencapaian Kadar Kemalangan (Accident Rate), Kadar Kematian (Fatality Rate) dan Kadar Kehilangan Hari Kerja (Lost Work Day Rate). Aktiviti pasif ini lebih kepada pembaikan (corrective).

Sekarang ini kebanyakan organisasi mengukur prestasikan berdasarkan aktiviti aktif (actve or pro-active) iaitu diambil-kira Kadar Pematuhan Perundangan dan Kadar Penurutan Sistem (Legislation Compliance Rate and System Conformance Rate), Kadar Latihan, Pemeriksaan dan Audit, dan sebagainya. Aktiviti aktif lebih kepada pencegahan.

(6) Apakah prosedur yang harus dilalui untuk menjadi seorang SHO?

Seseorang itu perlu mnghadiri dan lulus peperiksaan kursus (4 modul) di mana-mana pusat latihan yang diiktiraf oleh JKKP. Setelah lulus perlu mendaftar dengan JKKP dan mestilah berpengalaman sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman berkaitan OSH.

(7) Apakah kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang bagi memegang jawatan SHO?

Kelayakan akademik (sehingga kini) ialah sekurang-kurangnya memiliki SPM dan kelayakan lain seperti jawapan Soalan 6.

(8) Apakah skop pekerjaan yang terdapat dalam bidang pekerjaan ini.

Malaysia ke arah mencontohi Negara maju yang lain yang memperkenalkan skop yang luas dalam bidang OSH bermula dari jawatan Penolong Pegawai sehinggalah ke peringkat Presiden. Bagaimanapun mengikut keperluan perundangan (OSHA 1994) hanya ada jawatan SHO dan industri tertentu perlu mengajikan SHO, rujuk Lampiran 3 (SHO Order).

(9) Apakah kepentingan jawatan SHO dalam sesebuah organisasi?

Organisasi multi nasional mengganggap kepentingan jawatan SHO setaraf dengan pengurusan tertinggi yang lain. Kepentingan ini diterjemahkan dengan hirarki SHO yang dalam gred gaji pengurusan tertinggi dan ada yang melapor terus kepada CEO.

(10) Apakah peranan dan tanggungjawab anda sebagai SHO?

Tugas utama SHO ialah sebagai penasihat OSH kepada majikan. Peranan dan tanggungjawab lain mengikut perundangan boleh rujuk Lampiran 4 (SHO Regulatios).

(11) Apakah pengalaman pahit dan manis anda sepanjang bergelar sebagai SHO?

Pengalaman pahit ialah berhadapan kejadian-kejadian kemalangan yang melibatkan pekerja maut dan kecacatan kekal (kehilangan anggota badan). Pengalaman manis ialah berjaya membawa beberapa organisasi yang saya sertai ke peringkat akhir pertandingan industri terbaik dalam amalan OSH di tempat kerja.

(12) Apakah jenis peralatan yang biasa digunakan semasa mengendalikan tugas?

Bergantung kepada kategori industri, kalau di industri berat (heavy industry) peralatan wajib ialah topi keselamatan dan kasut keselamatan.

(13) Apakah aktiviti yang sering dijalankan oleh SHO?

Mengikut perundangan, aktiviti wajib ialah mempromosikan OSH seperti mengadakan latihan, kempen dan sebagainya di samping HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control), pemeriksaan OSH dan penyiasatan kemalangan jika ada

(14) Apakah kemalangan yang pernah dihadapi semasa menjalankan tugas dan bagaimana cara anda mengatasi?

Kemalangan maut dan kecacatan kekal. Untuk mengelakkan berlaku lagi, perlu dipergiatkan aktiviti seperti jawapan soalan 13.

(15) Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang SHO yang baik/berjaya?

KSAOs seperti jawapan soalan 2.

(16) Apakah SWOT anda dalam jawatan ini?

Strength – kekuatan saya adalah latar belakang saya dari kejuruteraan

Weakness – kelemahan saya mudah rasa bersalah (accountability) jika berlaku kemalangan terutama yang melibatkan kematian dan kecederaan kekal.

Opportunity – peluang yang ada ialah mengambil kira weakness sebagai keazaman dan keutamaan ke arah pengamalan OSH yang lebih berkesan di tempat kerja.

Threat – ancaman utama ialah pekerja lama (berpengalaman) tapi mengambil mudah terhadap amalan OSH terutama mereka yang bernasib baik sebelum ini tidak pernah berkemalangan.

(17) Apakah program latihan yang biasa dianjurkan untuk pekerja bawahan?

Bermula dengan orientasi semasa baru masuk bekerja, induksi dan membiasakan diri dengan jentera (machinery familiarization) dan ulangan (refreshing).

(18) Industri manakah yang memerlukan SHO?

Hanya 10 industri mengikut perundangan rujuk Lampiran 3 (SHO Order).

(19) Apakah jenis-jenis SHO?

Setakat ini mengikut perundangan hanya ada satu kategori SHO. JKKP dalam perancangan mengadakan SHO Grade 1 (SHO berijazah) dan SHO Grade 2 (SHO tanpa ijazah).

(20) Apa pendapat anda tentang keberkesanan penilaian prestasi dalam jawatan SHO?

Penilaian prestasi perlu memberi keutamaan kepada aktiviti aktif iaitu kea rah pencegahan. Bagaimanapun rekod (laporan) aktiviti pasif juga diperlukan sebagai kajian kes, analisa trend dan sebagainya. Rujuk jawapan soalan 5 untuk keterangan aktiviti aktif dan pasif.

Akhir sekali boleh rujuk posting-posting lama berkaitan kepentingan SHO dan OSH dalam organisasi dalam bloh http://oshthejourney.blogspot.com/

Nota tambahan 19 Apr 2013 9.45pm

Saya menerima beberapa pandangan dari beberapa orang pengamal OSH berkaitan posting di atas termasuklah dari guru OSH saya sendiri, Ir Daud Sulaiman.

Saya sertakan 2 dari pandangan-pandangan tersebut. Pandangan lain lebih berbentuk umum. Manakala lampiran-lampiran yang disebut dalam posting di atas boleh dirujuk di link ini.

Pandangan 1

Salam semua,

Bagi soalan no. 2, seharusnya ditambah perkara-perkara yang disebut dalam soalan no. 13.

Skills and Abilities: Melaksanakan HIRARC, JHA, SOP, Accident Investigation, Workplace inspection.

Termasuklah kerja HR : mendamaikan perbalahan antara majikan dan pekerja dan komplen2 daripada berbagai sumber.

Itu saja. Sekian.

Ir Daud Sulaiman
daudsulaiman@gmail.com

Pandangan 2

Kebanyakan pendekatan pengurusan, SWOT sudah di "improvise" kepada SWOC .... Threat lebih kepada negative approach berbanding dengan C = Challenges...

Skill tambahan = marketer, problem solver and analytical skills

Pendapat saya....

Wassalam, thanks & regards

Aliasman Morshidi
http://aliasmanshepro.blogspot.com/

Salah pergertian kasih sayang atau kecuaian ibubapa?



Salah pergertian kasih sayang atau kecuaian ibubapa?

Gambar di atas saya rakam curi melalui telefon bimbit di Tingkat 3, Wad Pesakit Hospital Melaka pada hari Isnin lepas 15 April sekitar jam 2 petang. Seorang Ibu (bersama ayah) membenarkan anak kecilnya duduk berjuntai keluar di atas tembok koridor di paras tingat 3! Siibu hanya memaut pinggang anak kecil ini dengan sebelah tangan sahaja.

(Saya menziarahi ayah saya yang dimasukkan ke Wad Pesakit Hospital Melaka)

Sudah acapkali saya menulis (atau bercakap jika ada peluang seminar dan kursus) ketidaksesuaian membawa anak kecil ke hospital (untuk tujuan ziarahi pesakit) di atas risiko berjangkit. Apatah lagi membawa anak kecil dan mendedahkan pula kepada risiko hazard fizikal seperti di dalam gambar di atas

Tiada apa yang mampu saya ulas lanjut cuma tertanya-tanya berapa orangkah (ibubapa dan penjaga) yang telah didakwa dan dijatuhkan hukuman mengikut Akta kanak-kanak 2001 Seksyen 31.

