Wednesday, November 25, 2009

MAB Peruntuk RM79 Juta Setiap Tahun Bagi Kos Selenggara Airside

MAB Peruntuk RM79 Juta Setiap Tahun Bagi Kos Selenggara Airside

Itulah yang dilaporkan oleh Bernama pada 19 Julai 2005. Adakah keselamatan ini hanya meliputi keselamatan peralatan (kapalterbang dan lapanganterbang) tetapi tidak termasuk keselamatan pekerja, penumpang dan orang awam?

Artikel sepenuhnya;


SEPANG, 19 Julai (Bernama) -- Malaysia Airport Berhad (MAB) memperuntukkan hampir RM79 juta setiap tahun bagi kos menyelenggara peralatan dan kawasan lapangan terbang (airside) bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) setanding dengan lapangan terbang utama dunia yang lain.

Pengerusinya Tan Sri Dr Aris Othman berkata, MAB sentiasa mengawalselia semua peralatan dan kawasan airside seperti apron (kawasan letak kapal terbang), landasan dan lampu landasan bagi memastikan ia berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan kadar keselamatan serta mengurangkan kemalangan di kawasan berkenaan.

"Kecemerlangan sesebuah lapangan terbang bukan sahaja diukur dari jumlah penumpang dan kargo yang dikendalikan setiap tahun, tetapi aspek keselamatan di kawasan lapangan terbang juga dititik beratkan oleh syarikat penerbangan sebelum memulakan operasi di mana-mana lapangan terbang."

Katanya, reputasi sesebuah lapangan terbang akan terjejas dengan teruk sekiranya suatu kemalangan yang berlaku disabitkan dengan kepincangan dari aspek keselamatan yang disediakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Bersama Operasi Airside yang turut disertai oleh Malaysia Airlines Klas, Airasia, Esso, Shell, Sinar Jernih dan beberapa syarikat swasta yang lain.

Untuk tujuan itu juga katanya, MAB turut memperuntukan sebanyak RM6 juta setiap tahun bagi tujuan menyediakan latihan khas kepada kakitangannya untuk menyelia kawasan lapangan terbang.

"Kita juga mensasarkan penurunan dalam jumlah kemalangan di kawasan lapangan terbang malah berazam untuk mencapai tahap kemalangan sifar," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 14 kes kemalangan dicatatkan dan jumlah tersebut menurun jika dibandingkan 48 kes sepanjang tahun lepas.

Katanya, walaupun kemalangan yang berlaku itu hanya melibatkan insiden yang kecil seperti kenderaan menyelenggara melanggar pesawat, tetapi MAB memandang serius tentang perkara itu kerana setiap kemalangan akan melibatkan kos membaiki yang tinggi.

Dr Aris berkata, kempen yang diadakan hari ini bertujuan untuk menyemai dan memupuk rasa kesedaran di kalangan semua petugas di kawasan apron tentang aspek-aspek keselamatan yang perlu dipatuhi semasa menjalankan tuagas.

Selain itu, kempen tersebut juga diadakan dengan tujuan untuk menjadikan kawasan apron KLIA sebagai kawasan yang bebas daripada kerosakan objek asing (FODD) sekaligus dapat menjamin tahap keselamatan pesawat yang berada di kawasan itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KL Airport Services Sdn Bhd, Sharifah Halimah Syed Ahmad, Pengurus Besar Kanan Operasi MAB, Mahat Samah serta Pengurus Besar KLIA Azmi Murad.

-- BERNAMA

No comments: