Saturday, April 19, 2008

Syabas PLUS


Syabas PLUS

Kalau saya tak puas hati pada Plus, saya akan luahkannya. Plus sehingga kini masih belum mengedarkan sebaran bercetak (phamplet) berkenaan penggunaan ”braking ramp” di Rumah Tol Jelapang (menghala ke Selatan) kepada pemandu-pemandu kenderaan berat yang memasuki Tol Juru dan di sepanjang Tol Juru sehingga Tol Kuala Kangsar.

Bagaimanapun saya juga telah mengucapkan terima kasih kerana Plus setakat ini yang telah menyediakan beberapa papan tanda pemberitahuan mengenai ”braking ramp” ini selepas Terowong Menora menghala ke Rumah Tol Jelapang.

Malah saya juga telah mengucapkan syabas kerana keprihatinan Plus meminta bantuan anggota Rela berkhidmat mengawal lalulintas di R&R dan perhentian rehat semasa musim perayaan.

Di samping itu pihak Plus memang terkenal dengan kesungguhannya dalam melaksanakan sistem papan tanda keselamatan dan penunjuk pada setiap bahagian yang terlibat dalam penyenggaraan atau pembaikan.

Kali ini saya ingin mengucapkan syabas sekali lagi kepada Plus kerana keprihatinannya terhadap aspek kesihatan makanan.

Sehingga kini saya menganggapkan kebersihan bilik air dan gerai-gerai makanan di mana-mana R&R adalah yang terbaik jika hendak dibandingkan mana-mana gerai di tepi jalan persekutuan ataupun jalan raya biasa.

Bagaimanapun langkah penutupan salah sebuah gerai di R&R Juru minggu lepas disebabkan demerit adalah patut dicontohi. Saya difahamkan antara kesalahan demerit adalah tidak mematuhi kebersihan yang ditetapkan.

Tindakan Plus ini membuktikan mereka tidak bertolak-ansur kepada pekedai-pekedai makanan yang tidak mematuhi peraturan kesihatan yang ditetapkan. Saya juga difahamkan kadar sewa gerai-gerai ini agar tinggi memandangkan pulangannya juga amat memuaskan. Jika tempoh dua minggu pengantungan ini dikenakan sudah tentu pemilik kedai ini akan terasa juga kerugian dari hasil jualannya.

Semoga pihak yang berkenaan di dalam pengurusan Plus sentiasa bertegas dalam aspek-aspek kesihatan dan juga keselamatan semua pengguna lebuhraya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Thursday, April 17, 2008

Kualiti Teras Kejayaan

Kualiti Teras Kejayaan

Pagi tadi saya bersama-sama warga UUM yang lain menyanyikan Lagu Kualiti UUM sempenan pelancaran Hari Kualiti. Tetapi kali ini bukan di dalam dewan, kami menyanyikannya di padang stadium dengan berpakaian sukan.

Selepas nyanyian kami bersama-sama senam-robik. Satu acara yang sepatutnya kerap diadakan demi kesihatan untuk mereka yang sibuk dengan tugas harian

Berikut adalah siratan saya mengenai lagu kualiti ini pada tahun lepas.

Siratan asal 27-Jun-2007,
http://thejourney.weblog.uum.edu.mu/


Pagi tadi adalah kali pertama saya menyanyikan lagu kualiti ini bersama-sama rakan-rakan sekerja yang lain di Dewan Mu’adzam Shah, UUM sempena Hari Kualiti & Majlis Penganugerahan UUM.

Saya tidak pasti sama ada lagu kualiti ini adalah lagu khas UUM ataupun sememangnya lagu kualiti kebangsaan(?). Saya pernah terlibat mengubah lagu kualiti semasa bekerja di Silverstone Berhad, sebuah kilang pembuatan tayar di Perak pada 10 tahun yang lalu. Saya tidak pernah belajar secara formal dalam muzik dan tidak boleh menyanyi pun tetapi mempunyai minat mendalam terhadap puisi, pantun dan sajak.

Kualiti Teras Kejayaan

Apa saja yang susah
Akan menjadi mudah
Sekiranya semua...
Bersatu berusaha...

Kualiti teras kejayaan
Bertambah keuntungan
Kerja seikhlas hati
Sempurna pekerjaan

Kita bantu-membantu
Bertukar-tukar fikiran
Bersatu kita maju
Ke arah kemakmuran

Kita tegur-menegur
Kerana kebaikan
Berusaha dengan jujur
Mencapai kejayaan

Lagu empat rangkap ini begitu merdu dialunkan oleh kumpulan koir yang membuat persembahan. Senikatanya lengkap, susunannya menarik dan jelas maksudnya. Tahniah kepada pengubal lagu ini.

Sekiranya bersesuaian, saya ingin mencadangkan agar ditambah serangkap lagi, mungkin boleh dibaiki lagi rangkap ini. Rangkap ini berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan persekitaran (safety, health and environment)

Keselamatan, kesihatan tetap utama
Persekitaran tidak dilupa
Insan dan alam mesti bersama
Agar sihat sejahtera walau berusia

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/


Wednesday, April 16, 2008

Kemalangan Maut, Apa Yang Harus Dilakukan?

Kemalangan Maut, Apa Yang Harus Dilakukan?

Apabila berhadapan dengan kemalangan maut, apa yang harus dilakukan?

Bukanlah satu pencapaian yang hendak dibanggakan. Kebetulan selama di dalam hampir 20 tahun di industri perkilangan, saya telah berhadapan dengan tiga kes kemalangan maut industri. Kes-kes kemalangan lain juga seperti putus atau remuk anggota badan agak kerap ditangani sepanjang pengelibatan saya sebagai jurutera dan pengurus OSH.

Kemalangan maut yang pertama ini mengajar saya supaya lebih bersedia untuk menangani kemalangan maut kedua dan ketiga serta kemalangan-kemalangan lain. Bukan sahaja berkaitan dengan pihak dalaman dari aspek pembetulan dan pencegahan supaya kemalangan tersebut tidak akan berlaku lagi tetapi juga dari aspek perhubungan awam dengan pihak-pihak luaran seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH), Polis, pihak insuran dan sebagainya.

Malah saya juga sering dirujuk oleh industri-industri lain yang menegnali saya apabila berlakunya kemalangan maut di tempat kerja mereka. Malangnya, mereka ini sepatutnya menghubungi saya sebelum berlakunya kemalangan maut ini dan bukannya ketika sedang bergelut sebaik sahaja kemalangan maut berlaku.

Baru-baru ini sewaktu menyampaikan kursus kepada pekerja-pekerja asrama di sebuah organisasi, saya ditanya soalan yang sama tetapi menjurus kepada kemalangan bunuh diri secara terjun dari bangunan tinggi.

Berikut adalah syoran saya jika anda berhadapan dengan kes kemalangan maut yang berkaitan dengan kemalangan maut.

1. Jika mangsa masih bernyawa, sila dapatkan bantuan dari pegawai perubatan ataupun ahli pertolongan cemas.
2. Jangan alihkan anggota badan mangsa kerana mungkin boleh memudaratkannya. Kecuali anggota badan mangsa perlu dialihkan untuk mengelakkan kecederaan bertambah terus seperti hampir dengan mesin, punca api dan sebagainya.
3. Jika anda was-was sama ada mangsa masih bernyawa atau tidak, periksa nadi mangsa. Jika anda tidak tahu atau tidak terlatih dalam hal ini, dapatkan bantuan.
4. Jika mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, tutup anggota badan mangsa melitupi kepala untuk mengelakkan trauma kepada orang lain.
5. Biarkan kaki mangsa terdedah sedkit untuk menunjukkan ada mayat mangsa terbaring.
6. Mayat seelok-eloknya ditutup dengan kain. Jika tiada kain, boleh menggunakan helaian suratkhabar.
7. Tujuan mayat ditutup adalah untuk menutup aibnya.
8. Rentangkan tali atau apa-apa barang untuk menandakan kawasan mayat.
9. Jangan ubah kedudukan mayat untuk mengesahan lokasi akhir mayat oleh pihak-pihak berkaitan kecuali terpaksa.
10. Ambil pengenalan diri mangsa. Biasanya merujuk kepada kad pengenalan atau mana-mana pengenalan diri dari dompet mangsa,
10. Ambil gambar lokasi akhir mayat dan gambar-gambar sekelilingnya.
11. Ambil nama-nama saksi, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.
12. Minta pegawai berkenaan untuk menghubungi pihak berkuasa.
13. Pada masa yang sama minta pegawai yang terlatih untuk menghubungi waris mangsa.

Pemberitahuan (notification) juga merupakan aspek penting dalam kes-kes kemalangan tidak kiralah sama ada kemalangan biasa ataupun maut. Pegawai yang bertanggung-jawab untuk melaporkan perlu bersedia. Sekiranya untuk pelaporan kepada pihak berkuasa, pegawai ini mesti bersedia dengan butiran lengkap kejadian dan peribadi mangsa.

Pegawai yang bertanggungjawab untuk melaporkan kepada waris juga perlu berdiplomasi sebaik mungkin. Seelok-eloknya pegawai ini melaporkan secara bersemuka dengan waris. Penggunakan psikologi juga perlu terutama jika berhadapan waris mangsa yang emosional ataupun yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung dan sebagainya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keterangan gambar;
Gambar adalah kemalangan jalan raya yang diterima penulis melalui email. Gambar kemalangan industri terlalu ngeri untuk dipaparkan di sini. Jika ada yang berminat mendapatkannya, hubungi penulis.

Tuesday, April 15, 2008

Ibu bapa perlu bertindak dahulu


Ibu bapa perlu bertindak dahulu

Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dikuatiri hilang perlu bertindak dahulu, sebelum melaporkan kehilangannya kepada pihak polis.

Ketua Bahagian Siasatan Penderaan dan Seksual Kanak-kanak Bukit Aman. Asisten Komisioner Suguran Bibib Munshee Dee menasihati ibu bapa atau penjaga yang kehilangan anak membuat laporan segera atau menghubungi talian kecemasan tanpa perlu menunggu sehingga 24 jam seperti yang diamalkan untuk membuat laporan orang hilang biasa.

Nasihat ini diberikannya semasa sidang media pada Seminar Keselamatan Kanak-kanak di UiTM sabtu lepas.

Bagaimanapun ibu bapa atau penjaga masih bertanggungjawab memastikan kesahihan kehilangan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebelum menghubungi pihak polis.

Pihak polis juga perlu memberi keutamaan kepada pelbagai kes jenayah dan ketenteraman awam yang lain.

Antara yang langkah awal dicadangkan perlu dilakukan oleh ibubapa atau penjaga ialah seperti berikut;

1. Mempunyai senarai nama rakan-rakan rapat anak-anak mereka. Senarai ini hendaklah lengkap dengan nombor telefon mereka dan juga ibu bapa mereka (atau orang dewasa).
2. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan lebih awal tempat-tempat yang akan dikunjungi.
3. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan lebih awal dengan siapa mereka akan bertemu, berpergian dan sebagainya.
4. Membiasakan penetapan jangka masa sebagai contoh pukul berapa sepatutnya pulang ke rumah dan sebagainya.
5. Membiasakan anak-anak mereka memaklumkan segera jika terdapat sebarang perubahan masa dan/atau tempat yang hendak dituju.
6. Membiasakan anak-anak mereka menghubungi dalam selang masa 10 minit awal kelewatan ataupun sebelum atau semasa perubahan masa dan/atau tempat yang hendak dituju telah diputuskan.
7. Membiasakan anak-anak mengguna telefon awam untuk menghubungi ibu bapa atau penjaga jiika anak-anak mereka tidak mempunyai telefon bimbit,

Tindakan yang perlu diambil jika kanak-kanak dikuatiri hilang (selepas selang masa 10 minit dan 30 minit);

1. Jika kepulangan kanak-kanak ini sudah melewati setengah jam dari masa yang telah ditetapkan, hubungi mereka terutama jika kanak-kanak ini tidak menghubungi mereka selepas 10 minit dari masa yang telah ditetapkan ini.
2. Jika kanak-kanak ini tidak dapat dihubungi, hubungi rakan-rakan yang telah dikenalpasti berpergian sesama mereka.
3. Jika rakan-rakan kanak-kanak tidak dapat dihubungi, hubungi ibu bapa atau penjaga mereka untuk kepastian sama ada anak-anak mereka sudah kembali atau tidak.
4. Jika semua ini tidak dapat dihubungi, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil keputusan menghujungi ke semua tempat-tempat yang mungkin ditujui oleh anak-anak mereka.
5. Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan cuba melalui laluan yang mungkin dilalui oleh anak-anak mereka ini.
6. Pada masa yang sama, sistem pengkalan juga mesti diujudkan iaitu mesti ada seseorang (seelok-eloknya orang dewasa) di rumah untuk memaklumkan kepada mereka yang keluar mencari kanak-kanak ini jika dia sudah kembali ke rumah.
7. Mereka yang keluar mencari juga perlu memaklumkan kepada mereka yang menjaga sistem pengkalan di rumah mengenai status pencarian mereka.

Tindakan yang perlu diambil jika kanak-kanak dikuatiri hilang (selepas selang masa 1 jam dan 2 jam);

1. Sekiranya selepas selang masa 1 jam kanak-kanak ini tidak dapat ditemui, ibu bapa atau penjaga perlu menghubungi talian kecemasan dan pada masa yang sama meneruskan pencarian.
2. Sekiranya selepas selang masa 2 jam kanak-kanak ini tidak dapat ditemui, ibu bapa atau penjaga perlu membuat laporan kehilangan di balai polis yang berdekatan dengan membawa barangan/dokumen seperti berikut;

*Gambar terbaru kanak-kanak seelok-eloknya bersaiz pasport dan bersaiz poskad (gambar penuh),
*Memaklumkan sifat diri kanak-kanak seperti ketinggian dan berat badan, warna dan jenis rambut, warna kulit, sebarang tanda lahir jika ada.
*Memaklumkan jenis dan warna pakaian yang dipakai kali terakhir dilihat.
*Memaklumkan tempat dan masa yang mungkin kanak-kanak itu pergi.
*Memaklumkan nama rakan-rakan yang pergi bersama-sama.
*Membawa pakaian yang kerap dipakai oleh kanak-kanak (atau yang belum dibasuh). Ini mungkin boleh membantu anjing pengesan polis jika perlu.

Akhir sekali ibu bapa atau penjaga juga perlu memeriksa dan mengenalpasti di rumah masing-masing atau di dalam bilik kanak-kanak ini jika terdapat sebarang tanda-tanda yang mungkin berkaitan dengan kehilangan kanak-kanak ini. Sekiranya kanak-kanak ini merancang untuk melarikan diri, mereka biasanya membawa beberapa peralatan peribadi mereka. Kadang-kadang kanak-kanak ini juga akan memaklumkan atau membayangkan hasrat mereka kepada ahli keluarga yang lain terutama kepada mereka yang kecil dari mereka.

Malah kanak-kanak ini juga mungkin memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain tentang rakan-rakan baru atau orang asing yang baru dikenali mereka.

Ingat, kelewatan melaporkan kehilangan sehingga melepasi selang masa 1 jam dan 2 jam, boleh menyukar pihak polis membuat pencarian. Tetapi terus melaporkan kehilangan dalam masa selang setengah jam pertama boleh menyusahkan pihak polis sementelah ianya tidak benar.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com

Penulis adalah bekas Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti Taiping (Juvenile), Penyelaras Kelas Pendidikan Khas (kanak-kanak Istimewa), Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama, Penyelaras Aktiviti Kanak-kanak Tabika Perpaduan Daerah Larut Matang dan Selama, serta bergiat aktif dalam siri-siri ceramah Keselamatan Kanak-kanak di sekolah-sekolah rendah dan menengah

Laluan Khas Kuning Berkesan (Tactile Paving)









Laluan Khas Kuning Berkesan (Tactile Paving)

Ramai yang masih tidak tahu atau ambik peduli mengenai Laluan Khas Kuning Berkesan (tactile paving). Antara tujuannya adalah untuk menunjukkannya laluan selamat kepada orang buta.

Malangnya Laluan Khas Kuning Berkesan ini di atas kaki lima dan apron jalan yang sering disalahgunakan sebagai tempat letak motosikal dan peralatan menjaja.


Pihak berkuasa tempatan perlu mengadakan dan mempamerkan lebih banyak papan tanda mengenai kegunaan Laluan Khas Kuning Berkesan ini. Pada masa yang sama mengambil tindakan kepada ereka yang menyalahgunakannya.

Sunday, April 13, 2008

Semoga ibubapa tidak ragu-ragu lagi


Semoga ibubapa tidak ragu-ragu lagi

Berita melaporkan seperti di atas. Semoga kita sebagai ibu bapa dan penjaga kepada mereka yang akan menghadiri Khidmat Negara ini tidak merasai keraguan yang berbelah bagi.

Semoga NIOSH menjalankan kewajipan yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Seni Bela Diri bukan semata-mata untuk berlawan


Seni Bela Diri bukan semata-mata untuk berlawan

Antara individual yang aktif dalam kerja sosial dan kempen keselamatan kanak-kanak ini ialah Kamal Affendi Hashim, seorang penganalisis jenayah tanahair. Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai pegawai polis, beliau banyak menulis dan dijemput memberi pandangan mengenai keselamatan kanak-kanak.

Saya tertarik dengan beberapa pandangan dan tunjuk-ajar beliau mengenai teknik-teknik mempertahankan diri dan melepaskan diri dari penjenayah yang disiarkan oleh beberapa media masa.

Sebagai tambahan kepada apa yang telah diketengahkan oleh Kamal Affendi, saya ingin memperjelaskan juga Seni Bela Diri bukanlah dipelajari semata-mata untuk berlawan terutama dengan penjenayah yang sudah tentu lebih bersedia dari segi fizikal dan sabagainya.

Penjenayah juga mudah bertindak agresif apabila terasa diri mereka terancam walaupun mangsa hanyalah seorang kanak-kanak kecil. Malah tangisan ataupun tingkah-laku yang tidak disenangi oleh penjenayah berupaya mengalakkan penjenayah ini mengambil tindakan yang mungkin melampau batas seperti mencederakan malah mungkin membunuh mangsa.

Seni Bela Diri hendaklak dipelajari dengan matlamat menanam jati diri, membina rasa keyakinan diri sendiri dan bersosial dengan rakan yang lain. Malah Seni Bela Diri boleh dianggap sebagai salah satu rekreasi beriadah.

Matlamat ini perlu disemai dan sentiasa diingatkan kepada semua pelajar-pelajar Seni Bela Diri. Sebarang salah-anggapan mengenai Seni Bela Diri seperti satu ilmu atau pengetahuan yang semata-mata hendak berlawan boleh mendorong pelajar-pelajar ini bertindak di luar keupayaan mereka apabila berhadapan dengan situasi luar dugaan seperti pergaduhan ataupun semasa berhadapan dengan penjenayah.

Langkah yang terbaik kepada semua kanak-kanak walaupun mereka belajar atau tidak belajar Seni Bela Diri ini ialah sentiasa menjauhi kawasan jenayah dan bertindak menyelamatkan diri dengan cara menjauhi diri mereka jika bertembung dengan orang tidak dikenali yang disyaki sebagai jenayah.
lukmanw@uum.edu.my
htpp://oshthejourney.blogspot.com/

Siapakah yang bercakap benar?

Siapa yang bercakap benar?

Pengadu atau pihak yang kena adu?

Bagaimana kalau situasi ini berlaku kepada kita? Atau kepada anda?

Dalam persediaan Respons Kecemasan, kita dimestikan menguji semua sumber bantuan. Bolehkah kita menguji talian kecemasan ini? Bagaimanakah kita hendak menguji talian kecemasan ini?

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab segera. Tidak guna menunding jari selepas berlakunya tragedi.


Aktiviti-aktiviti Hari Sedunia OSH 2008 di Malaysia

Aktiviti-aktiviti Hari Sedunia OSH 2008 di Malaysia

Sempena Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2008 (World Day for Safety and Health at Work) pada 28 April ini, pelbagai aktiviti telah dirancang di peringkat Kementerian Sumber Manusia dan juga di NIOSH.

Bersama disenaraikan aktiviti yang dimaksudkan dan lampiran brosur –

Ahad, 13 April 2008, 7.30pm
Rancangan 'Hak Anda' di NTV7
Membincangkan tentang topik OSH bersama KP JKKP, Y.Bhg. Dato’ Ir. Dr. Johari Basri.

Jumaat, 25 April 2008, 11.15am
Temuramah di TRAXXfm (frekuensi 90.3)
Bersama Pengerusi NIOSH Malaysia, Y.Bhg.Tan Sri Dato' Lee Lam Thye mengenai World OSH Day 2008

Ahad, 27 April 2008, 7.00am - 1.00pm
OSH Walkathon di NIOSH Bandar Baru Bangi
Anjuran bersama oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, DOSH, PERKESO dan NIOSH (lihat lampiran brosur dan aturcara terkini). Pegawai NIOSH untuk dihubungi - Pn. Shamsinar Deraman (03-8769 2116).

Isnin, 28 April 2008
1. 8.00am – 1.00pm
Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2008 di PICC Putrajaya. Anjuran Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (tempat adalah terhad, sila isi borang penyertaan dalam brosur seperti terlampir).
2. 1.00pm – 5.30pm
World Day for Safety and Health at Work 2008 – Awareness Raising Activity at NIOSH Bandar Baru Bangi. Admission is free. However seats are limited. Reply slip is in brochure as attached. PIC: En. Shahir / Pn. Siti Khadijah (03-8769 2200 / 2203)

Untuk lampiran dan brosur, sila layari:
http://www.niosh.com.my/seminar/world-osh-day.htm

Tema Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2008 yang telah dipilih oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (International Labour Organization) ialah: " My Life.., My Work.., My Safe Work - Managing Risk in the Work Environment ".

Untuk maklumat lanjut, sila layari:

Friday, April 11, 2008

Ujian kebocoran untuk cerek elektrik?


Ujian kebocoran untuk cerek elektrik?

Cerek keluli yang “menjerang” air di atas dapur minyak tanah itu mula berasap. Tidak lama selepas itu wisel mula berbunyi nyaring. Kemudiannya emak mematikan api dapur minyak tanah. (Ketika itu di kampong nenek saya masih menggunakan dapur kayu)

Tiba-tiba kerinduan bunyi wisel itu terbangkit di ingatan saya.

Wisel yang diaktifkan oleh wap air itu adalah satu penggera yang terbaik ketika itu. Terima kasih kepada teknologi yang memungkinkan dapur minyak tanah digantikan dengan gas cecair. Kemudiannya teknologi dipertingkatkan dengan cerek air berkuasa elektrik yang membolehkannya mempunyai penggera mematikan kuasa elektrik apabila air sudah mendidih.

Setiap kali saya membeli cerek elektrik saya pastikan ianya mempunyai beberapa penggera tambahan seperti lampu di suis yang menunjukkan ianya sedang beroperasi. Dan juga tingkap sesalur sisi lutsinar yang memudahkan aras air dikenalpasti.

Kebiasaannya saya hanya meminta penjual di mana cerek elektrik dibeli itu menguji sama ada bekalan elekrik berfungsi. Ujian yang mudah dengan menyambungkan soket cerek elektrik dan melihat sama ada suis operasinya menyala atau tidak.

Minggu lepas saya membeli sebuah cerek elektrik dari sebuah hyper-market berdekatan dengan rumah saya di Taiping. Setelah diuji sama ada bekalan elektriknya berfungsi atau tidak, saya membuat bayaran.

Saya hanya menyedari ada yang tidak kena pada cerek elektrik apabila terdapat lelehan air setiap kali saya atau isteri saya menggunakannya. Risau juga melihatkan lelehan ai di bahagian tapak perumah cerek elektrik tersebut.

Dengan membuat pemerhatian teliti, saya dapati lelehan air itu keluar dari bahagian bawah tingkap sesalur sisi lutsinar. Bahagian bawah salur itu diketatkan dengan bahan yang diperbuat dari getah.

Pagi tadi saya membawa cerek elektrik itu untuk ditukar semula di hyper-market yang saya beli.

Penjual di situ memaklumkan saya boleh membuat ujian kebocoran jika membeli cerek elektrik.

Inilah kali pertama saya mendengar ujian kebocoran boleh terhadap cerek elektrik sebelum pembelian dibuat.

Dan ini menjadi ingatan keselamatan kepada saya dan saya harap anda juga membuat ujian kebocoran jika membeli cerek elektrik di masa akan datang.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/