KEJADIAN jambatan runtuh di Kuala Dipang mengorbankan tiga pelajar ketika mengikuti perkhemahan 1Malaysia.
Utamakan keselamatan jalani aktiviti lasak
Berita Harian, 2-Nov-2009
Penganjur disyor lantik pakar perunding, pilih kawasan selamat untuk perkhemahan
ADA persoalan yang belum terjawab mengenai punca jambatan gantung runtuh di kawasan perkhemahan 1Malaysia Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta, yang menyebabkan tiga murid terkorban selepas terjatuh dan hanyut ke dalam Sungai Kampar ketika menyeberangi jambatan itu untuk makan malam di SK Kuala Dipang, Isnin lalu.
Jawatankuasa siasatan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua minggu lagi dengan tumpuan kepada punca kejadian dan tindakan selanjutnya.
Kita berharap hasil siasatan itu nanti didedahkan kepada orang ramai dan siapa yang bertanggungjawab, perlu dibawa ke muka pengadilan. Namun, seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua kegiatan perkhemahan pelajar diteruskan tetapi dengan penekanan serius terhadap aspek keselamatan untuk memastikan sifar kes kemalangan jiwa, mengambil iktibar tragedi di Kuala Dipang, Kampar itu.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri tidak mahu kejadian itu menyebabkan ibu bapa melarang anak menyertai kegiatan kokurikulum kerana boleh merugikan pelajar berikutan aktiviti berkenaan banyak faedah, malah antara komponen penting dalam sistem pendidikan serta pembinaan sahsiah.
Berikutan kejadian itu, banyak pihak yang marah termasuk ibu bapa tidak berpuas hati dengan pembinaan jambatan berkenaan yang didakwa sambil lewa dan dibuat secara tergesa-gesa dengan penanaman cerucuk tidak dilakukan dengan sempurna dan hanya disimen sebagai penahan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula dikatakan tidak dimaklumkan oleh kontraktor mengenai pembinaan jambatan gantung yang runtuh. Selain itu, Tok Batin Pos Dipang, Bah Sermu Bah Udin, pula menyifatkan pembinaan tapak kem 1Malaysia didirikan di lokasi yang 'keras' kerana ada kubur lama yang penuh misteri dalam belukar di kawasan berhampiran perkhemahan.
Namun, Pengurus Operasi Hikers Climber Advebture Team Sdn Bhd, Ahmad Nazri Ismail yang mengendalikan pelbagai aktiviti lasak, mengakui keselamatan dan persekitaran adalah aspek yang penting.
Katanya, pelatih yang memandu program berkenaan juga adalah di kalangan mereka yang terlatih dalam bidang itu dan sentiasa bersiap sedia menangani sebarang kemungkinan buruk sepanjang ia berlangsung.
"Apa yang dilihat dalam aktiviti perkhemahan itu, aspek keselamatan begitu longgar dan mengambil mudah dalam banyak perkara. Malah, mereka juga membenarkan ramai murid melintasi jambatan gantung. Logiknya untuk sesebuah jambatan gantung ia selamat untuk dilalui antara tiga hingga lima orang. Bayangkan jambatan gantung di Taman Negara, Pahang hanya membenarkan antara satu hingga dua orang saja menyeberanginya.
"Inikan pula bagi jambatan gantung di kem perkhemahan 1Malaysia itu dilintasi sejumlah pelajar yang ramai. Kita difahamkan lebih 30 orang berada di atas jambatan itu dan dilaporkan melompat-lompat pula. Keadaan itu sudah pasti akan menjejaskan kekukuhan jambatan. Saya fikir kontraktor berkenaan juga tidak menjangka jambatan itu dinaiki sejumlah orang yang ramai," katanya.
Beliau menegaskan, dalam sesuatu aktiviti perkhemahan atau lasak perlu tahu mengenai aspek 'People, Equipment and Environment' (PEE), di samping pemilihan lokasi yang selamat.
Mengulas kejadian di Kampar itu, beliau mencadangkan pihak penganjur melantik pakar perunding untuk turut bersama dalam program berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar terutama membabitkan jumlah peserta yang ramai.
"Saya cuma berharap supaya kejadian itu menjadi pengajaran kepada aktiviti perkhemahan 1Malaysia yang lain supaya lebih bersistematik mengikut kaedah yang betul. Program itu bertujuan baik sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke arah integrasi dan perpaduan kaum," katanya.
Kita berharap pihak yang menganjurkan aktiviti lasak seumpama itu melihat secara menyeluruh mengenai pelbagai aspek sebelum sesuatu program dilaksanakan untuk memastikan ia dijalankan dengan sempurna tanpa menimbulkan sebarang tragedi dan kontroversi.
Pada dasarnya, matlamat perkhemahan 1Malaysia dianjurkan itu berniat murni dengan mengumpulkan murid pelbagai kaum Melayu, Cina dan India menjalankan program untuk memupuk perpaduan kaum.
No comments:
Post a Comment