Akta kanak-kanak 2001 Seksyen 31 menyebut  sebarang perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi adalah suatu kesalahan dan jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Keratan akhar di bawah adalah berkaitan.

http://oshthejourney.blogspot.com/



Utusan Malaysia
ARKIB : 16/10/2007

Ibu bapa cuai - Perlukah mereka didakwa?

Anak adalah anugerah dan amanah Allah kepada pasangan yang berkahwin. Mereka adalah pengikat kasih sayang dan penyeri rumah tangga. Firman Allah: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari dari kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri) dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu, anak-anak dan cucu cicit... (an-Nahl: 72)

Bagaimanapun, kematian Mas Sarimah Zulkifli, 17 bulan, akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah kedai Jalan Gadek, Off Jalan San Pen, Kuala Lumpur, 8 Oktober lalu amat menyedihkan.

Sekaligus ia membawa kepada persoalan tentang Akta Kanak-kanak 2001. Persoalannya, adakah ibu bapa wajar dikenakan tindakan di atas kecuaian mereka terhadap anak-anak.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto Mohd. Noor Amin menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Noor Aziah Awal bagi memperincikan isu ini.

MEGA: Bagaimanakah Akta Kanak-kanak 2001 mampu melindungi golongan tersebut?

NOOR AZIAH: Mukadimah Akta ini menggariskan hasrat mempertahankan hak kanak-kanak dengan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan mereka. Mukadimah ini sangat selari dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989. Malaysia telah meratifikasi Konvensyen ini dan ia menjadi sebagai sebahagian dari perundangan kita dengan beberapa reservasi.

Perlindungan kanak-kanak dari kecederaan, penganiayaan, pengabaian dan kecuaian telah lama wujud di Malaysia walaupun tidak dalam satu dokumen khas.

Apabila kes-kes penganiayaan kanak-kanak semakin meningkat terutama apabila B. Balasundram yang berumur 26 bulan mati pada 15 Mei 1990. Rentetan daripada kes kanak-kanak malang itu yang didapati dicederakan secara fizikal dan seksual oleh bapanya dan kita meluluskan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta ini dimansuhkan dan peruntukannya dimasukan ke dalam Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta kanak-kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (seksyen 31).

Seterusnya ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak dianggap cuai terhadap tanggungjawab ini jika dia gagal mengadakan makanan, pakaian, perubatan, pergigian, tempat tinggal dan jagaan untuk anak atau anak-anaknya iaitu seksyen 31(4).

Apakah definisi kecuaian sehingga ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini?

NOOR AZIAH: Cuai pula boleh berlaku apabila seseorang sengaja membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu (an act or omission).

Ibu bapa boleh dianggap cuai seperti meninggalkan anak dalam kereta semasa keluar membeli barang atau tidak memegang tangan anak semasa berjalan dengannya di jalan raya atau semasa membeli-belah.

Ibu bapa juga cuai jika meninggalkan kanak-kanak di rumah seorang diri atau sesama mereka tanpa diawasi orang dewasa. Kecuaian ibu bapa atau penjaga boleh dilihat daripada sikap dan cara mereka bertindak. Dalam masyarakat kita, perbuatan cuai berleluasa kerana tiada tindakan terhadap ibu bapa yang cuai.

Meninggalkan anak-anak dalam rumah dan menguncinya dari luar adalah suatu kesalahan terutama apabila anak-anak tidak diawasi oleh seorang dewasa.

Apabila berlaku tragedi seperti kebakaran, kita secara spontan bersimpati dan menghulur bantuan tanpa berpaling sekejap melihat sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Kita akan mengatakan ‘takdir’ dan pasrah dengan kehendak Allah.

Ada ibu bapa yang membiar anak-anak berumur 7 hingga 9 tahun pulang sendiri ke rumah selepas sekolah kerana mereka bekerja. Di rumah mereka membuka pintu sendiri, menukar pakaian, memanaskan makanan sendiri dan kemudian makan sendiri.

Malang tidak berbau. Jika berlaku kemalangan di rumah ketika itu, kita sekali lagi mengucap takziah dan menghulur bantuan. Tiada siapa akan didakwa dan dipersalahkan.

Persoalannya, sampai bila kita akan terus menerus membiarkan ibu bapa yang cuai ini terlepas begitu sahaja? Kejamkah jika mereka kita dakwa? Di mana nilai dan kepentingan kita letakkan - pada anak atau ibu bapanya.

Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Di manakah silapnya sehingga kes-kes ibu tunggal yang terpaksa bekerja menyara anak ini seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya?

NOOR AZIAH: Kalau yang terlibat itu ibu tunggal perkara pokok yang mesti diselesaikan ialah isu nafkah. Sebab itu kerajaan perlu serius menangani isu ini.

Kajian saya mendapati dalam banyak kes, bekas suami enggan membayar nafkah kepada anak-anak yang di bawah jagaan bekas isteri. Wanita pula kebanyakannya mahu hak penjagaan anak-anak walaupun mereka tidak bekerja.

Ini menyebabkan berlakunya kes ibu yang terpaksa bekerja bagi mencari sesuap nasi. Keadaan ini ibarat ditelan mati emak diluah mati bapa.

Lebih-lebih lagi jika pasangan yang bercerai itu mempunyai anak yang ramai dan masih kecil. Ibunya pula tidak bekerja. Sudah pasti mereka akan melalui kepayahan hidup.

Di sinilah, pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal perlu bertindak. Malangnya, ada kes di mana ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara dua hingga 10 tahun itu dapat bantuan RM300 sebulan dari JKM. Namun dia tidak layak pula mendapat bantuan Baitulmal. Alasannya kerana sudah ada orang yang menanggung.

Namun, cuba kita perhalusi, cukupkah belanja RM300 sebulan untuk menampung empat beranak ini pada zaman sekarang yang harga barang semuanya naik.

Memanglah kerajaan kita bukan kerajaan kebajikan tetapi dalam memberi bantuan biarlah kadarnya berpatutan. Bagi kes tadi, apa salahnya Baitulmal memberi tambahan RM300 lagi kepada ibu tunggal berkenaan. Saya lihat kita perlu kurangkan birokrasi.

Dengan jumlah RM600 itu, sekurang-kurangnya cukuplah untuk menampung makan, minum dan pakaian anak-anak.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh menggunakan khidmat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk mendaftar jumlah ibu tunggal di kawasan masing-masing. Kumpulkan data yang berkaitan termasuk bilangan anak yang tercicir daripada sekolah, yang miskin dan sebagainya.

Selepas itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga misalnya boleh menyusun strategi membantu golongan berkenaan. Jika tidak, masalah ini akan berlarutan.

Sering berlaku, jiran enggan melapor kepada pihak berkuasa apabila terjadi kes penderaan atau penganiayaan kanak-kanak. Sebabnya tidak mahu menjaga tepi kain orang. Adakah tindakan ini betul?

NOOR AZIAH: Ini berlaku sebab kita masih terpengaruh dengan budaya Barat yang pernah menjajah kita. Sekarang pun, kita masih terus menonton filem-filem Barat dan ini secara tidak langsung membuat kita menerima budaya Barat sebagai cara hidup kita.

Saya teringat konsep di Negeri Sembilan iaitu beranak seorang tetapi jaga beramai-ramai. Konsep yang diamalkan zaman dahulu ini memberi kebaikan di mana jiran-jiran turut membantu menegur jika anak-anak kita membuat silap.

Namun, kini masyarakat berubah. Kita semakin individualistik. Kalau ada orang menegur atau memberitahu kesilapan anak kita, ada ibu bapa yang melenting dan marah.

Budaya jaga tepi kain ini sebenarnya perlu dalam masyarakat. Dalam Islam misalnya, jika seorang isteri menuntut taklik kerana ditinggalkan suami tanpa nafkah selama empat bulan berturut-turut maka mahkamah akan memanggil saksi untuk mengesahkannya.

Tanpa sikap ambil tahu ini, sudah pasti sukar untuk mahkamah  memutuskan permohonan tersebut. Begitu juga jika berlaku kes dera anak atau dera isteri. Jiran-jiran yang prihatin dan yang disebut menjaga tepi kain orang’ inilah yang dapat membantu dengan menjadi saksi perbuatan tersebut.

Setakat ini belum ada tindakan diambil kepada ibu bapa. Adakah ini disebabkan tidak ada peruntukan undang-undang?

NOOR AZIAH: Perundangan kita telah ada dan mencukupi. Cuma yang belum berlaku secara sistematik ialah penguatkuasaan. Kita ada mengambil tindakan dalam kes yang jelas wujud penganiayaan fizikal seperti dalam kes terbaru seorang ibu dan kekasihnya yang didakwa kerana menyebabkan kematian anaknya.

Bagi kes cuai dan abai ini kita masih teragak-agak mengambil tindakan. Namun undang-undang tidak memilih siapa yang akan dikenakan tindakan. Jika sahih ibu bapa cuai, abai atau aniaya, mereka juga patut dikenakan tindakan.

Friday, April 12, 2013

Thursday, April 11, 2013

Bendera parti dan sepanduk sudah tidak relevan



Bendera parti dan sepanduk sudah tidak relevan

Perkembangan teknologi dalam media massa hampir menyebabkan sistem konvensional pos dan akhbar ketinggalan dengan persaing mereka iaitu email dan media sosial. Bagaimanapun sistem konvensional pos masih diperlukan terutama untuk penghantaran barangan. Begitu juga sistem konvensional akhbar bagi tujuan laporan berita di kawasan yang tidak mendapat liputan internet.

(Seorang kenalan lama wartawan akhbar secara berseloroh memberitahu saya kelebihan akhbar konvensional ini ialah mampu digunakan sebagai pembungkus nasi lemak jika selesai dibaca berbanding dengan media massa (facebook atau blog) yang tidak boleh digunakan sebagai kertas pembalut!)

Adakah bendera parti dan sepanduk masih televan atau sudah tidak relevan lagi?

Metro hari ini (11 Apr 2013) melaporkan seorang pemuda di Mersing, Johor mati tertusuk buluh bendera parti politik. Akhbar (tahun 2012) juga pernah melaporkan dua orang pemuda di Tanah Merah, Kelantan maut terkena kejatan elektrik semasa memasang bendera di papan tanda elektrik milik TNB.

Ahad lepas semasa dalam perjalanan balik dari Taiping ke Sintok, semasa di Alor Setar Selatan, saya mengekori sebuah lori kecil yang mulanya saya menyangka lori ini membawa muatan tebu. Oleh kerana saya menunggang motosikal, saya dapat menghampiri bahagian belakang lori ini dan mendapati muatan yang dibawanya ialah batang buluh. Saya pasti batang-batang buluh bakal digunakan untuk memasang bendera parti politik yang akan bertanding dalam PRU13 ini. Saya menganggarkan mungkin mencecah ribuan batang buluh dan pastinya ribuan bendera parti danjuga sepanduk akan dipasang ke batang-batang buluh ini.

Demi keselamatan baik kepada pemasang bendera, keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya termasuklah dari segi kebersihan dan landskap, alternatif lain perlu difikirkan untuk menggantikan bendera parti dan sepanduk ini.

Secara kasar saya ingin mencadangkan agar dipertingkatklan dan dibanyakan media hardcopy yang lain seperti pamphlet, flyer (dari rumah ke rumah), alattulis (pen, pensil dan sebagainya), pakaian (baju dan topi) di samping penggunaan meluas dalam alam siber (facebook, twitter, blog dan lain-lain). Penggunaan media elektronik seperti tv dan radio juga boleh diperluaskan termasuklah memberi peluang “setimpalnya” kepada parti pembangkang.

Untuk tindakan segera pula, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan deposit yang tinggi untuk bayaran lesen pemasangan bendera parti dan sepanduk ini. Deposit ini adalah tambahan kepada bayaran lesen sedia ada. Deposit akan hanggus jika masih ada bendera parti dan sepanduk yang tidak diturunkan atau diambilbalik selepas selesai tempoh masa yang dibenarkan.

Saya terlibat dalam permohonan mendapat lesen mengantung sepanduk dan juga papan tanda untuk beberapa aktiviti yang diadakah termasuklah Acara Lumba Motosikal Petronas Cub Prix. Malah bayaran dan deposit dikenakan mengikut bilangan unit sepanduk dan papan tanda yang dipasang. Kalau pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan bayaran dan deposit untuk kami sebagai penganjur aktiviti sebegini, mengapa tidak dikenakan mengikut bilangan unit sepanduk dan papan tanda yang dipasang kepada parti politik yang terlibat? Lagi banyak bendera parti dan sepanduk dipasang, lagi banyaklah kutipan yang boleh dibuat. Terpulanglah kepada parti politik berapa banyak bendera atau sepanduk yang ingin dipasang mereka.

http://oshthejourney.blogspot.com

Pengaruh (pendidikan?) dari Juvana, Juvana The Movie dan Karlos


Pengaruh (pendidikan?) dari Juvana, Juvana The Movie dan Karlos

“Nama aku Lan ... budak-budak panggil aku kat sini Lan Toodak", ungkapan ini jelas dipertuturkan dalam saat ke 27 hingga 32 video klip beberapa orang pelajar ala samseng (gangsterism) membelasah rakan sekelas di sebuah sekolah menengah di Seberang Prai. Video klip tersebut boleh di tonton di sini.

Lan atau Lan Todak ini adalah nama watak Sharnaaz Ahmad dalam filem Juvana The Movie yang difilemkan setelah drama tv bersiri Juvana mendapat sambutan seperti sebelum ini di mana produser dan pengarah filem mengambil kesempatan trend semasa meminati atau cenderung kepada gejala rempit yang tidak putus-putus dilakonlayarkan, muncul pula drama bersiri Karlos yang turut membawa plot juvana.

Adakah tv atau filem ini bertanggungjawab terhadap perkembangan negatif gejala-gejala tidak sihat ini? Ataupun media-massa ini hanyalah bertujuan untuk menjadikannya sempadan (bukan teladan!) supaya penonton dapat menjauhi atau membenci gejala-gejala negatif ini. Adakah mesej media-massa ini dapat disampaikan kepada penonton? Adakah mesej media-massa ini dapat diterima oleh penonton?

Ketiga-tiga drama tv dan filem Juvana, Karlos dan Juvana The Movie tidak saya tonton. Oleh itu tidak adillah saya memberi pandangan mengenai drama tv dan filem ini. Bagaimanapun saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai penjara, mereka tidak berpuas dengan plot cerita drama tv Juvana yang agak keterlaluan dai realiti sebenar.

Sebagai seorang sukarelawan yang pernah terbabit sebagai ahli lembaga pengarah pelawat di sebuah sekolah juvana di Taiping awal 2000an dahulu, saya sedia-maklum sikap dan mentaliti juvana ini. Apatah lagi saya dipertanggungjawab pengkhususan dalam kes juvana yang terlibat dalam gejala lumba/curi motor dan liwat.

Tidak salah kalau gejala-gejala ini “dipersembahkan” semula dalam media-massa dengan bermatlamatkan memberi teladan dan sempadan. Tetapi promosi yang melampau dan keterlaluan terhadap kepopulariti pelakon-pelakon ini sedikit sebanyak “menengelami” hasrat murni produser/pengarah filem atau drama ini.

Terbaru seperti yang dilaporkan dalam Metro hari ini, Sharnaaz Ahmad (Lan atau Lan Todak dalam filem Juvana The Movie) menawarkan diri untuk memberi khidmat nasihat kepada tiga orang pelajar yang tel;ah digantung sekolah akibat memukul rakan sekelas ini.

Adakah ini langkah yang terbaik? Sepatutnya mereka yang berkemahiran dan terlatih dalam kaunseling terlibat dalam khidmat nasihat sebegini. Maaf, bukan ingin menyentuh soal peribadi Sharnaaz, berita-berita negatif sama ada benar atau gossip berkaitan pelakon ini terlalu banyak di dada-dada akhbar dan media sosial termasuklah terlibat dalam pergaduhan dengan krew penerbitan. Ini belum termasuk gossip atau berita sensasi beliau dengan seorang penyanyi perempuan.

Apapun  tanggujawab pendidikan (memberi pendidikan) adalah tanggungjawab bersama (Pelajaran Pendidikan Moral KBSM);

Pendidikan sempurna membentuk insan  cemerlang Pendidikan  menjamin  masa depan anak-anak. Pembentukan insan  berakhlak mulia  melalui pendidikan formal dan tidak formal tanggungjawab bersama;

1.       Ibu bapa 
2.       Guru
3.       Masyarakat
4.       Media massa

Sama-samalah kita sebagai sebahagian dari empat kumpulan yang dinyatakan di atas memainkan peranan untuk memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan.

http://oshthejourney.blogspot.com



Kewajipan memberi pendidikan OSH

Harian Metro hari ini

Kejadian 16 Sept 2012, berita lanjut di sini


Kewajipan memberi pendidikan OSH

Membaca Harian Metro hari ini (11 Apr 2013) mengingatkan saya kepada satu kemalangan hampir sama berlaku pada 16 Sep 2012 di mana seorang guru (guru!) menggunakan cecair thinner untuk menyemarakan api BBQ dan ini menyebabkan lima orang pelajarnya melecur teruk. Metro hari ini pula melaporkan seorang ibu membakar karbaid yang telah dibubuh di dalam tangki najis bertujuan untuk menghapuskan nyamuk. Tindakan ibu ini menyebabkan anaknya melecur teruk.

Kedua-dua tempat kejadian (satu di sekolah dan satu di rumah) bukanlah di premis pekerjaan. Bagaimanapuntanggungjawab pendidikan (dalam kes ini berkaitan pendidikan OSH) adalah menjadi tanggungjawab kepada guru dan ibubapa dalam kedua-dua kejadian ini.

Dalam OSHA 1994 Seksyen 15 dengan menyatakan seperti berikut:-

OSHA 1994, Section 15. General duties of employers and self-employed persons to their employees. (2) (c) the provision of such information, instruction, training and supervision as is necessary to ensure, so far as is practicable, the safety and health at work of his employees;
Kalau kita rujuk falsafah pendidikan Malaysia (Akta Pendidikan, 1996) menyatakan;  

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang  dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta  memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

Tanggujawab pendidikan (memberi pendidikan) kemudiannya diperjelaskan sebagai (Pelajaran Pendidikan Moral KBSM);

Pendidikan sempurna membentuk insan  cemerlang Pendidikan  menjamin  masa depan anak-anak. Pembentukan insan  berakhlak mulia  melalui pendidikan formal dan tidak formal tanggungjawab bersama;

1.       Ibu bapa 
2.       Guru
3.       Masyarakat
4.       Media massa

Memberi pendidikan tidak semestinya bermaksud “mengajar”. Guru agama ataupun ibubapa yang tidak mempunyai latarbelakang OSH mungkin tidak mampu memngajar pendidikan OSH. Peranan ini boleh diambil aleh oleh guru khas atau guru yang dilatih dengan OSH.

Sama-samalah kita sebagai sebahagian dari empat kumpulan yang dinyataklan di atas memainkan p[eranan untuk memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan.

http://oshthejourney.blogspot.com