Thursday, December 31, 2009

MOSH Cohort 6 Prai



MOSH Cohort 6 Prai

Ahad dan Sabtu lepas adalah kelas terakhir saya untuk Sem III kepada pelajar-pelajar UUM Msc OSH Management Cohort 6 di Prai. Saya mengajar dua mata pelajaran untuk pelajar-pelajar ini iaitu OSH Management System di Sem II dan Emergency Response Management di Sem III ini.

Semoga dengan tamatnya program 3 semester kelolaan bersama UUM dan NIOSH ini, pelajar-pelajar ini boleh manfaatkan ilmu yang telah dipelajari dan dikongsi bersama. Tamatnya program ini bukan bermakna tamatnya pengajian atau pendidikan mereka dalam bidang OSH ini. Masih banyak yang perlu dipelajari di luar sana.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

OSH Master Plan 2010-2015


OSH Master Plan 2010-2015

Setiap kali dijemput memberi ceramah atau kursus serta membentangkan kertas kerja, saya seberapa boleh meminta untuk turut menjadi seorang peserta juga. Dengan demikian bukan sahaja saya boleh berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman saya dengan peserta-peserta lain tetapi saya turut akan mendapat ilmu dari pengajar atau penceramah serta pembentang kertas kerja yang lain.

Minggu lepas di Swiss Garden Inn Sungai Petani, Pengarah JKKP Kedah, En. Jais Suratman mengisi salah slot kursus dengan taklimat OSH Master Plan 2010-2015.

Tidak rugi rasanya walaupun saya salah seorang penceramah turut bersama-sama peserta lain mengikuti slot ini.

Kepada pengujung blog OTJ ini terutama pengamal-pengamal OSH, maklumat mengenai OSH Master Plan 2010 - 2015 ini perlulah diketahui dengan tepat. Maklumat lengkap boleh dimuat-turun dari laman web JKKP. Bagaimanapun untuk mendapat slide presentation En. Jais Suratman bolehlah dimuat-turun dari sini.


Selain dari itu, Kementerian Sumber Manusia dan JKKP turut menerbitkan sebuah buku bertajuk "132 Tahun Penguatkuasaan K&KP di Malaysia". Saya sendiri belum berkesempatan membaca atau melihat isi kandungan buku ini. Saya difahamkan setakat ini buku ini bukan untuk dijual.

Kalau merujuk kepada tajuk buku ini, sudah tentu ianya berupa sejarah perkembangan JKKP dan OSH di Malaysia yang sepatutnya diketahui oleh semua pengamal OSH. Mungkin pihak JKKP boleh mempertimbangkan cadangan supaya buku ini dijual kepada umum.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Apa yang boleh diteladani



Apa yang boleh diteladani

Walaupun tempat letak kereta di Jusco Bandar Perda ini terletak di paras tanah, semua tempat keretanya dilengkapi dengan palang penanda akhir roda (wheel marker bar).

Apa yang menarik, tempat letak kereta di Jusco Bandar Perda ini juga turut dilengkapi ruang tambahan (ample space) untuk ruangan membuka pintu kenderaan dan laluan pejalan kaki.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Saturday, December 26, 2009

Tindakan selepas kemalangan bas 10 maut


Tindakan selepas kemalangan bas 10 maut

Kata pegawai penyiasat polis, menurut keterangan saksi pemandu memandu dengan laju.

Menurut jurucakap syarikat bas, berdasarkan sistem penetapan dan pengesan kelajuan yang dipasang pada bas, bas hanya boleh mencapai kelajuan 97 km/j.

Seorang yang berkuasa (menteri?) telah memberi arahan (atau cadangan?) agar semua bas milik syarikat bas yang terbabit kemalangan ini diganti.

Menurut polis juga, bas baru berusia 3 bulan dan tiada rekod kesalahan lalulintas yang dicatat pada bas. Tidak pasti sama ada ada rekod kesalahan lalulintas pada pemandu yang terbabit.

Kejadian telah berlaku. Tindakan menahan pemandu bas untuk siasatan dan/atau untuk tindakan selanjutnya memang wajar.

Tetapi tindakan mengantung perkhidmatan semua bas milik syarikat bas yang terbabit agak keterlaluan. Tindakan ini tidak patut diambil berdasarkan;

1. Hampir kesemua bas milik syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan ini masih baru.
2. Minggu ini adalah minggu paling sibuk untuk pengguna perkhidmatan bas pulang ke ibu kota atau kampung sebelum sekolah dibuka semula. Tentu ramai yang telah membeli tiket dari syarikat bas yang terbabit ini.
3. Bagaimana dengan nasib pemandu-pemandu lain di syarikat bas ini jika semua bas-bas di syarikat ini digantung perkhidmatannya.

Pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan yang realiti dan logik.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Berita lanjut, sumber Bernama

10 maut bas terbabas di lebuh raya PLUS
26 Disember 2009

Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian pukul 1 pagi itu ialah:

1. Shaharin Mohd Nor, 61, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
2. Supiah Adam, 46, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
3. Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah;
4. Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
5. Noor Jasmi Noordin, 25, dari Kangar, Perlis.
6. Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
7. Ng Kah Kit, 14, Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah;
8. Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar;
9. Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dari Sungai Petani, Kedah;
10. Identiti mangsa belum dikenalpasti - wanita dipercaya Melayu.

Wan Abdullah berkata penungpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah.

Katanya kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala kesemua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Beliau berkata besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri...kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan. - Bernama

Kalau bukan untuk diri sendiri, mungkin untuk orang lain






Kalau bukan untuk diri sendiri, mungkin untuk orang lain

Hari ini kelas saya di NIOSH Kompleks Sempilai, Prai dari jam 9am hingga 5pm. Bagaimanapun saya masih di dalam kelas sehingga 5.30pm melayan beberapa pelajar yang meminta nasihat berkenaan permasalahan yang mereka hadapi di tempat kerja masing-masing.

jam 5.30pm, di tempat letak kereta hanya tinggal kereta saya dan sebuah kereta Kancil milik salah seorang pelajar perempuan saya. Rupa-rupanya kereta Kancil miliknya tidak dapat dihidupkan.

Kebetulan kelas pada hari ini berkaitan ERM dan salah satu Case Study yang dibincangkan ialah kemalangan di Kota Bahru Mall.

Saya membantu menghidupkan kereta Kancil milik pelajar perempuan saya ini menggunakan Jump Cable milik saya.

Seingat-ingat saya selama hampir 20 tahun saya berkereta, tidak pernah saya menggunakan Jump Cable ini kerana bateri kereta tidak berfungsi. Cuma sekali sahaja sewaktu saya berkerja di Kulim, saya menggunakannya kerana saya lupa menutup lampu kereta saya seharian!

Begitu juga saya sewaktu saya berulang-alik mengikuti PPJJ Ijazah Pertama saya Kejuruteraan Mekanikal saya di USM (2 tahun di USM Penang, 3 tahun di USM Tronoh dan 3 tahun di USM Transkrian) di mana 4 tahun saya bermotosikal dan 4 tahun kemudiannya berselang-seli motosikal dan kereta, saya tidak pernah bermasalah dengan tayar motosikal pancit walaupun setiap kali berulang-alik dengan motosikal di hujung minggu selama 8 tahun ini ke tiga-tiga tempat ini lengkap dengan spare tube dan pam angin. Bagaimanapun rasanya lebih dari 5 kali saya telah menolong pemilik motosikal yang mengalami masalah tayar pancit di lebuhraya ataupun di jalan biasa.

Apa yang pasti kelengkapan asas dalam kenderaan ini mungkin bukan untuk diri sendiri, tetapi boleh membantu untuk orang lain.

Antara lain kelengkapan yang sentiasa ada dalam bonet kereta saya ialah seperti di bawah;


Booster cable (Jumpa cable), scissor jack (standard accessories), Baju Hujan, Lampu Isyarat kuasa beteri pencucuh rokok, segi-tiga isyarat bercahaya, dan paip tembaga


Jump cable 400Amp. Kalau yang lebih murah, Amp nya lagi kurang!


Canvas tarpaulin


Kasut jogging (ini jarang digunakan!)


lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Tidak dapat juga saya bayangkan jika pada hari ini, Jumpa cable tersebut tiada dalam bonet kenderaan saya!

Thursday, December 24, 2009

Bukan semua ilmu itu mahal!






Bukan semua ilmu itu mahal!

Setiap kali saya berkesempatan ke Pulau Pinang (Georgetown), Pasar Lambak di Lorong Kulit belakang stadium adalah tempat "mesti-pergi" saya. Biasanya hanya menjamu mata ataupun membeli barangan yang tiada atau sukar dibeli ditempat lain. Apapun menjadi kebiasaan saya dan anak lelaki saya ialah membeli buku-buku dan majalah-majalah terpakai di situ. Biasanya juga saya akan berbelanja sekitar RM 100.00 setiap kali pembelian. Malah pernah berbelanja RM 200 lebih semata-mata membeli bahan-bahan bacaan ini. Sehinggakan Apek penjual buku-buku terpakai sudah mengenali kami berdua! Apa yang menarik lagi setiap kali pembelian mesti berlakunya "pertelingkahan manja" antara Apek tersebut dengan kami berdua semasa tawar-menawar!

Setakat ini saya belum terjumpa bahan-bahan bacaan berkaitan keselamatan (safety) tetapi bahan-bahan bacaan berkaitan kesihatan dan persekitaran banyak terdapat di sini. Kebanyakannya juga masih dalam keadaan baik.

Kunjungan kami Sabtu dan Ahad lepas mendapati bekalan buku-buku amat berkurangan. Mungkin faktor cuaca menyebabkan penjualnya hanya membawa bekalan yang terhad.

Antara buku kesihatan berkaitan perubatan yang dibeli ialah;

1. Understanding Prescription - A lifesaving gude to correct use, RM 2.00 (Harga asal RM 16.00)
2. Your Doctor Says - understanding medical common, RM 2.00 (Harga asal RM 16.40)

Seperti biasa 2 buku ini diletak pada harga sekitar RM 3.00 - RM 4.00 sebuah!


Ada 2 kad pada halaman terakhir ini yang tersedia

Menariknya buku Understanding Prescription itu ialah lampiran yang disertakan pada halaman akhir buku iaitu Kad Rekod Ubat (saiz dompet).

Sebenarnya antara topik ringan OSH yang amat saya gemar mengajar dan sering dijemput berceramah (terutama sektor awam) masa kini ialah EDC (Every Day Carry) dan Wallet Management.

Harap maklum, Wallet Management ini bukanlah topik yang membincangkan cara-cara menguruskan perbelanjaan kewangan. Ianya lebih kepada elemen ERM (Emergency Response Kecemasan) di mana apa barangan yang perlu dan mesti berada di dalam dompet seseorang itu.

Penggunaan kad saiz dompet (saya lebih suka menyebut saiz kad kredit!) adalah amat praktikal di samping penggunaan lencana "medical alert" yang biasanya sebagai rantai leher ataupun gelang tangan.

Kali pertama saya melihat kad sebegini ialah pada seorang kenalan saya yang dimasukkan ke Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang. Pihak hospital akan mengedar kad sebegini (dipanggil Kad Data Kecemasan) kepada semua pesakitnya secara percuma.

Dalam laman web Malaysia Fire & Rescue Volunteer Association MFRVA, juga terdapat Kad Data Kecemasan ini yang tersedia untuk dimuat-turunkan.

Saya merasa ceramah berkaitan topik Wallet Management yang saya beri ini pada Selasa lepas kepada kakitangan Jabatan Penerbit UUM memberi kesan kepada peserta-peserta yang hadir. Sehari selepas ceramah, saya dihubungi semula oleh urusetia untuk mendapatkan nasihat lanjut berkaitan Kad Data Kecemasan ini kerana mereka bercadang untuk membuatnya dan mengedarkan kepada semua kakitangan. Saya cadangkan kepada mereka agar luaskan edaran kepada semua kakitangan universiti.

Insya-Allah dalam posting akan datang saya akan muat-naik (up-load?) slide presentation ceramah topik Wallet Management ini.

lukmanw@uum.edu
http://oshthejourney.blogspot.com/

Kesimpulannya bukan semua ilmu (bahan bacaan atau kursus/seminar) itu mahal. Ada yang berpatutan dan ada yang murah. Malah ada bahan bacaan atau kursus/seminar yang percuma seperti contoh leaflet-leaflet maklumat dari DOSH, DoE, DoH, Pengguna dan lain-lain jabatan yang banyak mengandungi maklumat-maklumat penting dan berguna. Begitu juga dengan kursus/seminar. Apa yang penting pengamal-pengamal OSH perlu berhubung sesama mereka terutama melalui persatuan untuk mendapatkan maklumat-maklumat atau hebahan sebegini
.

Wednesday, December 9, 2009

Jangan cepat panik ketika kecemasan dalam Smart Tunnel

Jangan cepat panik ketika kecemasan dalam Smart Tunnel

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Kosmo, 1-Dis-2009

Apabila kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit, kekeringan air mahupun enjin tidak berfungsi, terdapat beberapa perkara penting yang harus dilakukan.


SEBANYAK 72 paparan skrin di dalam bilik kawalan trafik SMART memantau pergerakan pemandu.

JARUM jam menunjukkan pukul 12 malam. Skrin komputer yang memaparkan Pengesanan Insiden Automatik (AID) menerusi sistem Sistem Kawalan Pengawasan dan Pelaksanaan Data (SCADA) mula berkelip-kelip. Kelipan tersebut merupakan tanda amaran kepada para petugas di bilik kawalan trafik, Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd. (SMART) bahawa satu insiden sedang berlaku di dalam terowong.

Tanpa melengahkan masa, para petugas terus meneliti 72 paparan skrin (barco wall) yang terpampang luas di dalam bilik itu bagi mengenal pasti lokasi insiden yang berlaku.

Daripada hasil pemerhatian, mereka mendapati terdapat sebuah kereta jenis Hyundai Sonata warna hitam sedang berhenti di laluan kecemasan. Dengan serta-merta, staf di bilik kawalan trafik mengeluarkan arahan kepada Pasukan Ronda SMART supaya segera memberi bantuan keselamatan kepada pemandu kereta tersebut.

Langkah tersebut penting supaya pemandu berkenaan tidak berasa cemas sekali gus dapat mengelakkan insiden lain yang tidak diingini berlaku di dalam terowong.

"Benar, kami perlu bertindak dalam tempoh lima minit sahaja. Sebaik sahaja menerima arahan daripada petugas di bilik kawalan trafik, kami (skuad peronda) mesti segera menemui pemandu yang mengalami masalah.

"Jika lambat...mungkin pemandu itu akan cemas dan panik. Lagi pun, segelintir pengguna SMART masih tidak mengetahui tindakan yang perlu mereka ambil apabila berlaku kecemasan yang melibatkan mereka di dalam terowong," kata seorang anggota skuad peronda SMART, Alzaahni Al- Malek, 32, kepada Kosmo!.

Menurutnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit, kekeringan air mahupun enjin tidak berfungsi, terdapat beberapa perkara penting yang harus dilakukan.

"Pemandu hanya perlu nyalakan lampu kecemasan, hubungi talian bantuan SMART dan tunggu di dalam kereta sehingga bantuan tiba.

"Jangan sesekali menunggu di luar kenderaan kerana ia boleh mengundang bahaya memandangkan laluan kecemasan hanya seluas dua meter sahaja," ujarnya yang hampir dua tahun telah berkhidmat dengan SMART.

Kata Alzaahni lagi, bagi pemandu yang tidak memiliki telefon bimbit, mereka disarankan keluar dari kenderaan dan cari pintu kecemasan yang terletak di setiap 250 meter di sepanjang terowong.

Menurutnya, di setiap pintu kecemasan tersebut, terdapat telefon kecemasan yang menghubungkan panggilan pemandu terus ke Pusat Kawalan SMART.

Bercerita lanjut mengenai langkah-langkah menyelesaikan hal kecemasan atau kerosakan kenderaan, sebaik tiba di lokasi insiden, petugas skuad akan meletakkan kon amaran di belakang dan di hadapan kenderaan. Ia bertujuan memberi peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memecut laju memandangkan di laluan kecemasan terdapat kenderaan rosak.

Kemudian skuad peronda cuba mengenal pasti punca masalah yang dialami pemandu. Sungguhpun begitu, segala kerosakan yang berlaku tidak dibaiki di dalam terowong. Sebaliknya, skuad peronda akan memaklumkan kepada bilik kawalan trafik supaya menghantar trak penunda kereta.

Terowong SMART menawarkan laluan alternatif yang lebih pantas untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur dan menghala ke selatan.

Bagi memberi keselesaan kepada pengguna SMART, skuad peronda sentiasa membuat tinjauan sepanjang terowong. Sepanjang proses pemeriksaan itu, skuad peronda akan meneliti perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran operasi trafik yang menjejaskan keselamatan pengguna.

Salah satu sistem keselamatan yang dititikberatkan adalah binaan dek atas dan dek bawah yang mempunyai laluan sehala. Dek atas bermula dari Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur menuju ke Sungai Besi manakala dek bawah pula adalah laluan dari Sungai Besi yang menyusur keluar ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak.

Misi laluan sehala diwujudkan bagi mengelak kenderaan bertembung yang boleh mengakibatkan kemalangan. Sejak mula beroperasi, belum ada insiden yang melibatkan kehilangan nyawa berlaku di dalam terowong SMART. Kemalangan dan kerosakan kecil berjaya dikesan dengan segera di bilik kawalan trafik yang beroperasi 24 jam sehari.

Biarpun keselesaan sudah diberikan, namun segelintir pemandu masih tegar mempraktikkan pemanduan tidak berhemah. Papan tanda perangkap laju yang memberi amaran supaya tidak melebihi had laju 60 kilometer sejam seolah-olah satu perhiasan di dalam terowong semata-mata.

Menurut petugas Pasukan Ronda SMART, Mohd. Rasydan Abdullah, 32, kesan daripada kedegilan pemandu yang membawa laju tanpa memikirkan keselamatan pemandu lain boleh menyebabkan kereta hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan. Hasilnya perjalanan operasi terowong yang sepatutnya lancar akan mengalami kesesakan apabila pemandu terpaksa menggunakan satu laluan sahaja.

"Tidakkah perkara ini menyusahkan banyak pihak? Jika semua pemandu mematuhi had laju yang ditetapkan, sudah tentu kemalangan ringan mahupun kemalangan jiwa tidak berlaku. Perlu diketahui keluasan terowong SMART tidak sama dengan keluasan lebuh raya. Hanya kerana kecuaian seorang pemandu, ia boleh menyebabkan kereta lain menerima tempias.

"Lagipun, bukan suatu tugas mudah untuk menguruskan kemalangan di dalam terowong. Faktor keluasan terowong membuatkan kami perlu berhati-hati ketika menjalankan tugas. Jika tersilap langkah...,kami pun boleh dilanggar," kata Rasydan yang berharap pengguna SMART mengamalkan sikap berhati-hati.

Tegasnya, jika hal-hal kecemasan berlaku di lebuh raya biasa, skuad peronda boleh membantu mengalihkan kenderaan ke kawasan lapang atau bahu jalan. Tetapi di dalam terowong, situasi itu sukar untuk dilaksanakan. Justeru, jalan terakhir hanya perlu menunggu trak penunda kereta sampai ke lokasi kemalangan atau kerosakan kenderaan.

Mengenai perihal penundaan kereta, seorang petugas trak penunda SMART, Auseri Ahmad, 34, memberitahu sekiranya pemandu mengalami masalah kecil seperti kekeringan air, dia boleh membantu mengisi air. Tetapi, bagi kerosakan yang memerlukan tempoh masa yang lama untuk dibaiki, kereta pemandu akan ditunda keluar dari terowong terlebih dahulu.

Selain membawa kenderaan yang rosak di stesen minyak berhampiran secara percuma, Auseri yang berasal dari Mersing, Johor itu turut menyatakan mereka juga boleh menghantar kenderaan ke bengkel pilihan pemandu. Cuma penghantaran ke bengkel itu tidak boleh melebihi 30 kilometer dari terowong SMART dan ia dikenakan bayaran.

"Kami tidak boleh meninggalkan terowong dalam tempoh yang lama kerana perlu bersiap siaga. Saban hari, hanya dua trak penunda sahaja yang bertugas di dek atas dan di dek bawah. Jika kami melebihi jarak yang ditetapkan itu, ia boleh menimbulkan masalah sekiranya terdapat kemalangan dan kerosakan kenderaan lain di dalam terowong.

"Selain itu, perlu difahami bahawa perkhidmatan bantuan yang diberikan adalah percuma kecuali menunda kenderaan ke bengkel. Jadi, saya harap kehadiran kami untuk memberi bantuan tidak disalah erti oleh para pemandu," ujar Auseri kepada Kosmo!.

Penjelasan tersebut bertujuan membetulkan persepsi pemandu kepada kereta penunda SMART.

Beliau yang memiliki pengalaman selama lima tahun dalam bidang kerja menunda kereta pernah dimarahi pengguna SMART.

"Selepas menerima arahan dari bilik kawalan trafik, saya terus menemui pemandu yang mengalami kerosakan kereta. Malangnya, sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut, pemandu berkenaan memarahi dan menghalau saya. Ini kerana pemandu tersebut menyangka kami penunda kereta haram (longkai)," ujarnya kesal.

DALAM tempoh lima minit, skuad peronda SMART tiba di lokasi untuk memberi bantuan.


MOHD. RASYDAN (kiri) dan Alzaahni sentiasa bersedia membantu pemandu yang dalam kecemasan.


PENGGUNAAN tangga disarankan apabila berlaku kebakaran di dalam terowong.


PENGGUNA yang tidak mempunyai telefon bimbit boleh menggunakan telefon kecemasan yang disediakan.

Tsunami Jeddah 25 Nov 2009


















Tsunami Jeddah 25 Nov 2009

Diterima melalui email

Hasrat calon SPM beli alat tulis di KB Mall bertukar tragedi

KERETA Ford Laser yang mengorbankan dua mangsa selepas jatuh dari tingkat 3 di KB Mall dibawa keluar semalam.
Hasrat calon SPM beli alat tulis di KB Mall bertukar tragedi
Berita Harian 9, Disember 2009

KOTA BHARU: Nurul Ain Said tidak menyangka hasrat membeli alat tulis untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang didudukinya, bertukar menjadi igauan ngeri apabila kereta yang dikendalikannya terjunam dari ruang meletak kereta kompleks beli-belah KB Mall, petang kelmarin, menyebabkan dua penuntut kejururawatan terbunuh.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dewan Beta, dekat sini berkata, dia hanya mampu mengucap kalimah syahadah dan terbayang saat kematian apabila kereta itu terbabas merempuh tembok penghadang lalu menjunam dari tingkat tiga ke aras bawah kompleks itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama adiknya, Nurul Akma, 14, membantu abang angkat mereka, Sabri Yusuf, 27, dari Jerteh, Terengganu, menghidupkan kereta Ford Laser itu selepas membeli-belah.

"Ketika hendak balik jam 5 petang, kereta tidak dapat dihidupkan. Saya dan Akma cuba menolak tetapi gagal," katanya di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.

Nurul Ain berkata, Sabri meminta dia mengendalikan kereta dan diajar cara menghidupkan enjin.

"Saya tidak tahu memandu kereta. Jadi, Sabri mengajar secara ringkas termasuk meminta menekan pendikit minyak dengan kuat serta memasukkan gear.


NURUL AIN (kiri) ditemani adiknya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Ketika mereka menolak kereta, saya memasukkan gear dan secara tiba-tiba enjin kereta hidup sebelum meluncur laju. Saya hilang kawalan dan kereta terjunam ke tingkat bawah.

"Saya bimbang keselamatan Akma kerana sangka dia turut terjatuh," katanya yang semakin pulih daripada trauma kejadian itu.

Nurul Ain bersyukur kerana terselamat walaupun terjatuh dari ketinggian 20 meter dan cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

Katanya, kira-kira jam 2 pagi semalam, dia dikejutkan seorang lelaki di wad yang menuduhnya menjadi punca ramai mati.

Sementara itu, Nurul Akma berkata, sejurus kereta itu menjunam, dia bergegas turun dan terkejut melihat mangsa terbaring berlumuran darah menyebabkannya panik dan menangis.

"Seorang wanita menenangkan saya sebelum dihantar pulang tanpa mengetahui nasib kakak. Kira-kira jam 12 malam, polis mengambil saya untuk membuat laporan dan melawat kakak di hospital," katanya.

Monday, December 7, 2009

Palang penanda penghenti roda


Palang penanda penghenti roda

Kebetulan Jumaat lepas sewaktu di Alamanda, Putrajaya saya terpanggil untuk mengambil gambar "Parking Bar Stopper" ini di tempat letak kereta bertingkatnya. Pemilik-pemilik tempat letak kereta semestinya menyediakan peralatan tambahan keselamatan ini di setiap tempat letak kereta bertingkat terutama yang bersebelahan dinding tembok bangunan.

Di Taiping umpamanya, di tempat letak kereta berhadapan Bank HSBC turut dilengkapi palang besi penanda penghenti roda ini walaupun ianya di atas jalan dan bukannya. di atas bangunan bertingkat.

Sekurang-kurangnya pemandu kenderaan boleh mengagak "tahap akhir" di mana mereka mesti memberhentikan kenderaan masing-masing. Dengan adanya peralatan tambahan keselamatan ini, mungkin boleh mengurangkan (jika tidak boleh menghapuskan) kejadian
melanggar tembok pengadang kenderaan.

Pada masa yang sama tembok pengadang kenderaan juga perlulah dibina supaya berupaya menahan impak pelanggaran yang tertentu.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/


Struktur Bangunan Tidak Kuat Punca Kereta Terjunam

KOTA BAHARU, 7 Dis (Bernama) -- Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu Ahad.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, Isnin.

Pada kejadian pukul 5 petang Ahad, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak dapat mengawal kenderaan yang ditolak oleh seorang lelaki bagi menghidupkan enjin.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati tembok penghadang ke bangunan itu dibina dengan bata sahaja, tidak menggunakan konkrit tetulang sebagaimana lazim dilakukan ke atas bangunan-bangunan konkrit.

Katanya siasatan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda kerana dikatakan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau juga meminta seorang lelaki yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta itu yang menghilangkan diri tampil membantu polis menyiasat kes terbabit di mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lelaki itu boleh membantu siasatan kerana dia berada bersama-sama bersama pemandu wanita dan adik wanita itu yang selamat," katanya.

-- BERNAMA