Tuesday, November 3, 2009

Adakah perundangan keselamatan berkaitan jambatan gantung runtuh ini?


Adakah perundangan keselamatan berkaitan jambatan gantung runtuh ini?

Awal pagi 27 Oktober 2009 lalu, saya dihubungi oleh sebuah akhbar arus perdana meminta komentar mengenai kejadian jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang.

Memandangkan sebelumnya tidak banyak info yang saya dapat dari media elektronik (tv, radio dan internet) saya mengambil keputusan akan hanya memberi komentar selepas mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.

Telahan awal saya ternyata meleset. Bukan punca “wear and tear” jambatan itu runtuh! Ianya hanya baru dibina dalam temph dua minggu.

Antara soalan yang ditanya oleh wakil akhbar arus perdana yang menelefon saya tersebut adakah ujudnya mana-mana perundangan berkaitan keselamatan yang membabitkan penggunaan jambatan gantung ini.




Secara amnya jika kita merujuk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994 (OSHA 94), aktiviti-aktiviti dikategorikan dalam Perkhidmatan Awam (Senarai ke 10 tersenarai dalam Jadual Pertama) iaitu antara industri yang tertakluk di bawah akta OSHA 94 ini. (Aktiviti-aktiviti membabitkan persekolahan tertakluk di bawah kategori Perkhidmatan Awam.)

Secara khususnya pula perundangan yang terbabit ialah Panduan Pencegahan dari Terjatuh di Tempat Kerja, 2007 yang jelas menyatakan walaupun panduan ini diutamakan kepada tempat-tempat kerja seperti operasi pembinaan dan kerja-kerja kejuruteraan pembinaan ianya juga digunapakai untuk tempat-tempat yang berisiko untuk jatuh dari tempat tinggi dua meter atau lebih (6.5 kaki). Oleh itu penggunaan peralatan pencegahan dari terjatuh adalah dimestikan.

Jelasnya semasa kemalangan berlaku, pengguna-pengguna jambatan gantung tersebut tidak menggunakan apa-apa peralatan pencegahan dari terjatuh.

Mungkin ada yang sinis dengan panduan yang sedia ada ini. Mungkin yang beranggapan paras permukaan sungai hingga ke lantai jambatan gantung tersebut tidak sampai dua meter. Atau mungkin ada yang mempertingkaikan mengapa jambatan-jambatan gantung yang sedia tidak pernahpun menggunakan sebarang peralatan pencegahan dari terjatuh.



Katun di ruangan Telatah oleh Yon di Berita Minggu 1 November 2009 lalu memang mencuit hati saya. Begitu juga semasa melayari beberapa laman berkaitan “wall climbing” saya dapati tidak kira tinggi manapun dinding yang digunakan, pendaki-pendakinya dimestikan memakai peralatan pencegahan dari terjatuh ini.

Saya tidak berpengalaman dan tidak mengetahui banyak perkara teknikal mengenai jambatan gantung ini. Tetapi pengelibatan luas saya dalam dalam pengendalian kenderaan 4x4 mengambil-kira hanya sebuah kenderaan sahaja yang dibenarkan melalui pada satu masa di mana-mana jambatan yang baru dibuat secara ala-kadar dan yang dikuatiri tidak selamat.

Persoalannya di sini mengapa begitu ramai sekali pelajar-pelajar awal belasan tahun ini dibenarkan melalui sekali gus jambatan gantung tersebut. Saya difahamkan oleh ramai guru-guru yang pernah bertugas di Sabah dan Sarawak yang arif dengan penggunaan jambatan gantung di pendalaman tempat mereka bekerja. Menurut mereka hanya tidak lebih dari lima orang yang dibenarkan melalui sekali gus jambatan gantung ini dan dalam keadaan berjarak dua meter antara satu sama lain.

Mengapa kaedah ini tidak dipraktikkan di Kuala Dipang tersebut.?

Malah sekeping gambar di bawah yang didakwa eksklusif diambil seminggu sebelum kejadian menunjukkan ramai pelajar-pelajar yang berdiri (keadaan statik!) beramai-ramai di atas jambatan gantung ini. Secara logiknya berat pelajar-pelajar ini yang berdiri statik jauh berbeza dengan berat pelajar-pelajar yang hanya melalui jambatan gantung ini.

Banyak iktibar yang boleh dipelajari dari kejadian jambatan gantung runtuh ini. Dalam kehidupan ini sering saya ingatkan kepada pelajar-pelajar saya, bahawa manusia sememangnya belajar dari kesalahan atau kesilapan yang telah berlaku. Tetapi dalam konteks keselamatan (khususnya kemalangan!), untuk belajar dari kesalahan atau kesilapan sendiri adalah sudah terlambat!

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com



Artikel dari Kosmo Ahad, 1-November-2009

HUJAN renyai yang mula membasahi Pusat Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, Perak pada petang 26 Oktober itu mendinginkan suasana.
Deruan aliran deras Sungai Kampar, pemisah antara premis sekolah dengan tapak perkhemahan turut mendamaikan.

Di tapak perkhemahan, keterujaan jelas terpancar pada wajah 294 peserta Perkhemahan 1Malysia yang baru sahaja mendaftarkan diri.

Bagi kebanyakan mereka, peluang menyertai program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan lebih-lebih lagi ia melibatkan kehadiran peserta daripada 64 buah sekolah rendah di seluruh kawasan seliaan PPD berkenaan.

Selesai solat Isyak, para peserta yang terdiri daripada murid tahun empat hingga enam itu dibenarkan membuat aktiviti bebas.

Kira-kira pukul 10 malam, peserta dikehendaki ke dewan makan yang terletak di kawasan sekolah untuk menikmati hidangan lewat malam.
Satu-satunya akses dari tapak perkhemahan tersebut ke kawasan sekolah ialah jambatan gantung sepanjang 35 meter.

Bunyi pokok tumbang

Mereka mula menyeberangi Sungai Kampar yang semakin deras arus di bawahnya, namun masih ramai yang berbaris menunggu giliran di tepi jambatan. Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Amir Hamzah Mohd Amzar, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan, Gopeng.

“Mujur saya baru melangkah ke atas jambatan untuk menyeberang, jika tidak saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku.”

Itu yang diceritakan Mohd. Amir Hamzah, peserta program berkenaan yang terselamat dalam tragedi jambatan gantung runtuh yang hampir menghanyutkan lebih 30 murid yang sedang meniti di atasnya.

“Sebetulnya, saya berada di tengah-tengah jambatan tetapi apabila ada cikgu (penyelaras program) meminta sesiapa yang tidak membawa pinggan supaya mengambilnya di tapak khemah, saya berpatah balik.

“Pada waktu itulah, satu bunyi yang sangat kuat kedengaran di tiang jambatan sebelah sekolah. Bunyinya sangat kuat seperti pokok tumbang,” katanya.
Pastinya, bukan sahaja deruman tiang jambatan gantung yang runtuh itu masih terngiang di benaknya malah kelibat rakan-rakan lain yang terjatuh ke dasar sungai.

“Jambatan sebelum itu bergoyang kerana ada (murid) yang melompat dan bermain di atasnya. Selepas runtuh, keadaan menjadi kelam-kabut dan saya sendiri sempat berpaut pada kabel.

“Ramai yang menjerit meminta tolong sebelum ada pak cik katering, pengawal keselamatan dan cikgu terjun menyelamatkan kami,” katanya.

Ditemui sehari selepas kejadian, Mohd. Amir Hamzah mengakui beliau masih tidak dapat melupakan lambaian beberapa rakan yang dihanyutkan arus deras Sungai Kampar.

Peristiwa malang itu telah meragut tiga nyawa rakan Mohd. Amir Hamzah yang menyertai program berkenaan.

Mereka ialah N. Dina Deve, 12, M. Darapharshini, 11, dan V. Divyahshree, 12. Diva Deve dan Darapharshini merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Mambang Di Awan manakala Divyahshree adalah murid tahun enam di SKJT Gopeng.

Mayat Dina Deve dijumpai tersangkut di tepi sungai berhampiran Kampung Pasir, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian 8.40 pagi, Selasa lalu.

Kubur lama
D
arapharshini pula ditemui terapung oleh anggota Rela berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang pada pukul 11.30 malam sehari selepas itu iaitu kira-kira 16 kilometer dari tempat dia hanyut.

Mayat Divyahshree pula ditemui anggota tentera dari Kem 2 Briged, Ipoh berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10.20 pagi Khamis lalu.

Insiden tersebut sememangnya memeranjatkan semua pihak lebih-lebih lagi ketua kampung kawasan berkenaan, Tajuddin Sulaiman.

Tajuddin, 59, memberitahu, sebelum ini tidak pernah berlaku insiden sebegitu rupa apatah lagi meragut nyawa kanak-kanak.

Menurut Ketua Kampung Changkat Jering, Kuala Dipang itu, Sungai Kampar itu, sepanjang pengetahuannya jambatan itu tidak pernah ‘memakan’ sesiapa termasuk penduduk sekitar.

“Dalam keadaan biasa, Sungai Kampar tidaklah begitu dalam namun jika berlaku hujan di sebelah hulu, ia meningkat sekali ganda sehingga paras dua meter.

“Tetapi alirannya masih bergerak laju dan tidak hairanlah jika Sungai Kampar menjadi pilihan penggemar aktiviti lasak sukan air,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Beliau turut menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

“Kalau orang kata Sungai Kampar ‘keras’, saya akui ia keras tetapi kerasnya itu adalah keras batu pada di sungai.

“Sebagai penduduk tempatan dan orang lama di kawasan ini, saya yakin insiden jambatan gantung runtuh yang berlaku Isnin lalu itu disebabkan struktur tiang jambatan yang tidak kukuh, bukannya diganggu makhluk halus dan sebagainya,” katanya.

Meskipun mengakui terdapat satu tapak perkuburan lama kira-kira 500 meter dari tapak perkhemahan tersebut, Tajuddin tetap berpendirian ia tidak berkaitan sama sekali.

Apa yang pasti, bagi pasukan mencari dan menyelamat, penemuan ketiga-tiga murid terbabit dalam tempoh kurang 60 jam selepas dilaporkan hilang merupakan satu kejayaan bagi semua agensi dan pihak terlibat.

No comments: