Thursday, January 13, 2011

Krisis bekalan minyak masak – Realiti atau dirancang? Jangan berjangkit kepada OSH pula!


Krisis bekalan minyak masak – Realiti atau dirancang? Jangan berjangkit kepada OSH pula!

Negara kita Malaysia kini mengalami krisis bekalan minyak masak. Negara kita yang dikenali sebagai pengeksport utama minyak sawit dikatakan mengalami krisis ketiadaan bekalan minyak sawit.

Tan Sri Dr. Yusof Basiron, CEO Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) semasa diwawancara dengan Business Times Oktober 2010 lalu, memaklumkan eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat 20 peratus dan memcecah RM60 Billion disebabkan purata harganya yang tinggi dan peningkatan di dalam permintaan global.

Data Lembaga Minyak Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeksport minyak sawit mengeskport hampir 11 juta tan minyak sawit untuk kegunaan industry makanan dunia.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) menganggarkan jumlah penggunaan minyak masak sebulan adalah sekitar 70,000 tan metrik.

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob berjanji adanya tambahan bekalan 14,000 tan metrik menjadikan 84,000 tan metrik minyak masak pada bulan Januari ini.

Demikianlan senario krisis minyak di sebalik kemampuan Malaysia sebagai Negara utama pengesport minyak sawit.

Sebagai Negara ketiga yang sering dialpakan atau didiskriminasikan oleh Negara-negara maju, Malaysia seolah-olah “tiada masalah” untuk dijadikan mangsa krisis-krisis sebegini.

Sebagai contoh dalam perundangan sedia ada (Akta Kilang dan Jentera 1967) berkaitan Dedahan Bunyi (Noise Exposure), tahap dedahan (PEL) yang dibenarkan di Malaysia ialah 90 dB(A) jika dibandingkan di Eropah di mana bacaan PEL nya ialah 85 dB(A). Walaupun perbezaannya hanyalah lima unit tetapi harus diingatkan lima unit ini adalah berdasarkan log 10.

Saya ingin mengupas isu krisis ini dengan menggunakan analogi bapa saya yang mendidik kami tiga beradik semasa kecil. Analogi bapa saya mudah sahaja, hanya ada satu standard di dalam rumah kami. Mungkin terpengaruhi dengan disiplin yang tinggi dalam tentera, begitulah bapa mendidik kami dengan tegas.

Mungkin ada kecacatan dalam analogi bapa ialah tiada penjelasan (yang mendalam) setiap arahan atau tindakan yang diambilnya.

Pendekatan hanya satu standard ini digunapakai dalam semua perkara. Ketika dewasa dan melangkah alam pekerjaan barulah saya menghargai pendekatan satu standard bapa saya ini. Semasa kecil memang sayalah yang paling membencinya ketika itu.

Saya bagi dua contoh pendekatan satu standard bapa saya yang berkaitan dengan kualiti dan OSH.

Bapa memastikan kami semua menggunakan pinggan makan yang sama untuk makan. Tiada pinggan khas pyrex, arcopal atau melamine yang tersimpan dalam almari hiasan yang digunakan khusus untuk tetamu. Kalau tetamu yang datang dihidang dengan pyrex, kami sekeluargapun akan makan dengan pinggan pyrex yang sama juga pada hari-hari biasa.

Begitu juga bapa pantang kalau kami tiga beradik makan cebisan kuih yang rosak semasa dibuat oleh emak atau nenek. Kalau hendak makan, makan kuih yang sempurna sifatnya seperti mana kuih yang hendak dihidangkan kepada tetamu.

Mungkin sekali pandang, ianya pembaziran kalau tidak dimakan cebisan kuih-kuih yang rosak ini. Walaupun tanpa penjelasan ketika itu, saya yakin itulah dalam pendekatan secara Do It Right The First Time (DRIFT) yang disering disarankan oleh guru-guru kualiti masa kini.

Manakala dalam OSH pula (sudah tentu pada ketika itu bapa hanya menyebut keselamatan), kami tiga beradik tidak memiliki kasut khusus untuk pergi berlibur ataupun untuk berhari raya. Kasut atau selipar yang sama kami gunakan seharian adalah yang sama disarung untuk untuk pergi berlibur atau dipakai pada hari raya. Mungkin juga faktor kewangan, tetapi bapa memastikan kasut dan selipar yang akan kami gunakan harian adalah sebaik mungkin dan tidak membenarkan kami menggunakannya jika ianya rosak atau tapak sudah haus.

Pendekatan ini rupanya mendekatkan lagi saya kepada tanggungjawab saya sebagai pengamal OSH ketika ini. Malah saya turut memperkenalkan beberapa peraturan di tempat kerja (lebih kepada panduan) supaya penunggang motosikal yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja memakai kasut keselamatan. Sebelumnya ramai penunggang motosikal ini hanya berselipar dan mula menyarung kasut keselamatan mereka (yang disimpan dalam almari pekerja) apabila hendak melangkah masuk ke kawasan kerja.

Walaupun tidak pernah diluahkan oleh bapa, bagi saya bapa dengan tegas ingin memperkatakan KUALITI dan OSH (keselamatan) itu hanya ada satu standard. Hendak mematuhinya (melaksanakan) atau tidak. Tiada standard yang 50/50 ataupun standard yang boleh membenarkan ada orang (pihak) tertentu boleh atau tidak mematuhinya, bertangguh dan sebagainya.

Apa hubungannya analogi bapa saya mengenai hanya satu standard dalam pelaksanaan kualiti dan OSH dengan krisis bekalan minyak masak kini?

Bapa saya sudah uzur sekarang keadaannya. Tapi saya pasti kalau ditanya pendapatnya, dia akan tegas menyatakan rakyat Malaysia berhak malah lebih berhak (dari pengguna di luar negara) menggunakan minyak masak yang diwar-warkan untuk dieskport supaya Negara berterusan dikenali dengan Negara utama pengeskport minyak sawit.

Apa guna Negara terkenal dengan sebagai Negara utama pengeskport minyak sawit tetapi rakyatnya menghadapi krisis bekalan minyak masak?

Harap-harap krisis sebegini tidak berjangkit kepada OSH pula!

Rakyat atau pengunjung asing diberi pelbagai keistimewaan perlindungan keselamatan dan kesihatan tetapi pada masa yang sama rakyat Malaysia dibezakan perlindungan ini.

Contoh yang ketara ialah prosedur yang ketat untuk melepasi imigiresen Australia terhadap pelancong luar (termasuk dari Malaysia) yang membawa makanan dan tumbuhan untuk melindungi tanaman mereka. Adakah di Malaysia adanya prosedur seketat sebegini untuk pelancong luar? Kita juga mempunyai tanaman untuk dipelihara.

Terima kasih kepada bapa yang mengajar saya hanya ada satu standard dalam kualiti dan OSH.

Terima kasih bapa!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Jika berkesempatan, analogi yang sama saya berkongsi dengan pelajar-pelajar saya di dalam kelas.

No comments: