Thursday, November 26, 2009

Ilmu yang ada hanyalah ibarat setitis air

Ilmu yang ada hanyalah ibarat setitis air

Saya tertarik dengan salah satu posting dari sdr. Aliasman, rakan SHO NRG dalam posting terbaru dalam blognya yang bertajuknya “How to become a good SHO”. Walaupun posting ini hanyalah diambil dari salah-satu email sesama rakan dalam mailing-list group SHO-NRG, banyak iktibar yang boleh diambil. Rujuk di sini untuk posting lengkap.

Termasuk Semester Oktober 2009 ini, saya telah mengendalikan tujuh batch pelajar ataupun lebih dikenali sebagai Cohort ke 7 semenjak sesi 2006/2007 untuk pelajar-pelajar Program Msc. OSH Management di UUM.

Saya sememangnya senada dengan email yang disebut di atas. Malah, setiap kali jika berpeluang di dalam kelas, pasti saya akan mengingatkan kesemua pelajar-pelajar supaya secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali menghadiri kursus-kursus selain dari berkaitan OSH seperti;

1. Kursus Peningkatan Diri (Self Development Course; Public Relationship, Effective Communication, Decission Making, etc.)
2. Kursus Kemahiran Bahasa Inggeris (Proper English Pronunciation, Proper report writing in English, etc.)
3. Kursus berkaitan Human Resource (leadership, psychology, counselling, etc.)
4. Kursus berkaitan IT (Graphic, Photoshop, etc.) sekurang-kurangnya mampu menghasilkan OSH poster, leaflet, blog, etc.
5. Kursus-kursus berkaitan kewangan (Handling full set of account, etc.) sekurang-kurangnya mampu menyediakan dan memahami kos, budjet dan kewangan tahunan OSH.
6. Kursus-kursus kerohanian (khususnya mereka yang beragama Islam seperti contoh peraturan Haji dan sebagainya)
7. Dan lain-lain lagi.


Malah saranan di atas saya tujukan khas juga kepada diri saya sendiri dan mewajibkan saya mematuhinya di setiap tahun.

Saya difahamkan ada di antara pengamal-pengamal OSH hanya menghadiri satu kursus sahaja setahun yang berkaitan OSH semata-mata untuk mendapatkan point CEP supaya membolehkan mereka membaharui Buku SHO masing-masing. Amat dukacita sekali jika perkara ini berlaku. Sememangnya ilmu dan pengetahuan itu masih banyak di luar sana. Ilmu dan pengetahuan yang ada hanya ibarat setitis air jika dibandingkan dengan lautan yang maha luas.

Berikut adalah siratan terawal saya mengenai hal yang sama dalam blog lama saya iaitu; http://thejourney.weblog.uum.edu.my/ bertarikh 30-Okt-2007.


Jadual hujung tahun yang padat
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/ 30-Okt-2007

November dan Disember menjelang lagi. Setiap tahun apabila menjelangnya Ogos, November dan Disember, jadual harian saya menjadi sibuk dan sesibuknya. Kesibukan Ogos (hingga pertengahan September) sudah saya siratkan dalam blog sebelum ini yang berkaitan dengan sambutan kemerdekaan.

Kepadatan jadual di penghujung tahun ini juga menyebabkan beberapa acara luar negara seperti Asia GP di Zhuhai, China dan Bermotosikal Ke Myanmar tidak dapat saya ikuti kerana memikirkan saya baru sahaja enam bulan melapor diri di UUM. Begitu juga MotoGP di Sepang bulan lepas kerana jadual acara bertembung dengan kelas pertama saya untuk program Msc. OSH Management sesi ini di Perai.

Saya hanya menumpukan satu acara peringkat Asean (Yamaha Asean Cup 2007) yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 15 dan 16 December 2007 dan Pusingan Terakhir Kejohanan Petronas Sprinta AAM Malaysian Cub Prix Championship 2007 di Kangar pada 17 dan 18 November 2007. Acara ini agak sukar untuk dielakkan kerana saya sudah melibatkan diri semenjak 15 tahun yang lalu.

Terkilan juga tidak dapat bersama dalam acara Terengganu Starhill Tasik Kenyir, Terengganu yang berjaya menarik penyertaan sebanyak 120 kenderaan 4x4 termasuk negara jiran Thailand dan Indonesia. Saya telah dijemput oleh pihak penganjur untuk acara tahunan ini yang berlangsung pada minggu lepas atas kapasiti kebanyakan mereka dari barisan penganjur ini adalah mereka yang pernah mengambil bahagian dalam acara-acara 4x4 yang pernah saya anjurkan dari seawal 90an. Malah ada di antara mereka yang menganggap saya sebagai “guru” mereka dalam Pengurusan Acara 4x4.

Dalam masa itu beberapa organisasi, pertubuhan dan orang perseorangan mulai menghubungi saya. Pagi tadi sahaja saya dihubungi oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak. Beliau meminta saya menganjurkan sekali lagi di tahun ini acara pengendalian kenderaan 4x4 untuk kakitangan jabatan beliau pada bulan Disember ini.

Minggu lepas, bekas Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Taiping (Tuan Hj. Sharill) yang baru “sehari-dua” berpencen, menghubungi saya bertanyakan kelapangan saya untuk mencuba kenderaan 4x4 yang baru dibelinya di mana-mana laluan “off-road” yang berdekatan.

Pada masa yang sama beberapa jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan pula “merisik” sama ada saya berkelapangan untuk membantu mereka dalam beberapa acara motorsports, acara eco-challenge dan sebagainya.

Dalam kepadatan itu saya juga merancang untuk mengadakan satu program amal untuk sebuah rumah anak yatim Kristian di Kulim. Kemungkinan besar program ini akan dianjurkan bersama dengan pelajar kursus Kerja Sosial, PFSM, UUM dan WargaKilang, sebuah pertubuhan NGO pekerja-pekerja kilang di Utara Semenanjung.

Di samping itu juga, beberapa pengerak utama WargaKilang ini telah merancang dan menjemput saya untuk meneruskan program bulanan mereka iaitu kursus motivasi kepada rumah-rumah anak yatim dan sekolah-sekolah agama rakyat dengan keutamaan yang kurang mendapat bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Jemputan untuk menjadi tenaga pengajar OSH juga sudah “bertimbun” diterima dan hanya beberapa sahaja yang telah saya sahkan penyertaannya. Salah satunya dari UUM sendiri dengan kursus khas untuk penyelia asrama-asrama UUM di Tasik Pedu pada 12 November 2007 ini.

Khidmat-runding melalui talian (sudah tentu melalui email) juga bertali-arus. Terbaru ialah dari kenalan baru, seorang Pengurus OSH meminta bantuan mendapatkan sumber untuk kursus OSH pemandu-pemandu Prime Mover di tempat kerja beliau. Secara kebetulan saya juga pernah menghadapi masalah logistik yang sama di Tasek Cement dan telah memperkenalkan beberapa langkah kawalan yang agak berjaya perlaksanaannya sebelum saya menamatkan perkhidmatan saya sebagai Pengurus OSH di sana. Insya-Allah, saya akan memberi bantuan sekadar yang mampu kepada beliau.

Rasa bersalah juga pada diri ini kerana belum menunaikan janji kepada beberapa orang pelajar saya untuk menghantar (meng-email) dokumen-dokumen tambahan OSH walaupun tidak berkaitan dengan subjek yang diajar kerana masalah kekangan saiz email yang terhad sedangkan semua dokumen-dokumen itu bersaiz besar kapasitinya.

Walaupun dokumen-dokumen OSH yang diminta oleh pelajar-pelajar saya itu tidak berkaitan dengan subjek yang saya telah atau sedang mengajar, saya tetap memberikannya atas dasar semua ilmu itu hak mutlak milik yang Maha Kuasa dan kita hanyalah sebagai penyampai di dunia ini.

Insya-Allah saya akan cuba menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja pelajar-pelajar saya malah mereka yang bukan pelajar saya juga yang menghubungi saya untuk mendapat khidmat nasihat atau tunjuk ajar berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pengamal OSH. Ada yang meminta nasihat sebelum melangkah ke organisasi baru. Ada juga menelefon saya kerana was-was sama ada bersedia atau tidak dengan tawaran yang baru diterima sebagai Pengurus OSH, sedangkan sebelum ini sekadar menjawat jawatan jurutera atau pegawai biasa.

Menyebut tentang kenaikan pangkat, saya teringatkan ucapan aluan oleh Timbalan Dekan FPSM, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Khan semasa Majlis Makan Malam Penamat Program MOSHM (1st Batch) UUM/NIOSH di NIOSH, Bandar Baru Bangi malam Sabtu lepas. Beliau dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menamatkan program dan pada masa yang sama mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah dinaikkan pangkat dan juga kepada mereka yang telah mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik walaupun belum mendapat ijazah master ini. Prof. Madya Dr. Hj. juga menyebut ”peningkatan” karier ini juga boleh dilihat dengan ramai di antara pelajar-pelajar ini yang sudah bertukar kepada kereta yang lebih besar dan mewah!

Saya juga merasa terharu dan amat bangga apabila ramai pelajar-pelajar saya ini yang menghubungi saya memaklumkan status jawatan dan pekerjaan baru mereka ini. Kebetulan ada di antara mereka ini mendapat pekerjaan baru melalui pengenalan (introduction) dari saya sendiri kepada organisasi pencarian kerja (head hunter). Seperti biasa, saya hanya ”memperkenalkan” dan bukannya ”mengesyorkan” (recommendation).

Begitu juga perasaan ”keharuan” dan ”kebanggaan” saya ini tambah memuncak apabila ada pelajar-pelajar yang menghubungi saya memaklumkan bahawa mereka berjaya menyelesaikan masalah-masalah OSH di tempat kerja dengan bantuan khidmat nasihat dan panduan yang telah diberi.

Rupa-rupanya inilah ”kenikmatan” yang diperolehi sebagai seorang pendidik. Jauh bezanya dengan kenikmatan materialistik yang saya terima semasa bekerja di industri terutama di penghujung tahun iaitu bonus tahunan dan kenaikan gaji tahunan. Bukan untuk membanggakan diri, rekod pencapaian saya sebagai seorang pengamal OSH amat cemerlang jika diukur dengan penilaian tahunan (appraisal assessment) serta penerimaan bonus tahunan dan kenaikan gaji tahunan, terutama di dua buah industri terakhir sebelum saya melangkah ke alam akademik sebagai pensyarah OSH.

Sudah ”tersimpang” pula saya dari tajuk siratan kali ini.

Dalam kepadatan jadual di hujung tahun ini, saya masih cuba mencuri-curi masa untuk mengikuti kursus-kursus peningkatan diri (self development). Seperti di tahun-tahun lepas, saya akan cuba mengikuti kursus-kursus sebegini dengan perbelanjaan sendiri dan biasanya di hujung tahun. Antara kursus-kursus pilihan ialah kursus-kursus peningkatan Bahasa Inggeris dan juga komputer (biasanya laman web dan grafik). Kursus lain yang menjadi pilihan ialah pembelanjaan kewangan dan kalau masa mengizinkan lagi teringin juga menjenguk-jenguk kursus ibadat haji/umrah kalau tidakpun kursus asas pertanian dan perternakan yang pasti berguna apabila pencen kelak.

Seperti biasa juga saya telahpun mendaftarkan anak saya untuk mengikuti kursus Bahasa Inggeris Cuti Sekolah di sebuah pusat pembelajaran bahasa di Ipoh dan pilihan beliau sendiri untuk mengikuti beberapa kursus perkhemahan dan motivasi. Sekiranya berkesempatan juga, kami sekeluarga (saya, isteri dan anak) akan cuba mengikuti kursus belajar berenang intensif di Kolam Renang UUM.

Agak malu untuk mengakui, itulah kebenarannya, kami sekeluarga tidak tahu berenang! Malah cadangan untuk mengikuti kelas renang ini telah timbul semenjak beberapa tahun lepas.

Bagaimana pula masa cuti saya dengan keluarga?

Setiap tahun dari mula perkahwinan saya 11 tahun lalu (sebenarnya masa bujang pun sama) menjelang cuti sekolah di penghujung tahun, isteri saya mesti mengeluh apabila diberitahu cuti tahunan di industri yang saya bekerja, telah habis peruntukannya malah biasanya berhutang pula dari peruntukan cuti tahun hadapan. Biasanya peruntukan cuti tahunan saya ini digunakan untuk karier saya sebagai pengajar sambilan OSH ataupun aktiviti-aktiviti motorsports saya.

Berbeza pula setelah menyertai UUM semenjak Jun lalu, cuti tahunan saya masih banyak berbaki lagi. Oleh kerana saya hanya mengajar di hujung minggu untuk sessi ini, saya berhak mendapat cuti gantian di setiap hari cuti hujung minggu yang dijadualkan untuk mengajar. Disebabkan itu sehingga hari ini saya sudahpun mempunyai hampir 20 hari untuk cuti gantian.

Saya hanya bercuti dua hari dan tidak memohon cuti tahunan tambahan untuk perayaan Aidilfitri baru-baru ini tetapi mulai 19 Oktober hingga 4 November ini saya masih bercuti gantian sekadar ”bermanja-manjaan” di rumah dan kebetulan anak saya sedang menduduki peperiksaan akhir persekolahannya. Tetapi di dalam ”percutian ganti” ini juga saya sempat melakukan beberapa kerja-kerja rutin dan luar seperti mengajar kelas Msc. MOSHM di Perai, penceramah jemputan OSH, menghadiri Majlis Makan Malam Penamat Program MOSHM (1st Batch) UUM/NIOSH dan lain-lain.

Bagaimanapun saya akan cuba juga mencari beberapa hari di cuti persekolahan ini untuk bersantai dengan keluarga saya ini. Dan saya berjanji (anak dan isteri saya sudah ”lali” dengan janji sebegini!) akan memastikan percutian kami kali ini betul-betul bersantai, tanpa komitmen sambilan untuk motorsports, kerja amal, pengajar OSH ataupun sebagai pelajar PhD. (Opsss..... saya sepatutnya bertemu dengan penyelia PhD saya, Dr. Kadir, pensyarah Persekitaran di UKM pada bulan Disember ini untuk membincangkan thesis PhD saya!)

Sekali lagi di tahun ini, November dan Disember menjelang tiba dengan jadual yang padat dan sepadatnya.

lukmanw@uum.edu.my

No comments: